PENGGUNAAN peranti berlebihan boleh beri kesan kepada kanak-kanak.
PENGGUNAAN peranti berlebihan boleh beri kesan kepada kanak-kanak.
Muhamaad Razis Ismail

PERLU diketahui bahawa meniru tingkah laku orang dewasa antara penyumbang utama kepada perkembangan kanak-kanak.

Justeru itu, ibu bapa perlu menjadi suri teladan dengan menunjukkan contoh yang baik terhadap kanak-kanak.

Bagaimanapun, ramai dalam kalangan ibu bapa yang dalam keadaan tidak sedar menunjukkan contoh yang kurang baik sehingga memberi kesan terhadap kanak-kanak.

Jika ibu bapa sentiasa menggunakan kebanyakan masa bersama peranti, kanak-kanak juga akan meniru tingkah laku ini.

Jadi, bagaimana kita hendak mengekang penggunaan peranti hadap kanak-kanak jika di tangan kita sendiri masih memegang peranti itu?

Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pengurusan, Pendidikan & Kemanusiaan, Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, terdapat faedah yang tidak dapat dinafikan dalam penggunaan peranti kerana ia sering menyediakan cara belajar yang menarik.

"Namun, sebagai ibu bapa adalah penting untuk memahami peranan anda dalam menentukan persekitaran dan menunjukkan contoh kerana anak anda akan meniru corak penggunaan peranti anda sendiri," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, ibu bapa bukan sahaja perlu melihat semula aspek pengurusan masa dan kesan kepada kanak-kanak terhadap penggunaan peranti pintar, tetapi perlu menilai semula tingkah laku terhadap kanak-kanak.

"Adakah kita lebih fokus kepada peranti atau perkembangan anak-anak kita? Kita ada jawapannya.

"Dunia mungkin berubah, anak-anak juga sedang berubah dan berkembang.

IBU bapa perlu menunjukkan contoh yang baik.
IBU bapa perlu menunjukkan contoh yang baik.

"Jangan biarkan kita juga berubah dengan mengabaikan hak seorang kanak-kanak untuk menjalani proses perkembangan yang sebenarnya. Anak kita hanya ada satu zaman kanak-kanak dan ia tidak akan berulang," katanya.

Mengulas lanjut, penggunaan peranti secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak boleh memberi kesan terhadap kesihatan mereka.

"Kajian menunjukkan bahawa penggunaan peranti yang berlebihan akan memberi kesan negatif kepada perkembangan otak kanak-kanak dan fungsinya," katanya.

Selain itu, penggunaan peranti turut mengakibatkan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak berikutan kurangnya melakukan aktiviti fizikal.

"Ini disokong penyataan dikeluarkan American Heart Association yang menggesa ibu bapa untuk mengurangkan masa penggunaan peranti terhadap kanak-kanak berikutan masalah obesiti kerana kurangnya pembabitan dalam aktiviti berbentuk fizikal," katanya.

Dalam pada itu, peranti boleh menyebabkan pemutusan hubungan ibu bapa dan anak berikutan kurang masa untuk berinteraksi.

"Interaksi juga membantu kanak-kanak dari sudut perkembangan bahasa dan komunikasi mereka yang menjadi antara aspek penting dalam proses perkembangan awal mereka.

"Oleh itu, jangan biarkan peranti mengambil alih proses ini," katanya.

Katanya, peranti dan masa skrin berlebihan akan menyebabkan berlakunya gangguan tidur kepada kanak-kanak.

"Kesan cahaya biru daripada peranti akan mengganggu pengeluaran hormon melatonin, sejenis hormon yang mengawal waktu tidur dan bangun kita.

"Kesannya, kanak-kanak tidak dapat tidur yang mencukupi. Malah, kanak-kanak juga berkemungkinan akan tantrum jika hajat mereka tidak dipenuhi. Jauhkan kanak-kanak daripada peranti bagi membantu mereka mendapat tidur yang berkualiti," katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa tip bagaimana ibu bapa dapat mendorong anak menggunakan peranti dengan baik:

PERANTI perlu dikawal oleh ibu bapa.
PERANTI perlu dikawal oleh ibu bapa.

1-Tetapkan peraturan tegas mengenai penggunaan peranti

Sebagai contoh ibu bapa boleh menetapkan peraturan dengan tidak membenarkan penggunaan peranti di meja makan.

Buat ketetapan masa pada peranti bagi mengawal tempoh yang dibenarkan untuk digunakan kanak-kanak (termasuk berapa kerap atau berapa lama dibenarkan menggunakannya, tidak kira sama ada dia bermain permainan,menonton video dan lain-lain).

2-Pantau aplikasi atau permainan yang digunakan kanak-kanak

Ibu bapa perlu selalu membuat pemantauan aplikasi dan permainan yang digunakan anak mereka untuk memastikan kandungannya sesuai.

Pastikan had masa yang dibincang dan dipersetujui bersama bagi mengelakkan kanak-kanak ketagih dan akan berlakunya tantrum apabila mereka tidak dapat menggunakan peranti.

3-Jangan sesekali membenarkan anak kecil menggunakan Internet tanpa pengawasan

Tidak semua maklumat yang terdapat dalam talian sesuai untuk kanak-kanak, jadi ibu bapa perlu berhati-hati.

Sentiasa bersama kanak-kanak bagi mengawasi dan mewujudkan ruang interaksi ketika menggunakan peranti itu.

Secara tidak langsung dapat mengurangkan kesan perkembangan interaksi terhadap kanak-kanak.

4-Sentiasa jadikan aktiviti menggunakan peranti sebagai salah satu medium berinteraksi dan berkomunikasi dengan anak anda

Biarkan kanak-kanak berkongsi pandangannya mengenai bagaimana perasaannya.

Dengan cara ini, anda akan mempunyai komunikasi dua hala yang sihat, sekali gus membolehkan anda berhubung dengan anak anda dengan lebih baik.

Perkembangan emosi kanak-kanak juga dapat dibentuk dengan baik melalui proses ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 7:00 AM