Muhamaad Razis Ismail


SEMANGAT patriotik atau rasa kecintaan yang mendalam pada negara dalam kalangan kanak-kanak dapat mewujudkan rasa kebersamaan dalam diri untuk menjadi sebahagian daripada anggota yang membentuk masyarakat Malaysia.

Rasa kebersamaan adalah elemen penting yang perlu ada untuk membina keyakinan diri dalam diri kanak-kanak.

Kanak-kanak yang memiliki rasa kebersamaan yang tinggi dengan mereka di sekelilingnya akan merasa lebih selamat dan selesa untuk berkembang dengan sihat.

Perunding Keibubapaan yang juga Pengasas Parent Connect, Noor Afidah Abu Bakar berkata, dengan memiliki semangat patriotik, identiti diri juga dapat dibina.

Katanya, sekiranya semangat patriotik dipupuk daripada kecil, kanak-kanak akan sentiasa merasa bangga dengan tanah air sendiri dan sentiasa mencari ruang serta peluang untuk menyumbang demi kebaikan negara.

"Semangat patriotik dalam diri kanak-kanak banyak bergantung kepada orang dewasa di sekeliling mereka dan pendedahan yang diberikan sama ada secara langsung atau pun melalui media.

"Sekiranya kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang sentiasa mengagungkan tanah air sendiri dan memartabatkan identiti nasional, maka kanak-kanak juga akan tumbuh dan membesar sebagai individu yang mempunyai semangat patriotik tinggi.

"Namun sekiranya yang dilihat dan didengar kanak-kanak itu hanyalah cemuhan yang tidak berasas terhadap tanah air sendiri, ditambah pula dengan sikap suka merendah-rendahkan negara sendiri dan mengagung-agungkan negara luar, maka semangat patriotik itu sukar dimiliki oleh kanak-kanak," katanya.

IBU bapa dan juga pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendedahkan kanak-kanak kepada sejarah tanah air.
IBU bapa dan juga pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendedahkan kanak-kanak kepada sejarah tanah air.

Menurutnya, semangat patriotik tidak dapat disemai sekiranya kanak-kanak tidak mengetahui sejarah tanah air.

"Jiwa kanak-kanak suci dan murni. Mereka suka melihat dan meniru perkara yang dilakukan individu yang lebih dewasa.

"Oleh itu, ibu bapa dan juga pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendedahkan kanak-kanak kepada sejarah tanah air melalui aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan usia mereka," katanya.

Noor Afidah berkata, kanak-kanak boleh dibawa mengunjungi muzium dan tempat-tempat bersejarah supaya mereka dapat melihat dan menjiwai sejarah tanah air, bukan hanya sekadar membaca atau diajar di bilik darjah.

"Mereka juga perlu didedahkan kepada adat resam dan kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia. Kepelbagaian kebudayaan inilah yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik dan harus dibanggakan.

"Selain itu, kanak-kanak juga harus digalakkan bukan sahaja untuk menghafal Rukun Negara, malah menghayati makna setiap baris Rukun Negara yang menjadi asas kepada identiti dan keharmonian negara," katanya.

AKTIVITI mengunjungi tempat bersejarah dapat memupuk semangat patriotik.
AKTIVITI mengunjungi tempat bersejarah dapat memupuk semangat patriotik.

Katanya, kanak-kanak perlu digalakkan untuk menyertai aktiviti patriotik sama ada di sekolah, di kawasan kejiranan, di mana-mana di daerah tempat tinggal atau secara dalam talian.

"Antara aktiviti yang sering diadakan adalah melukis, mereka bentuk, penghasilan video, tarian, nyanyian, deklamasi sajak, fesyen, esei dan sebagainya.

"Aktiviti-aktiviti sebegini sering kali menarik minat kanak-kanak dan secara tidak langsung dapat memupuk semangat patriotik dalam diri kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, semangat patriotik perlu disemai dari awal kerana kanak-kanak adalah generasi pelapis yang akan menjadi pemimpin suatu hari nanti.

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kemenjadian mereka bergantung kepada bagaimana ibu bapa dan orang dewasa mendidik mereka pada hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 7:00 AM