BIBI Sunita bantu ramai wanita diuji dengan masalah kewangan atau rumah tangga dalam pelbagai cara.
BIBI Sunita bantu ramai wanita diuji dengan masalah kewangan atau rumah tangga dalam pelbagai cara.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

JIWANYA mudah tersentuh melihat wanita hidup dalam kesusahan sama ada diuji dengan masalah kewangan atau rumah tangga.

Terutama dalam kalangan wanita yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar sekitar Lembah Klang.

Pelbagai kisah diketahuinya yang ada kala membuatkan air mata bergenang, lantas mendorongnya bertindak untuk memperkasakan mereka.

Usaha ini diterjemahkan menerusi Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis) yang ditubuhkan pada 2017 dan kini sudah membantu ramai wanita dalam pelbagai cara.

Selain Gerakwanis, beliau juga adalah Pengerusi Persatuan Usahawan Bumiputera Maju Malaysia (PPIUB) dan Pertubuhan Negarawati Tanahair.

Pengasas Gerakwanis, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, pertubuhan itu memfokuskan usaha membantu wanita di PPR di bandar sekitar Lembah Klang kerana cabaran kehidupan ditempuhi mereka lebih besar dan ditambah kehidupan yang sukar.

Menurutnya, mereka dibimbing melalui tiga aspek iaitu ekonomi, pendidikan dan kebajikan.

"Tiga perkara ini menjadi fokus utama kerana mendapati ramai wanita mempunyai masalah berkenaan.

"Oleh itu, program yang diadakan setiap tahun berkaitan dengan perkara terbabit.

"Dari aspek pendidikan, memorandum perjanjian (MOA) dengan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) terjalin sejak 2017 sehingga kini, khusus melalui program berbentuk Pengajian Islam dan terbaharu adalah Kursus Bahasa Arab Digital Al-Quran (KBAQ),"katanya.

Sementara itu, katanya, daripada aspek ekonomi, pernah bekerjasama dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan dilantik Bank Islam selaku ejen perubahan melalui pemberian bantuan kewangan yang membolehkan mereka menjalankan perniagaan.

"Baru-baru ini, kami bekerjasama dengan Agro Bank yang memberikan kanopi percuma kepada wanita untuk berniaga di Bazar Ramadan bagi menjana pendapatan melalui program kempen membuka akaun dengan deposit RM200.

"Ini kerana wanita juga tunjang ekonomi kepada keluarga yang bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan suami, tetapi juga untuk kesenangan anak-anak," katanya.

Katanya, pada masa sama wanita itu diberikan ilmu keusahawanan sebelum memulakan perniagaan.

Jelasnya, landskap perniagaan sekarang yang terarah kepada digital banyak membantu wanita meningkatkan taraf hidup mereka.

MENGENDALIKAN mesyuarat pelaksanaan program.
MENGENDALIKAN mesyuarat pelaksanaan program.

"Di samping perniagaan secara fizikal, mereka juga memanfaatkan jualan dalam talian.

"Walaupun ekonomi ketika ini masih tidak stabil, tetapi mereka masih boleh bertahan (perniagaan)," katanya.

Wanita berusia 54 tahun itu berkata, pihaknya bimbang terhadap usahawan wanita yang tidak mampu bertahan kerana boleh menyebabkan masalah mental dan ketidakseimbangan emosi.

"Keadaan mental yang tidak stabil boleh mendorong mereka melakukan perkara di luar jangkaan termasuk cubaan bunuh diri.

"Kami pernah membantu wanita yang mengalami masalah mental disebabkan tekanan kehidupan dengan memberikan sesi perundingan dan motivasi serta mencadangkan solusi boleh membantu mereka.

"Pada masa sama kami akan ke rumah wanita terbabit untuk melihat keadaan dirinya dan memberikan bantuan sepatutnya," katanya.

Katanya, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka tidak mempunyai dana kewangan yang besar.

Tetapi, apa dilakukan ialah menjadi orang tengah dan dapat menyalurkan permasalahan wanita juga permohonan mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan.

"Ada satu kes dekat dengan saya yang mana salah seorang ahli keluarga kepada jawatankuasa Gerakwanis mengalami masalah membabitkan emosi dan mental kerana ditinggalkan suami.

"Sampai satu tahap wanita terbabit berkemungkinan tidak mampu untuk mengawal tekanan kehidupan dihidapinya dan secara tidak sengaja terjatuh di bilik air lalu meninggal dunia.

"Kejadian berlaku beberapa tahun lalu dan wanita terbabit meninggalkan seorang anak perempuan masih kecil," katanya.

Bibi Sunita berkata, wanita insan lemah, tetapi sering berhadapan cabaran getir dan rintangan dalam kehidupan serta cabaran kehidupan.

"Masalah yang selalu mereka hadapi bukan sahaja ditinggalkan suami, tetapi diceraikan tanpa pembelaan dan ada yang wanita didera.

"Perkara seperti ini boleh menjurus kepada masalah mental dan emosi jika mereka tidak kuat atau tanpa sokongan keluarga," katanya.

Katanya lagi, dia yang juga pesuruhjaya sumpah sering menemui ramai wanita dianiaya suami termasuk didera dan sebagainya.

"Ini kerana mereka perlu membuat akuan bersumpah di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah untuk mengesahkan status diri sebelum membuat permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau agensi berkaitan.

"Namun di sebalik itu, pertubuhan melihat berlaku pertindihan nama melalui data agensi terbabit.

"Pertindihan nama ini menyebabkan berlaku pertindihan dalam aspek memberi bantuan kepada yang benar layak untuk dibantu," katanya.

Tambahnya, pihaknya mempunyai cara dalam mengenal pasti wanita yang selayaknya mendapat bantuan ini, memandangkan konsep gerak kerja adalah melantik dalam kalangan ketua kumpulan fokus di kawasan dikenal pasti untuk dibantu.

"Oleh itu, agensi kerajaan perlu menjalinkan perkongsian kerjasama dengan NGO dan tokoh individu (NGI) supaya bantuan kepada wanita lebih tersusun serta tersasar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 7:00 AM