IBU murid menggayakan pakaian tradisional pelbagai kaum. FOTO Hassan Omar
IBU murid menggayakan pakaian tradisional pelbagai kaum. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Alor Gajah: Lazimnya murid taman bimbingan kanak-kanak akan menggayakan pakaian beragam sempena hari kebangsaan.

Namun berbeza di Tabika Perpaduan Taman Datuk Tamby Chik Karim Masjid Tanah, di sini, apabila ibu bapa memakai busana khas bagi mempamerkan semangat patriotik.

Tanpa rasa kekok, mereka menggayakan pelbagai pakaian berkonsepkan kepelbagaian kaum di negara ini di atas pantas disediakan pada majlis penutup sambutan kemerdekaan tabika itu tadi

Turut hadir Penolong Pegawai Perpaduan, Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak negeri, Norsham Jantan, selain guru tabika, Mahyum Ahmad dan Masitah Sulong.

Mohd Adam Abdullah, 36, berkata, dia dan isteri, Norain Zulkapli, 31, serta anak, Mohd Danish berusia enam tahun menggayakan pakaian tradisional masyarakat Kadazan di Sabah bagi memeriahkan program itu dan mempamerkan semangat cinta dan kasih terhadap tanah air.

"Pakaian ini saya bawa dari tempat kelahiran saya di Telupid, Sabah, ketika mula merantau di negeri ini dan bertemu jodoh di sini," katanya ketika ditemui pada program itu tadi.

Sementara itu, Jamira Azura Jamaluddin, 38, berkata, beliau menggayakan pakaian sari masyarakat India bagi mempamerkan kepelbagaian kaum yang mampu hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta bertoleransi.

MURID melafazkan ikrar Rukun Negara pada Sambutan Kemerdekaan Tabika Perpaduan Taman Datuk Tamby Chik Karim Masjid Tanah, dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
MURID melafazkan ikrar Rukun Negara pada Sambutan Kemerdekaan Tabika Perpaduan Taman Datuk Tamby Chik Karim Masjid Tanah, dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar

"Suami, Md Khairul Idris tidak keberatan menyertai program ini demi anak kami yang turut menggayakan pakaian berkonsep Jalur Gemilang kerana kami amat sayang akan negara tercinta ini," katanya.

Syafiqah Md Ayob, 32, berkata, beliau mengeluarkan kos menyewa pakaian masyarakat Cina semata-mata untuk mempamerkan sifat keterbukaan masyarakat Melayu terhadap seni dan budaya masyarakat lain asalkan ia tidak melanggar syariat.

"Saya selesa menggayakan pakaian tradisional masyarakat Cina bagi menambah seri program ini dan sempena hari penubuhan Malaysia esok," katanya.

Rashidah Md Isa, 36, yang menggayakan pakaian tradisional etnik Kadazan, berkata, beliau menyewa pakaian berkenaan daripada rakannya yang berasal dari Sabah semata-mata mahu membuktikan kasih dan sayangnya kepada negara.

"Saya bangga dapat menggayakan pakaian etnik Kadazan walaupun saya sendiri bukan berasal dari Sabah kerana semua etnik di negara ini adalah rakyat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 6:25 PM