PESERTA khusyuk mendengar taklimat dari pengajar.
PESERTA khusyuk mendengar taklimat dari pengajar.
Nurul Husna Mahmud


SIAPA kata segmen jurufoto jalanan tidak sesuai untuk peminat dari kaum hawa yang berhasrat menceburi cabang seni cahaya itu?

Ketika penganjuran acara FJM Ladies Street Fotowalk 2024 baru-baru ini di Kuala Lumpur, ia menyaksikan keghairahan 22 peminat wanita seni foto jalanan itu ligat memetik picu lensa masing-masing.

Keberanian luar biasa kelompok wanita itu jelas terpancar apabila ada antara mereka tanpa rasa segan meniarap, menyorok di semak dan longkang, selain mengejar subjek demi mendapat naskhah yang menarik.

Tiada peserta lelaki dibenarkan untuk mendaftar dan acara terbabit berjaya meraih perhatian peserta wanita dari serata Semenanjung Malaysia.

Berbanding pertama kali acara ini dianjurkan pada tahun 2018 yang hanya mendapat 12 penyertaan.

Kata seorang peserta acara itu, Sara Hanim Ahmad Saroji, 49, 'kegilaan' dan 'keberanian' jurufoto jalanan menjadikan aktiviti keluar ke lapangan itu unik dan kenangan ketika detik senario itu dirakam untuk membezakannya dengan segmen seni fotografi yang lain.

"Saya berhenti dari dunia perbankan dan korporat kemudian beralih ke perniagaan makanan serta minuman pada tahun 2008.

"Malah saya mula terjebak dalam seni fotografi apabila merakam foto produk jualan iaitu kuih bingka. Kemudian jatuh minat apabila mengenali rakan yang mempelajari seni foto jalanan dalam talian.

"Saya belajar dalam talian dalam dua tiga tahun sehinggalah sekitar dua tahun lalu saya mula aktif menyertai aktiviti kumpulan wanita yang merakam gambar sekitar Pusat Seni.

"Hakikatnya saya kagum apabila lihat keberanian jurufoto jalanan wanita yang saya kenal begitu asyik meninjau 'port' strategik bagi mendapatkan foto terbaik," katanya.

PESERTA wanita yang memeriahkan acara kali ini.
PESERTA wanita yang memeriahkan acara kali ini.

Uniknya, kelibat peserta FJM Ladies Street Fotowalk 2024 mengenakan kemeja-T berwarna merah jambu kuat (shocking) membuatkan kehadiran mereka di kawasan sekitar Pasar Seni menonjol.

"Lucunya ramai juga orang bersantai di Pasar Seni dan lorong sekitarnya menyangkakan kami ini gerakan pelajar menyiapkan tugasan khusus.

"Agak berlainan auranya ketika saya turun mengenakan pakaian warna semula jadi. Kita tidak 'cuit' perhatian orang sekitar.

"Tetapi tidak pula 'subjek' berasa terganggu atau terancam dengan kehadiran kami. Malah santai sahaja apabila didekati," katanya.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata sunti itu, dia rasa puas apabila dapat merakam detik bermakna dengan rapi.

"Kepuasan jalanan ini lain rasanya. Kena jadi pengendap pun ada selepas itu mengumpan (fishing) sehinggalah subjek dan detik itu berada di depan kamera.

"Bukan itu saja pencahayaan dan kemahiran juga penting supaya tidak gugup. Hasilnya dikongsi bersama peserta lain walaupun subjek sama tapi keunikannya berbeza," katanya.

Dia juga peminat foto detik situasi melucukan mengakui bidang ini mengajar erti kesabaran.

AKSI peserta bersemangat merakam keletah subjek.
AKSI peserta bersemangat merakam keletah subjek.

"Saya juga jurufoto makro dan sering merakam gambar haiwan atau serangga mikro. Jadi 'masak' dengan setiap cabaran cabang seni cahaya ini dan ia ternyata memberi kepuasan walaupun hasilnya tidak sepadan dengan penat jerih serta perbelanjaan kewangan yang dikeluarkan.

"Saya bersyukur restu suami Mohd Fadil Mohd Nordin, 54, memberi ruang kepada saya untuk terus mendalami dan menyertai aktiviti terbabit," katanya.

Sementara itu, wakil penganjur dan juga pengurus kepada platform FJM atas Facebook Wan Norul Ezzati Wan Abdul Gahni berkata, genre seni jalanan sangat mencabar untuk wanita.

"Fotografi jalanan iaitu satu penceritaan ('story telling') dan perincian penentu, komposisi dan pencahayaan bersesuaian menjadikan penceritaan gambar itu lebih menarik.

"Walaupun menyedari genre seni diketengahkan berat, pada saya ia menjadikannya lebih menarik. Apatah lagi dilakukan wanita dan berjaya merakam foto menarik itu boleh dimaksudkan sebagai kepuasan," katanya.

Wan Norul Ezzati sendiri terinspirasi dengan hasil kerja seniornya memaparkan jurufoto dengan hasil kerja di Pasar Chow Kit.

"Acara kali ini turut menarik jurufoto jalanan wanita untuk memeriahkan genre seni cahaya yang 'berat' ini.

"Dalam masa yang sama mengembangkan kemahiran mereka selain mewujudkan platfrom yang selesa untuk jurufoto jalanan wanita yang baru.

"Harapan saya, semestinya karya jurufoto jalanan wanita Malaysia boleh meraih perhatian peminat seni itu di luar negara," katanya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 7:01 AM