GURU SK Ulu Tembeling terpaksa menaiki perahu meredah sungai Tembeling selama 20 minit untuk menghantar sendiri modul PdPR  ke rumah murid Orang Asli Kampung Sungai Kuching. FOTO Ihsan guru SK Ulu Tembeling
GURU SK Ulu Tembeling terpaksa menaiki perahu meredah sungai Tembeling selama 20 minit untuk menghantar sendiri modul PdPR ke rumah murid Orang Asli Kampung Sungai Kuching. FOTO Ihsan guru SK Ulu Tembeling
Roselan Ab Malek

Jerantut: Demi memastikan murid Orang Asli tidak ketinggalan, guru Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling bertindak meredah Sungai Tembeling menggunakan perahu bagi menghantar modul Pengajian dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ke rumah mereka.

Guru Besarnya, Ahmad Zaki Kassim berkata, usaha itu diambil berikutan ada murid orang asli yang tinggal kawasan pedalaman di Ulu Tembeling yang mempunyai liputan internet tidak stabil dan sering terganggu.

Menurutnya, sekolah mereka terletak di Kampung Bantal, Ulu Tembeling yang mempunyai 91 murid termasuk 21 murid Orang Asli.

"Pengajaran secara dalam talian tidak dapat dijalankan dengan baik kerana kelemahan liputan selular selain ramai keluarga murid yang tidak mempunyai kemudahan telefon pintar atau peralatan komunikasi.

"Sebelum ini sebahagian besar murid tinggal di asrama kerana rumah terletak jauh dari kawasan sekolah. Manakala murid Orang Asli pula tinggal di perkampungan Orang Asli di Sungai Kuching yang hanya boleh dihubungi melalui laluan sungai sahaja.

GURU SK Ulu Tembeling bertemu murid untuk menghantar sendiri  modul Pengajian dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ke rumah murid Orang Asli Kampung Sungai Kuching bagi memastikan mereka tidak ketinggalan. FOTO Ihsan guru SK Ulu Tembeling
GURU SK Ulu Tembeling bertemu murid untuk menghantar sendiri modul Pengajian dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ke rumah murid Orang Asli Kampung Sungai Kuching bagi memastikan mereka tidak ketinggalan. FOTO Ihsan guru SK Ulu Tembeling

"Terdapat 21 murid Orang Asli daripada suku kaum Semaq Beri. Mereka terdiri daripada tahun satu hingga enam. Demi memastikan mereka tidak ketinggalan guru akan menaiki perahu dalam tempoh masa 20 minit untuk menghantar modul PdPR itu. Ia akan dihantar dan dikutip setiap minggu," katanya.

Beliau berkata, bagi murid lain yang tinggal berhampiran sekolah, ibu bapa mengambil sendiri modul PdPR di sekolah manakala yang jauh guru akan menghantarnya ke rumah.

"Sekolah ini mempunyai seramai 17 guru, di mana tujuh guru menemui penduduk Orang Asli, manakala guru lain berjalan kaki atau menunggang motosikal berkunjung ke rumah penduduk lain di kampung berhampiran," katanya.

Sementara itu, seorang guru tahun enam, Marliyana Mohd Norrollah berkata misi guru SK Ulu Tembeling menghantar modul PdPR kepada murid Orang Asli adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

"Dalam masa yang sama juga kami dapat berkenalan dengan ibu bapa mereka dengan lebih dekat dan berbincang mengenai pelajaran anak mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 4:01 PM