BEKAS OKU yang kini menjadi pembela pelukis tanah air. - FOTO Saifullizan Tamadi
BEKAS OKU yang kini menjadi pembela pelukis tanah air. - FOTO Saifullizan Tamadi
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Wanita ini pernah menjadi orang kurang upaya (OKU) selama setahun akibat serangan angin ahmar yang menimpanya pada 2015.

Serangan bahagian kanan badan menyebabkan wanita itu 'lumpuh sementara' dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda serta tongkat untuk bergerak.

Namun, dia mempunyai semangat tinggi untuk kembali normal selain tidak berputus asa menjalani rawatan pemulihan termasuk fisioterapi, urutan tradisional dan akupuntur.

Berkat kesungguhannya Hazrita Mohd Hatta, 50, akhirnya kembali berjalan selepas setahun serangan penyakit berkenaan.

Meskipun masih menanggung kesan daripada penyakit itu hingga kini iaitu tangan kanan mengalami kesukaran untuk menulis, Hazrita mampu menonjolkan namanya hingga dikenali ramai.

Hazrita antara figura penting dalam industri seni visual Malaysia kerana mengangkat martabat ramai pelukis tanah air termasuk pelukis OKU daripada pelbagai kategori.

Ia menerusi penubuhan Art Market Malaysia (AMM) sebagai platform untuk membantu pelukis  mempersembahkan karya mereka kepada umum.

Menurutnya, setakat ini kira-kira 200 pelukis bernaung di bawah AMM selepas 10 tahun penubuhannya.

"Ramai pelukis mempunyai koleksi lukisan yang menarik tetapi tidak terjual kerana tidak mengetahui saluran pemasaran.

"Oleh itu kami membantu memasarkan karya mereka dan melalui cara ini dapat membantu pelukis menjual karya mereka serta meraih pendapatan," katanya.

Dia yang juga pengasas AMM berkata, penubuhan syarikat itu adalah daripada cetusan idea adiknya yang menyertai Art Market Canada kerana menetap di negara berkenaan.

"Dia (adik) bersungguh-sungguh memberi dorongan kepada saya untuk mewujudkan AMM.

"Pada mulanya saya berat hati bersetuju kerana menyedari tidak mudah untuk memasarkan seni visual di Malaysia.

"Situasi ini berbeza di luar negara yang mana mereka meletakkan seni visual pada kedudukan tinggi dan sangat menghargai karya pelukis," katanya.

Usahawan sosial ini berkata, dia akhirnya terpaksa 'mengalah' dan bersetuju dengan cadangan adiknya menubuhkan AMM.

HAZRITA mengiringi Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung melawat tapak pameran. - FOTO Saifullizan Tamadi
HAZRITA mengiringi Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung melawat tapak pameran. - FOTO Saifullizan Tamadi

HAZRITA (duduk, kiri) hadir Pameran Amal Karya Seni 2024. - FOTO Saifullizan Tamadi
HAZRITA (duduk, kiri) hadir Pameran Amal Karya Seni 2024. - FOTO Saifullizan Tamadi

KAKITANGAN Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melihat lukisan Pameran Amal Karya Seni 2024. - FOTO Saifullizan Tamadi
KAKITANGAN Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melihat lukisan Pameran Amal Karya Seni 2024. - FOTO Saifullizan Tamadi

"Tambahan pula saya seorang yang bekerja keras dan tidak boleh duduk diam tanpa melakukan sebarang aktiviti.

"Sebelum tertubuhnya AMM dan jatuh sakit, saya adalah pengurus  acara program serta mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang pengurusan perhotelan," katanya.

Ditanya mengenai perancangannya pada masa hadapan Hazrita berkata, dia ingin mewujudkan galeri seni visual bergerak menggunakan sebuah bas supaya pameran lukisan boleh diadakan di banyak lokasi.

"Selain itu, kita juga mahu mempunyai galeri seni visual tetap agar lebih banyak karya menarik dapat dipamerkan  kepada umum" katanya.

Dalam pada itu, Hazrita berkongsi 'rahsia' yang membuatkan dia bangkit selepas diuji dengan penyakit angin ahmar.

Katanya, selain berdamai dengan takdir, dia juga mengambil pendekatan berfikiran positif dengan dugaan menimpanya itu.

"Sebenarnya setiap yang berlaku kepada seseorang mempunyai hikmat tersendiri. Jadinya perlu bersangka baik kepada Allah SWT.

"Saya berpegang kepada ayat ini yang mana Allah SWT tidak membebani seseorang di luar kemampuannya.

"Oleh itu, kita sebagai hamba-Nya tidak boleh berputus asa dan perlu kuat daripada segi mental dan fizikal untuk melawan kelemahan diri," katanya.

Namun katanya, sokongan keluarga juga sangat diperlukan dan bersyukur suami banyak membantu sama ada ketika dalam fasa susah atau senang.

"Saya seorang berjiwa besar dan bersemangat tinggi hingga ada kalanya perlu menasihati diri sendiri.

"Ini kerana dua sifat itu pernah membuatkan saya gagal dalam pengurusan acara.

"Ada kalanya kita terlupa bahawa terdapat perkara yang boleh dicapai dengan semangat dan sebaliknya.

"Oleh itu, saya perlu lebih bertenang dan rasional dalam membuat keputusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 7:00 AM