BANGGA dapat mewakili Orang Asli untuk menceburi bidang ini.
BANGGA dapat mewakili Orang Asli untuk menceburi bidang ini.
Muhamaad Razis Ismail


SETIAP hari, Dr Tan Bee Hui, 27, perlu berulang-alik dari rumah ibu bapanya di Kuala Rompin, Pahang ke tempatnya bertugas di Muadzam Shah sejauh 140 kilometer.

Sejak bergelar doktor gigi di Klinik Pergigian Muadzam Shah pada Jun lalu, anak sulung daripada dua beradik perlu bertolak dari rumah pada jam 6.45 pagi untuk menempuh perjalanan 50 minit sebelum memulakan tugas seawal 8 pagi.

Bagaimanapun, atas rasa tanggungjawab, beliau yang mesra disapa Dr Bee itu tidak pernah mengeluh, malah berasakan perjalanan yang jauh terasa begitu dekat kerana seronok dapat terus berbakti kepada masyarakat setempat.

Kongsi Dr Bee, ketika masih belajar, ramai yang terkejut apabila mengetahui dia adalah Orang Asli.

"Saya tidak malu, malah bangga menjadi Orang Asli dan ia adalah pendorong kepada diri untuk membuktikan bahawa mampu menempa kejayaan seperti bangsa lain.

"Biarpun begitu, saya tidak pernah didiskriminasi rakan di universiti," katanya.

Menurutnya, sejak kecil dia bercita-cita menjadi doktor sebelum memutuskan ingin menjadi doktor gigi selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

GEMBIRA dapat menabur bakti dan memberi khidmat kepada masyarakat setempat.
GEMBIRA dapat menabur bakti dan memberi khidmat kepada masyarakat setempat.

"Selepas peperiksaan saya lebih berminat pada rawatan yang membabitkan pergigian kerana ingin membantu masyarakat setempat dan Orang Asli.

"Arwah nenek dan saudara-mara saya gemar memakan daun sirih dan buah pinang. Tabiat itu menyebabkan gigi mereka kelihatan merah dan saya berfikir dengan menjadi doktor gigi boleh menolong mereka," katanya.

Mengulas lanjut, antara kepuasan dan keseronokan menjadi doktor gigi, dia dapat membantu Orang Asli untuk mendapatkan rawatan gigi yang diperlukan.

Oleh kerana di sekitar bandar ini (Muadzam Shah) ada banyak perkampungan Orang Asli, klinik sering menjadi tumpuan dalam masyarakat berkenaan.

"Pada masa sama, saya juga dapat wujudkan kesedaran dalam kalangan mereka mengenai kepentingan menjaga kesihatan mulut.

TIDAK lokek berkongsi ilmu berkenaan penjagaan gigi.
TIDAK lokek berkongsi ilmu berkenaan penjagaan gigi.

"Kini mereka juga lebih berani untuk datang ke klinik bagi mendapatkan rawatan apabila mengetahui saya juga adalah Orang Asli," katanya.

Tambahnya, dorongan ibu bapanya menjadi penguat semangat untuk merealisasi cita-citanya bergelar doktor gigi.

"Ibu tidak pernah menerima pendidikan kerana kemiskinan hidup manakala ayah pula hanya belajar sampai sekolah rendah. Mereka bekerja sejak kecil untuk menampung kos hidup.

"Biarpun serba kekurangan, ibu belajar menulis dan membaca dengan usaha sendiri serta mengajar kami dengan apa yang dia tahu.

"Malah, kami dua beradik sering diingatkan bahawa kesusahan hidup tanpa pelajaran dan situasi itu mendorong kami untuk belajar kerana ingin mengubah hidup dan keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Berkongsi perasaannya apabila berjaya menjadi doktor gigi, Dr Bee mengakui bangga dapat mewakili Orang Asli untuk menceburi bidang ini.

"Saya berharap ramai anak Orang Asli yang mendapat inspirasi untuk menceburi apa-apa bidang yang mereka minat.

"Ibu bapa juga dinasihatkan supaya sentiasa menitikberatkan pendidikan anak-anak supaya dapat keluar dari kepompong kemiskinan," katanya.

IBU bapa menjadi pendorong Dr Bee untuk meraih kejayaan.
IBU bapa menjadi pendorong Dr Bee untuk meraih kejayaan.

Ditanya berkenaan perancangan masa hadapan, dia ingin terus memberi khidmat terbaik kepada semua bangsa dan agama di negara ini.

"Jika diberi peluang, saya berharap dapat berkhidmat di Klinik Pergigian Hospital Orang Asli Gombak suatu hari nanti untuk terus memberi rawatan kepada Orang Asli yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 5:01 AM