WANITA harus ambil berat soal  berkenaan kerana ia berkait rapat kesihatan dalaman
WANITA harus ambil berat soal berkenaan kerana ia berkait rapat kesihatan dalaman
Nurul Husna Mahmud

TERDAPAT satu kepercayaan dalam tamadun Yunani iaitu pada usia gadis berusia 14 tahun adalah tempoh bermulanya datang bulan atau didatangi haid.

Jika ia tertangguh lebihan darah itu dipercayai akan terkumpul di jantung dan menyebabkan gejala penyakit seperti demam, tingkah laku luar kawalan dan kemurungan sehingga membawa kepada risiko bunuh diri.

Pada abad ke -19 keadaan itu kemudiannya dikenali histeria iaitu dipetik daripada perkataan 'rahim' dalam bahasa Yunani bermaksud 'histera.' Atas kepercayaan itu juga andai si gadis tidak mengalami haid pada usia itu difahamkan ilmuan perubatan ketika itu, Hippocrates tidak ragu-ragu untuk mengeluarkan darah daripada uratnya.

Tanggapan ilmuan itu darah mengalir adalah sama sedangkan terdapat perbezaan ciri-ciri fisiologi mengenai kitaran darah haid dialami wanita yang berpunca daripada lapisan dinding rahim.

Sehinggalah perubatan hari ini menemui ciri - ciri penting dalam fisiologi wanita apabila mempunyai kitaran tertentu yang memberi makna 'kesuburan' dan kesihatan dalaman adalah perkembangan penting dalam kesihatan wanita.

MANDIAN bunga amalan tradisi dikatakan dapat mengembalikan seri selain menyingkiran masalah bau badan juga dikatakan antara masalah dalaman wanita.
MANDIAN bunga amalan tradisi dikatakan dapat mengembalikan seri selain menyingkiran masalah bau badan juga dikatakan antara masalah dalaman wanita.

Pengasas Butik dan Spa Manja Suri, Nur Khurshiah Khalib, tidak menafikan rutin kitaran haid setiap bulan yang lancar antara ciri-ciri yang menunjukkan seseorang wanita itu sihat.

Sebagai pengamal perubatan, kesihatan dalaman wanita juga dilihat berdasarkan kitaran haid berkenaan.

Terdapat juga masalah lain membabitkan kesihatan dalaman wanita termasuklah keputihan yang boleh dialami pada sebarang usia, mati putik iaitu keadaan yang mana isteri tidak berminat menjalinkan hubungan kelamin selain angin dalam rahim dikatakan lebih kerap ditemui bagi wanita selepas bersalin.

"Semua yang membabitkan dalaman wanita terutama aset penting iaitu rahim dan juga organ peranakan perlu diberi perhatian sejak usia sunti lagi.

"Mengabaikan aspek kesihatan ini sebenarnya boleh mempengaruhi perkembangan bermula usia anak sunti, ke peringkat wanita dewasa sehinggalah melewati usia tua.

"Pada usia sunti, mungkin ibu bapa atau individu itu sendiri tidak terfikir akan ada masalah rumit membabitkan kesihatan dalaman sehinggalah ketika mereka melewati usia ingin berkahwin, masalah itu mulai ditemui dan dikatakan menjadi punca terhadap masalah rumah tangga berantakan dan sebagainya," katanya.

Menjelaskan kepentingan menjaga kesihatan dalaman bagi setiap wanita adalah menjamin kualiti hidup terutama keyakinan diri dan juga selesa ketika bersama pasangan.

"Perbezaan antara wanita menjaga kesihatan dalaman dengan yang mengabaikan ialah kualiti hidup seharian. Bagi wanita rapi dalam menjaga kesihatan dalaman, mereka boleh menjalankan rutin harian dengan baik termasuklah urusan bekerja, menguruskan keluarga termasuklah melaksanakan tanggungjawab dengan pasangan.

NUR Khurshiah menunjukkan herba yang biasa digunakan perawat tradisional dalam membantu menjaga kesihatan dalaman wanita.
NUR Khurshiah menunjukkan herba yang biasa digunakan perawat tradisional dalam membantu menjaga kesihatan dalaman wanita.

"Berbeza bagi wanita kurang menjaga kesihatan dalaman apabila mereka lebih mudah rasa penat, beremosi, sugul dan ketara tampak wajah kusam serta tidak berseri. Semua ini akan mengganggu perjalanan hormon iaitu sistem penting dalam fisiologi seseorang wanita itu," katanya.

Antara lain, masalah berat badan tidak terkawal selain rasa tidak selesa terutama bahagian bahu, pinggang, lutut dan tumit menunjukkan ciri - ciri biasa berkaitan dengan masalah dalaman wanita.

Berkongsi pengalaman beliau mengendalikan wanita yang mendapatkan khidmatnya, kata Nur Khurshiah, ketika membantu seorang wanita yang mengadu mengalami masalah keputihan sehingga menjejaskan keyakinan untuk bersama suami.

"Saya didatangi seorang wanita yang mengalami masalah keputihan serius, dia mengadu ada mengalami sakit pinggang dan juga kesakitan teramat di bahagian ari-ari.

"Dia mengakui kerap menghidapi jangkitan kuman pada pundi kencing. Ketika saya lakukan urutan sengkak iaitu satu teknik urutan khas, mendapati ada bengkak pada organ peranakan. Saya sarankan dia mendapatkan saringan dan rawatan segera.

"Keadaan itu biasanya berkait dengan keadaan lebih serius seperti kemungkinan ketumbuhan dan jangkitan teruk pada bahagian berkenaan. Memang perlu dapatkan bertemu pakar sakit puan kerana tahap itu perawat tradisional tidak dapat membantu," katannya.

Menjelaskan amalan lama atau rutin seperti urutan tradisional, mandi bunga bertangas sehinggalah minuman herba, kata Nur Khurshiah, penting mengikut keperluan masing-masing.

"Seperti amalan tangas dan bertungku, sebenarnya bukan hanya untuk wanita bersalin, gadis juga elok lakukan sekali sekala bagi membantu pengaliran darah baik. Biasanya dilakukan dua atau tiga hari selepas habis tempoh haid.

URUTAN antara kaedah membantu dalam menjaga kesihatan dalaman wanita.
URUTAN antara kaedah membantu dalam menjaga kesihatan dalaman wanita.

"Sementara mandi bunga rasionalnya adalah untuk mengembalikan aura kesegaran pada tubuh. Bunga mempunyai aroma dapat mendatangkan rasa relaks dan santai," katanya.

Tidak lupa juga penekanan kepada pengambilan herba tertentu sejak awal usia yang dikatakan dapat membantu memberi kebaikan terhadap kesihatan dalaman mengikut keperluan badan individu.

"Bagi herba pula memang bagus diamalkan sejak usia muda bagi mencegah penyakit dalaman tertentu mengikut sukatan kesesuaian keperluan badan. Contohnya herba minum seperti kencur, ibu kunyit, asam jawa, halia bara dan gula kabong, sesuai untuk bantu bersihkan saluran peranakan serta buang angin dalam rahim.

"Begitu juga minuman sireh sesuai untuk mengeluarkan lendiran keputihan dan sangat sesuai diambil selepas tempoh haid atau nifas.

"Pengambilan herba tidak semestinya perlu konsisten kerana ada kalanya hanya diminum ketika perlu. Terutama jika berkaitan dengan masalah angin dalam rahim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 7:01 AM