GANGGUAN pada kelenjar peluh tidak halang pensyarah hasil inovasi daripada barang terpakai.
GANGGUAN pada kelenjar peluh tidak halang pensyarah hasil inovasi daripada barang terpakai.
Nurul Husna Mahmud


MELIHAT hasil kerja tangan Maslisa Zainuddin, 42 yang begitu rapi dan eksentrik dalam rekaan lampu tidur tiada siapa menyangka dia menghidapi hiperhidrosis.

Hiperhidrosis adalah gangguan pada kelenjar peluh menyebabkan kadar berpeluh berlebihan pada tapak tangan atau kaki.

Bagi Maslisa yang menghidapi masalah berkenaan, tugas semudah membuka pintu boleh menjadi sesuatu yang sukar dilakukan.

Menurut Ketua Jabatan Seni, Rekaan dan Media Universiti Sunway, Bandar Sunway, Subang Jaya Selangor itu dia kerap mengalami pelbagai insiden termasuk pernah patah kuku ketika membuka pintu.

"Setiap hari kehidupan saya tidak ubah seperti 'medan peperangan' kerana keadaan hiperhidrosis yang dialami menyukarkan pergerakan dan mengehadkan aktiviti.

"Tangan saya yang kerap basah dengan peluh menyebabkan sukar untuk pegang atau kendalikan objek.

"Begitu juga keadaannya jika saya menulis dan memegang kertas, kertas yang ditulis atau dipegang akan rosak atau basah lencun.

"Saya juga pernah cedera termasuk patah kuku ketika membuka pintu untuk masuk rumah atau kereta.

MASLISA teruja berkongsi mengenai koleksi inovasi unik daripada barang terpakai atau lama.
MASLISA teruja berkongsi mengenai koleksi inovasi unik daripada barang terpakai atau lama.

"Bayangkan jika saya mengendalikan peralatan pertukangan atau tajam, risiko yang saya hadapai berkali ganda berbanding individu biasa," katanya.

Menurut wanita memiliki susuk kecil molek itu, selain tangan, tapak kaki juga antara anggota badan yang kerap berpeluh menyebabkan tidak selesa untuk berjalan.

"Memang saya terpaksa membawa sapu tangan atau kain lap bersama setiap hari untuk pastikan tangan atau tapak kaki kering.

"Kadangkala kena bawa pakaian tambahan terutama jika jadual harian kerja padat untuk membolehkan saya selesa di universiti.

"Kerjaya saya sebagai tenaga pengajar, banyak aktiviti di luar dan dalam kampus termasuk program dengan pihak luar,"katanya.

FABRIK dan fesyen antara minat Maslisa.
FABRIK dan fesyen antara minat Maslisa.

Kata wanita berjiwa kental itu, penyakit yang dialaminya itu tidak menghalang atau mengehadkan dirinya melakukan perkara yang disukainya termasuk menghasilkan inovasi daripada barang lama dan terpakai.

"Jiwa saya lebih dekat dengan barangan lama yang ada elemen vintaj dan klasik. Sebenarnya barang lama ada kisah dan penceritaan.

"Atas faktor itu saya tertarik untuk baiki atau naik taraf barang lama atau terpakai menjadi sesuatu produk baharu seperti barangan hiasan rumah dan aksesori sehingga kepada fesyen.

"Saya sudah lakukan sejak lebih sedekad yang lalu bermula dengan projek rekaan fesyen daripada fabrik lama untuk dipakai diri sendiri," katanya.

Minatnya yang mendalam terhadap memberi nilai tambah kepada barang lama yang selalu dianggap sampah atau sesuatu yang tidak bernilai banyak membantu dirinya menjadi lebih positif.

"Saya pernah melalui fasa hidup yang sukar ketika zaman remaja kerana susuk badan saya yang lebih 'genit' berbanding wanita lain.

"Malah, saya tidak dapat mencari saiz baju yang sesuai dan diri semakin kehilangan keyakinan diri.

EKSENTRIK, tetapi elegan penarik dalam inovasi Maslisa yang juga peminat barangan vintaj dan klasik.
EKSENTRIK, tetapi elegan penarik dalam inovasi Maslisa yang juga peminat barangan vintaj dan klasik.

"Saya mula tangani masalah itu dengan menghasilkan pakaian sendiri daripada fabrik vintaj.

"Lama-kelamaan ia membantu saya lebih memahami diri termasuk positif dengan tubuh dimiliki.

"Pada saya apabila menukar sesuatu tiada nilai kepada lebih menarik dan berharga memberi kepuasan kepada diri," katanya.

Maslisa mengakui dia mahu memberi inspirasi kepada pelajar dan masyarakat mengenai tanggungjawab dengan melakukan aktiviti kitar semula atau memberi nilai baharu kepada barang lama.

Ia bukan sahaja menguntungkan dalam bentuk material, malah lebih dari itu.

"Apabila saya kongsikan projek terbaharu untuk inovasi barang kitar semula, pelajar dan keluarga antara yang paling teruja untuk melihat hasil akhir.

"Bapa saya datang dari latar belakang jurutera. Dia banyak bantu sertai projek yang saya jalankan.

IBU bapa antara pendorong kuat Maslisa.
IBU bapa antara pendorong kuat Maslisa.

"Projek hasilkan lampu tidur sebagai contoh antara paling rumit kerana membabitkan kerja menggerudi. Selain dapat hasilkan sesuatu yang berguna, saya dapat luangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga.

"Selain bapa, suami juga pendorong dan peminat nombor satu hasil kerja saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 6:30 AM