REKAAN baju hoodie menampil grafik Felix gaya varsiti.
REKAAN baju hoodie menampil grafik Felix gaya varsiti.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


FELIX the Cat, bukan sahaja watak kartun kucing kanak-kanak popular, malah menjadi kegemaran pelbagai lapisan umur di seluruh dunia.

Menerusi karakter comel yang nakal, Felix the Cat antara watak kartun terkenal dalam sejarah filem dan televisyen.

Bagi memberi penghargaan kepada watak kartun itu, jenama terkenal, Levi's bergabung dengan Felix the Cat untuk menghasilkan koleksi fesyen menarik sempena Musim Luruh/Dingin 2021.

Koleksi Felix the Graduate itu meneroka idea ketika Felix berada di kolej dan mengembalikan semula memori ketika berada di universiti.

Dalam siri itu, Felix mengenakan helaian kontemporari pada rekaan klasik dan gaya varsiti antaranya baju panas, kemeja ragbi, hoodie, jaket, seluar dan kemeja-T.

Gaya fesyen itu pertembungan antara penampilan kemas di kolej dengan stail jalanan tahun 90-an, dari segi bentuk serta bayangan moden.

Ia menzahirkan gabungan koleksi terbaik masa lalu dan zaman sekarang yang disemarakkan lagi dengan pengaruh budaya pop.

Ketua Pegawai Produknya, Karyn Hillman berkata, kolaborasi itu sama sekali tidak pernah dijangka dan konsep Felix the Graduate ditampilkan bagi menyerlahkan penampilan Felix sebagai pelajar kolej.

Kata Karyn, gaya 'preppy' dan varsiti nyata relevan ketika ini dan pihaknya turut menggemari penampilan segak yang kemas, namun masih tampak ringkas serta santai.

SETIAP elemen dalam koleksi mengambil ilham grafik arkib Felix dan kolej klasik.
SETIAP elemen dalam koleksi mengambil ilham grafik arkib Felix dan kolej klasik.

"Sememangnya ada sedikit cetusan gaya lucu dan nakal pada koleksi ini yang amat sesuai dengan karakter Felix.

"Kami seronok menghasilkan koleksi ini dengan pelbagai elemen kolej dan menjadikannya lebih segar serta moden di samping menggabungkan imej ikonik dari arkib Felix," katanya.

Direka dengan idea lebih segar pada gaya klasik jenama itu, koleksi berkenaan turut menampilkan rekaan seluar denim ringan untuk wanita yang berdasarkan seluar Levi's Balloon 1920-an.

Ia menyerlahkan potongan lebar dan longgar dengan lipatan di bahagian tengah.

Untuk lelaki pula, versi seakan-akan sama disediakan, dikenali sebagai Levi's x Felix Pleated Pant untuk penampilan yang lebih varsiti.

Setiap elemen dalam koleksi itu mengambil ilham grafik arkib Felix dan ciri kolej klasik.

BEG tote denim dengan kemasan timbul grafik Felix pada bahagian atasnya serta topi yang boleh diguna dua belah adalah antara aksesori yang ditampilkan dalam koleksi berkenaan.
BEG tote denim dengan kemasan timbul grafik Felix pada bahagian atasnya serta topi yang boleh diguna dua belah adalah antara aksesori yang ditampilkan dalam koleksi berkenaan.

Kemeja berkolar separuh-separuh misalnya menampilkan jaluran ragbi pada satu bahagian sementara sulaman grafik Felix pada bahagian sebelahnya.

Turut disediakan, himpunan baju hoodie yang bukan sahaja menampilkan grafik Felix gaya varsiti, malah label lokar gimnasium pada bahagian hujung bajunya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 6:10 AM