DLANCONGFLEET geng ronda Sabah guna motosikal.
DLANCONGFLEET geng ronda Sabah guna motosikal.
Lizam Ridzuan


AKTIVITI permotoran terutama untuk perjalanan jauh kini lebih terbuka dan sesiapa sahaja boleh melakukannya tanpa mengira apa juga jenis motosikal dan kapasiti enjin.

Jika Semenanjung Malaysia sudah habis dironda mungkin destinasi seterusnya ke Kepulauan Borneo bagi merasai pengalaman berbeza.

Untuk itu sekumpulan pemilik motosikal cub dikenali dengan D'Lancong Fleet melakukan penjelajahan mengelilingi negeri Sabah dengan enam individu diketuai penyelaras program M Haizal Raz Khan daripada Bros Moto Crew.

Ia turut disertai Pempengaruh Media Sosial - Aku dan Rodaku, Azman Ali, Pempengaruh Media Sosial - Kami Mengembara, Abd Razak dari Club Antique Motor Kulim, ahli Yamaha Sport Northern Community-YSNC, Abd Latif dan Editor Majalah Kapcai, Ghani Arafat.

Ia meliputi perjalanan hampir 1,800 kilometer (km) bermula di Kota Kinabalu dan melalui beberapa daerah seperti Tuaran, Kudat, Kota Belud, Kundasang, Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau, Keningau, Tenom dan kembali ke Kota Kinabalu.

Penyelaras Program M Haizal Raz Khan berkata, tujuan utama penjelajahan untuk mempromosi tempat pelancongan di Sabah serta menggalakkan percutian dalam negara.

"Sabah ada banyak tempat istimewa dan salah satunya 'hutan belantara' di Maliau Basin.

"Lokasi tersebut jauh daripada pencemaran dan bentuk muka bumi aneh berbentuk besen, selain ia dihuni binatang dan tumbuhan jarang dijumpai, maka ada yang menggelarkannya sebagai 'The Lost Word Of Borneo'," katanya yang melakukan penjelajahan Julai lalu.

Sepanjang perjalanan antara lokasi lain disinggahi ialah Tip Of Borneo di Kudat, Kinabalu Park, Taman Orang Utan Sepilok di Sandakan, Kampung Bangau Bangau di Semporna, Stesen Keretapi Retro di Tenom, Magnetic Hill di Banjaran Crocker serta pusat kraftangan dan cenderamata di Pasar Filipina Kota Kinabalu.

Jentera digunakan dua Yamaha Lagenda 115, tiga Yamaha 135LC dan sebuah Honda RS150R dengan kos bahan api dianggar RM150 setiap motosikal untuk keseluruhan jelajah.

Antara cabaran ditempuhi ialah melewati jalan raya yang seperti 'permukaan bulan' di daerah Telupid, dan kerosakan jentera di laluan balak dan berbukit.

Cabaran lain di Sabah ketika mereka melalui kawasan laluan gajah liar di Kalabakan, tetapi dengan pengalaman masing-masing dalam arena 'adventure', mereka dapat mengharunginya dengan selamat.

Ekspedisi 11 hari mendapat tajaan beberapa syarikat termasuk Lembaga Pelancongan Sabah dan jika ada penunggang mahu merasai sendiri keindahan Sabah dengan bermotosikal boleh layari laman Facebook grup ini di Bro's Moto Crew Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 6:55 AM