BAHAN bacaan adalah antara sumber paling berkesan dalam pembentukan perkembangan karakter kanak-kanak.
BAHAN bacaan adalah antara sumber paling berkesan dalam pembentukan perkembangan karakter kanak-kanak.

Fairul Asmaini Mohd Pilus

[email protected]

ANTARA tip memupuk sifat empati dalam diri kanak-kanak ialah:

Amalkan ucapan alhamdulillah dan terima kasih

Ibu bapa perlu memberi panduan kepada anak-anak dalam meluahkan perasaan berkenaan.

Contoh paling mudah ialah mengucapkan alhamdulillah atau terima kasih kepada anak apabila mereka membuat kebaikan atau membantu di rumah.

Ucapan itu mampu memberi panduan kepada kanak-kanak dalam meluahkan perasaan mereka.

Pada masa sama mengajar mereka betapa pentingnya menghargai setiap kebaikan yang diterima.

Ibu bapa sebagai teladan terbaik

Perkara yang perlu diakui bahawa kanak-kanak pastinya akan lebih terkesan dengan tingkah laku ibu bapa mereka.

Ia adalah kesempatan yang baik dalam mempromosikan nilai empati dalam diri anak-anak.

Contohnya, seorang suami membantu isterinya dalam kerja rumah sambil diperlihatkan kepada anaknya.

Ia secara langsung memberi dorongan kepada anak-anak untuk turut serta dalam meringankan beban ibunya.

IBU bapa perlu tunjuk contoh teladan baik ketika di rumah.
IBU bapa perlu tunjuk contoh teladan baik ketika di rumah.

Melalui pembacaan dan penceritaan

Bahan bacaan adalah antara sumber yang paling berkesan dalam membentuk perkembangan karakter.

Penggunaan buku cerita yang sesuai merangsang emosi dan mewujudkan sifat peduli dalam diri kanak-kanak.

Lebih baik sekiranya ibu bapa bercerita kepada anak-anak (terutama yang kecil) kerana impaknya lebih besar berbanding membiarkan mereka membaca sendiri buku berkenaan.

Tingkah laku positif watak tertentu dalam cerita terutama yang menjadi hero atau heroin boleh dijadikan idola mereka.

Yang terbaik, pilih cerita bertemakan kasih sayang, kemanusiaan dan kemasyarakatan yang jelas dan mudah difahami kanak-kanak.

Bincang dan tanyakan pendapat mereka selain galakkan anak-anak berkongsi pendapat.

Amalan gaya hidup sekeluarga

Mulakan dengan mendidik anak-anak untuk peduli mengenai alam sekitar seperti menjaga kebersihan, tidak merosakkan kemudahan awam, kitar semula, jimat elektrik, air dan sebagainya.

Selain itu, galakkan mereka supaya menyayangi haiwan yang juga makhluk ciptaan Allah dan tidak menganiaya sebarang hidupan lain.

Galakkan juga mereka supaya mesra tumbuh-tumbuhan dan tidak mencabut pokok, kelopak bunga atau daun tanpa sebab.

Jadikan sifat peduli sebagai salah satu kayu pengukur perkembangan sosial anak yang penting.

Sebagaimana berkongsi atau 'sharing' dijadikan kayu ukur sosial, begitu juga dengan sifat peduli dan empati.

DIDIK anak untuk peduli mengenai hidupan lain dan alam sekitar.
DIDIK anak untuk peduli mengenai hidupan lain dan alam sekitar.

Aktiviti bermasyarakat

Kajian University of Missouri pada 2011 mendapati bahawa remaja yang terbabit dengan aktiviti kemasyarakatan lebih mudah terhindar dari gejala negatif.

Bagaimanapun, menurut kajian yang diterbitkan Journal of Personality and Social Psychology pula, generasi millennial (yang lahir pada tahun 80-an ke atas) kurang berminat untuk terbabit aktiviti amal dan kemasyarakatan kerana fokus hidup mereka sekarang lebih tertumpu kepada pencarian material serta populariti.

Sementara itu, kajian D Goleman dalam bukunya, Kecerdasan Emosi turut mengaitkan faktor mempengaruhi empati adalah kehidupan bermasyarakat kerana ia memberi ruang dan peluang lebih banyak kepada anak-anak untuk membangunkan nilai empati dalam diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 3:00 PM