ANAK yang dibiasakan dengan adab tahu untuk menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan. - Gambar hiasan
ANAK yang dibiasakan dengan adab tahu untuk menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan. - Gambar hiasan
Muhamaad Razis Ismail


KUNJUNG-MENGUNJUNG antara amalan tradisi yang cukup sinonim ketika sambutan Aidilfitri.

Selepas sekian lama tidak bersua muka, amalan ini dapat mengeratkan kembali hubungan silaturahim sama ada saudara-mara, jiran tetangga mahupun rakan taulan.

Bagaimanapun, masalah mula timbul apabila kelakuan kanak-kanak yang sukar dikawal sehingga merosakkan harta benda tuan rumah.

Isu ini sering kali timbul setiap kali sambutan hari raya sehingga tular di media sosial.

Perunding keibubapaan, Noor Afidah Abu Bakar berkata, sudah menjadi fitrah atau sifat semula jadi kanak-kanak suka bermain dan meneroka untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Katanya, bebas bergerak dan meneroka adalah sebahagian dari proses pembelajaran bagi kanak-kanak.

"Bagaimanapun, kebebasan yang diberikan kepada kanak-kanak perlu dibatasi adab dan tingkah laku yang baik kerana tanpa batasan ini mereka terdedah kepada bahaya, boleh membahayakan orang lain ataupun merosakkan harta benda.

"Disebabkan kanak-kanak belum berupaya untuk berfikir mana yang baik dan mana yang buruk maka adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik dan membimbing anak supaya memelihara adab dan tingkah laku tidak kira di mana pun anak itu berada.

"Apabila anak dibiasakan dengan adab dan mencontohi adab yang ditunjukkan ibu bapa, anak akan tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.

SENTIASA tunjukkan suri teladan yang baik. - Gambar hiasan
SENTIASA tunjukkan suri teladan yang baik. - Gambar hiasan

"Menjaga kelakuan ketika kunjung-mengunjung sempena hari raya adalah sebahagian daripada proses hidup beradab dan berperaturan yang perlu diterapkan dalam diri anak-anak dari kecil lagi," katanya.

Menurutnya, antara kesilapan yang biasa dilakukan ialah menjadi ibu bapa yang permisif iaitu membiarkan anak melakukan sesuka hati tanpa batasan.

"Ibu bapa yang permisif tidak menegur atau mengalihkan anak yang bertindak di luar kawalan. Ibu bapa yang permisif hanya menjadikan anak lebih sukar untuk dikawal dan sukar untuk dibendung kerana autoriti atau kuasa untuk bertindak secara tidak langsung diberikan sepenuhnya kepada anak," katanya

Jelasnya, anak kecil bersifat impulsif dan mereka melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesan serta akibat perbuatan mereka.

"Otak mereka belum berupaya untuk menilai dan membuat keputusan. Oleh itu, memberikan autoriti sepenuhnya hanya akan memudaratkan anak dan orang sekeliling mereka.

"Ibu bapa perlu bersikap autoritatif iaitu mengekalkan autoriti untuk membantu anak bertindak dan berkelakuan sesuai dengan tempat serta keadaan," katanya

Lebih teruk lagi apabila ibu bapa yang mengabaikan terus anak dan langsung tidak mengambil tahu hal anak, mungkin kerana terlalu sibuk dengan urusan perayaan ataupun pekerjaan.

"Anak-anak yang diabaikan ini umpama layang-layang terputus tali kerana tidak ada panduan dan bimbingan daripada ibu bapa," katanya.

Tambahnya, ibu bapa juga perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap anak masing-masing.

"Sekiranya anak melakukan sebarang kerosakan baik secara sengaja ataupun tidak sengaja apabila bertandang ke rumah saudara-mara ataupun kenalan, tunjukkan kesediaan untuk menggantikan, memulangkan atau membayar ganti rugi atas kerosakan yang dilakukan anak.

KANAK-kanak antara individu paling gembira ketika beraya.  - Gambar hiasan
KANAK-kanak antara individu paling gembira ketika beraya. - Gambar hiasan

"Sifat bertanggungjawab ibu bapa ini akan menjadi suri teladan yang baik buat anak supaya bertanggungjawab ke atas perbuatan sendiri.

"Kanak-kanak memerhati tindak-tanduk ibu bapa dan mereka juga memerhati orang lain yang berada di sekeliling mereka

"Sekiranya ibu bapa menunjukkan sikap endah tidak endah, anak juga akan menuruti sikap itu dan tidak akan sedar kesilapan dan kerosakan yang dilakukan," katanya.

Sebagai langkah awal, ibu bapa perlu menjadi proaktif, yakni memikirkan sesuatu kemungkinan sebelum sesuatu itu berlaku.

"Sebelum kunjung-mengunjung sempena hari raya, pastikan anak tenang, sihat, cukup rehat dan kenyang perutnya. Selain itu, nasihati anak dan tunjukkan bagaimana adab dan caranya ketika berada di rumah orang lain.

"Bagaimanapun, sekiranya kelakuan anak menguji kesabaran ibu bapa dan tuan rumah, alihkan anak dari tempatnya, jauh dari orang ramai. Berikan anak masa untuk bertenang dan kemudian nasihati anak serta ingatkan anak akan kelakuannya dan bagaimana kelakuan yang sepatutnya," katanya.

Justeru itu, perlu sedar bahawa kanak-kanak tidak akan tahu bagaimana untuk berkelakuan baik sekiranya mereka tidak dibimbing dan tidak ditunjukkan teladan yang baik oleh ibu bapa.

"Jadi pembimbing tingkah laku anak-anak supaya Aidilfitri dapat disambut dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan tanpa drama ataupun konflik sesama orang dewasa ataupun antara orang dewasa dan kanak-kanak akibat daripada tingkah laku kanak-kanak yang tidak dibimbing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 7:00 AM