KANAK-KANAK teruja menyertai program pendidikan yang diadakan khas untuk mereka.
KANAK-KANAK teruja menyertai program pendidikan yang diadakan khas untuk mereka.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kira-kira 30,000 kanak-kanak di Pulau Mabul, Sabah dipercayai tidak mempunyai status kerakyatan dan kebanyakan mereka adalah penduduk tempatan.

Disebabkan kekurangan itu, mereka berhadapan halangan tidak boleh mengakses kemudahan pendidikan, bantuan persekolahan, kesihatan, kebajikan sosial dan manfaat lain.

Situasi itu mendorong Persatuan Ekspansi Amal dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Mabul menganjurkan program Pendidikan Kanak-kanak Mabul 2018 di pulau berkenaan, baru-baru ini.

Persatuan Ekspansi Amal terdiri daripada 10 penuntut Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

PROGRAM Pendidikan Kanak-kanak Mabul 2018 berlangsung tiga hari.
PROGRAM Pendidikan Kanak-kanak Mabul 2018 berlangsung tiga hari.

Pengerusi Persatuan Ekspansi Amal T Sathiya Kumar berkata, tujuan utama penganjuran program berkenaan ialah untuk membantu kanak-kanak terbabit supaya dapat mengakses pelbagai kemudahan dengan lebih baik.

“Kami mahu kanak-kanak di sini tidak ketinggalan dalam menerima pembangunan meskipun ia tidak seperti kanak-kanak di Semenanjung.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat melalui proses menjadi modal insan yang sempurna dan tidak diabaikan,” katanya.

Katanya, antara aktiviti dijalankan persatuan itu adalah membabitkan diri dengan kerja membaik pulih infrastruktur sedia ada seperti pemasangan bumbung dan mengecat bersama penduduk setempat.

SATHIYA mengecat sekolah pada program Pendidikan Kanak-kanak Mabul 2018.
SATHIYA mengecat sekolah pada program Pendidikan Kanak-kanak Mabul 2018.

“Kami juga akan membekalkan keperluan dalam meningkatkan taraf pendidikan di Pulau Mabul seperti projektor, komputer riba, buku rujukan dan alat tulis.

“Menerusi kelengkapan itu, kami bukan saja mahu mereka mendapat pendidikan dengan sempurna, malah berpeluang menjalani kehidupan dengan selesa,” katanya.

Beliau berkata, persatuan itu ditubuhkan bagi menggalakkan penuntut pasca siswazah terbabit aktif dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

PENUNTUT menyusun peralatan yang digunakan dalam program.
PENUNTUT menyusun peralatan yang digunakan dalam program.

“Inisiatif diperkenalkan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB)-UKM, Prof Madya Dr Zaher Zain ini dilihat sebagai cara baru yang sangat baik dalam memupuk semangat keprihatinan penuntut berkenaan program CSR yang dapat memberi impak kepada masyarakat dan pihak lain.

“Aktiviti ini bukan saja dilihat sangat bermanfaat kepada masyarakat setempat di Pulau Mabul, malah turut mendedahkan penuntut GSB-UKM dengan semangat berpasukan, berkasih sayang, kemanusiaan, budaya tempatan yang unik dan keindahan alam,” katanya.

Malah, beliau turut mengharapkan usaha murni dan semangat diperjuangkan Persatuan Ekspansi Amal bersama penuntut pasca-siswazah UKM itu dijadikan contoh kepada penuntut di negara ini dalam membantu golongan memerlukan.

 KANAK-KANAK membaca buku rujukan yang disediakan sukarelawan.
KANAK-KANAK membaca buku rujukan yang disediakan sukarelawan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 11:39 AM