MODEL menampilkan inspirasi Kesheen ketika pertunjukan Navarasa baru-baru ini.
MODEL menampilkan inspirasi Kesheen ketika pertunjukan Navarasa baru-baru ini.
Nurul Husna Mahmud


TEKNIK 'drapping' antara kaedah mengacu fabrik terus kepada busana tanpa menggunakan pola sering dipraktiskan pereka dalam pertunjukan fesyen.

Malah, teknik sama digunakan pereka berpengalaman lebih 15 tahun, Kalaivany Kuppusamy ketika mempersembahkan 10 koleksi jenamanya Kalai dalam Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa anjuran Bkay Nair Resources di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur batu-baru ini.

Menurut Kalaivany, dia turut tampilkan keunikan dengan penggunaan fabrik songket apabila dijadikan sebagai material 'bersama' dengan kain sari untuk ciptakan sari versi Malaysia.

"Cabaran daripada penganjur kepada saya antara lapan pereka terpilih adalah menghasilkan 10 rupa versi sari atau lehenga (skirt sari) bercirikan identiti Malaysia.

"Bagi rekaan kali ini, saya pilih teknik 'drapping' sari dengan kombinasi blaus menggunakan fabrik songket.

"Teknik drapping sari membantu saya mengetengahkan pelbagai gaya pada pakaian tradisi masyarakat India.

'Diharap dapat mengikis skeptikal sebelum ini terutama golongan muda mengenai sari atau lehenga hanya sesuai dipakai ketika perayaan Deepavali atau majlis perkahwinan," katanya.

MENGGUNAKAN elemen fabrik songket dan batik.
MENGGUNAKAN elemen fabrik songket dan batik.

Tidak hanya itu, Kalaivany juga mencipta sari versi tempatan yang sesuai digayakan pelbagai lapisan masyarakat.

"Koleksi kali ini juga antara 'buah tangan' terbaru daripada Kalai kerana mengambil kira rekaan juga dipakai masyarakat majmuk di Malaysia.

"Jadi untuk koleksi ini saya turut datangkan versi sari sesuai digayakan mereka yang menutup aurat.

"Saya berasa ini antara sumbangan saya sebagai pereka tempatan untuk menyatukan rakyat Malaysia menerusi fesyen," katanya.

Pereka muda Kesheen Regunathan, 24, juga memiliki visi yang sama seperti Kalaivany yang mana mahu 'menghidupkan' busana tradisi etnik India itu supaya dilihat memenuhi permintaan trend semasa.

"Saya menyimpan harapan pakaian tradisi India seperti sari, kurta dan banyak lagi yang boleh mengetengahkan sesuatu berciri tempatan.

"Berdasarkan pengamatan saya, banyak penjual pakaian tradisi India di Malaysia membawa masuk busana tradisi dari India dan mendakwa ia rekaan mereka.

"Saya rasa peranan itu perlu dimainkan pereka tempatan seperti saya untuk tampilkan keaslian dan karakter tempatan bagi pakaian tradisi India Malaysia.

"Dalam pada itu saya mahu penerimaan pakaian etnik India di Malaysia juga boleh menjadi popular seperti pakaian harian atau tampil dalam sebarang acara," katanya.

Kesheen memilih untuk 10 koleksi di bawah jenamanya KR dengan menampilkan konsep lebih segar menerusi motif kontemporari apabila menggunakan material lebih ringan.

"Penggunaan material saya pilih adalah karakter yang sesuai dengan persekitaran dan cuaca di Malaysia.

"Fabrik digunakan lebih ringan, pengudaraan baik selain motif atau corak tampak segar atau baru berbanding motif rekaan konvesional yang lebih berat dan sarat.

"Ia dapat memberi imej pakaian tradisi seperti sari dan kurta masih 'trendy' serta sofistikated sesuai dipakai sebagai pakaian harian atau lebih kasual.

SARI versi Malaysia mahu diperluaskan Bkay.
SARI versi Malaysia mahu diperluaskan Bkay.

"Idea keseluruhannya sesuatu yang ringkas tetapi masih bergaya. Contoh rekaan ialah 'wrapped skirt' (lilitan skirt) menyerupai cara sari digayakan. Ia lebih moden tetapi masih memberi aura tradisi dalam koleksi terbabit," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program dan selaku Penganjur, Bkay Nair, menyifatkan usaha pihaknya memperkenalkan sari Malaysia berhasil direalisasikan menerusi kolaborasi lapan pereka tempatan yang mengambil bahagian.

"Acara ini julung kali dianjurkan dalam usaha mengangkat busana tradisi masyarakat India Malaysia, sari menerusi penggunaan fabrik dinobatkan sebagai fabrik warisan antaranya batik, sutera dan songket.

"Kita berharap idea memperkenalkan sari bercirikan identiti tempatan dapat diketengahkan peringkat global.

"Saya mempunyai visi rekaan dihasilkan pereka tempatan ini dapat pergi jauh sehingga peringkat global dan mempersembahkan kepada ibu kota fesyen terkenal seperti Paris dan seluruh Eropah," katanya.

Selain pertunjukan fesyen, acara terbabit juga mengiktiraf usaha pereka tempatan menerusi beberapa anugerah.

Bagi Anugerah Pereka Baharu memberi peluang kepada pelajar fesyen untuk terus mengembangkan potensi mereka dimenangi Naresh Yempati. Manakala Anugerah Pereka Paling Kreatif menjadi milik Kesheen bagi mengiktiraf pereka senior yang berdaya kreatif.

Anugerah Keunggulan Warisan Malaysia pula diberikan kepada pereka senior dengan rekaan warisan Malaysia dimenangi Munir Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 7:02 AM