Hafiz Ithnin

Lebih 30 selebriti sudah menggunakan khidmatnya dalam menggayakan tudung, lebih 100 kempen dan pelbagai lagi muka hadapan majalah menggunakan sentuhan magisnya.

Namun, dia merasakan dirinya masih lagi hijau berbanding jurugaya hijab yang lebih banyak pengalaman dan sudah menggayakan banyak nama-nama insan tersohor di tempatan.

Bagi Yaya Ibrahem, 30, tiada yang lebih indah apabila hasil sentuhannya menjadi 'trend setter' penggayaan hijab dalam kalangan pemakai hijab tempatan.

"Saya menjadi jurugaya hijab bukan kerana wang semata-mata, sebaliknya ingin berkarya di dalam dunia fesyen yang sebenarnya membabitkan penggayaan hijab.

"Si pemakai hijab pada hari ini bukan sekadar ingin menonjolkan pesona busana sahaja malah dandanan hijab perlu selari dengannya," katanya.

Anak kelahiran Terengganu itu sebenarnya memiliki sarjana muda rekaan fesyen dari sebuah universiti tempatan. Selama dua tahun menjadi pereka fesyen, dia beralih menjadi pembantu jurugaya.

Yaya berkata, selepas dua tahun menjadi jurugaya, dia banyak menjadi pembantu jurugaya dalam hijab kepada mereka yang lebih berpengalaman.

"Selepas mempunyai keyakinan untuk bergerak solo, saya memulakan langkah untuk menerokai bidang ini yang ternyata banyak cabarannya.

"Setakat ini saya sudah menjadi jurugaya hijab kepada lebih 30 orang selebriti tempatan sama ada untuk sesi fotografi, acara peribadi, rakaman muzik video dan juga konsert," katanya.

YAYA sentiasa memastikan setiap sentuhannya berlainan. FOTO Yaya Ibrahem
YAYA sentiasa memastikan setiap sentuhannya berlainan. FOTO Yaya Ibrahem

Ditanya mengenai cabaran, Yaya berkata, jurugaya hijab perlu mempunyai kreativiti dalam mempersembahkan gaya kepada pelanggan supaya ia nampak serasi dengan busana, acara dan juga mempunyai kelainan tersendiri.

"Bukan mudah sebenarnya menjadi jurugaya hijab ini. Kita perlu kreatif dalam mempersembahkan idea kepada pelanggan yang biasanya mereka menjadi tumpuan khalayak terutama golongan selebriti.

"Jika idea yang diterapkan itu tidak kena dengan budaya misalnya, perkara itu akan diperkatakan negatif oleh khalayak dan saya sudah melalui pengalaman itu," jelasnya.

Tambah Yaya, lebih sukar apabila pelanggannya mempunyai gaya tersendiri seperti gemar dalam fesyen avant-garde atau busana seni ketika menghadiri acara tertentu atau membuat persembahan.

"Jadi saya perlu mengkaji gaya hijab yang sesuai dengan busana yang bakal disarungkan pelanggan. Saya perlu menunjukkan beberapa jenis gaya kepada mereka sebelum hari kejadian supaya pelanggan tidak bersiap terlalu lama.

"Begitu juga dengan 'ketangkasan,' dalam acara konsert misalnya jurugaya hanya mempunyai masa dua minit untuk menukar persalinan artis. Jadi saya perlu pantas menggayakan hijab mereka dan pada masa yang sama ia sentiasa 'terletak' serta tidak mengganggu persembahan," katanya.

AINA Abdul antara selebriti yang mendapat sentuhannya. FOTO Yaya Ibrahem
AINA Abdul antara selebriti yang mendapat sentuhannya. FOTO Yaya Ibrahem

Lebih mencabar Yaya berkata, apabila dia perlu menjadi jurugaya hijab untuk persembahan artis yang diketahui agresif ketika membuat persembahan.

"Apabila mengetahui mengenai seseorang yang bakal mendapatkan sentuhan saya, perkara pertama perlu diketahui adalah kebiasaan pergerakannya ketika membuat persembahan.

"Jadi, apabila seorang artis itu diketahui umum bergerak agresif di atas pentas, saya perlu memastikan gaya hijab itu sentiasa terletak dan memberi keselesaan kepada si pemakai. Jika tidak, kesannya kepada si empunya diri itu dan saya sebagai jurugaya akan menjadi individu yang perlu bertanggungjawab," katanya.

Meskipun sudah membina nama dalam kalangan individu terkenal tempatan, Yaya sebenarnya bukan seorang yang memilih pelanggan. Baginya setiap individu tanpa memilih status boleh mendapatkan sentuhannya.

"Saya seorang yang sentiasa membuka pintu untuk orang lain menerima sentuhan seni saya tanpa mengira latar belakang mereka. Perkara paling utama ialah mereka bersetuju dengan bayaran yang dikenakan.

"Di dalam bidang jurugaya hijab biasanya kami menawarkan harga bermula RM350 untuk satu gaya dan ia boleh meningkat jika membabitkan konsert atau memerlukan jurugaya hijab itu berada lama di lokasi yang diinginkan," katanya.

YAYA komited dalam menjadi jurugaya hijab. FOTO Yaya Ibrahem
YAYA komited dalam menjadi jurugaya hijab. FOTO Yaya Ibrahem

Yaya berkata, pada masa depan dia mempunyai impian untuk memiliki kumpulan atau firma jurugaya hijab sendiri dan mampu membuat kelas mengenai seni itu kepada orang ramai.

"Jujurnya saya masih baru dan belum layak untuk mengadakan kelas secara persendirian kepada orang lain. Buat masa ini saya pernah terbabit dengan sesi perkongsian umum menerusi jenama tudung tempatan.

"Saya masih lagi mengasah bakat dan bercita-cita mampu memiliki sebuah firma yang mampu menawarkan khidmat jurugaya hijab profesional dalam industri fesyen pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 10:45 AM