BERBINCANG dengan tukang jahit dan pereka fesyen bagi mendapatkan maklumat mengenai kesesuaian kain yang dibeli.
BERBINCANG dengan tukang jahit dan pereka fesyen bagi mendapatkan maklumat mengenai kesesuaian kain yang dibeli.
Hafiz Ithnin

Pejam celik hanya tinggal beberapa bulan lagi umat Islam bakal menyambut Ramadan. Meskipun sambutan itu bakal melalui norma baharu, tetapi auranya tidak sedikit pun pudar.

Dalam tempoh ini juga pasti sudah ada yang membuat perancangan awal untuk menempah pakaian sempena sambutan Ramadan dan Syawal.

Perkara ini kerana apabila melangkah sahaja Ramadan, kebanyakan tukang jahit atau pereka fesyen tidak lagi mahu menerima tempahan kerana tempoh yang sudah suntuk.

Justeru, dalam membuat pakaian sempena bulan penuh rahmat itu, pastinya bukan semua tekstil yang boleh dibuat pakaian.

Penganalisis fesyen, Dr Zuhaili Ismail berkata, pakaian sempena perayaan bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana ia bukan sekadar untuk dipakai dan diperagakan untuk cantik sahaja, malah tidak boleh mengganggu fungsi atau praktikal.

DR Zuhaili
DR Zuhaili

"Dalam menyambut kemeriahan kedua-dua bulan penuh bermakna ini pastinya aktiviti amalan menjadi sanjungan kepada kita semua.

"Di pasaran juga terutama pereka fesyen atau tukang jahit sudah mula mempromosikan koleksi mereka, tetapi sebagai pengguna perlu bijak dalam menilai tekstil sesuatu pakaian supaya tidak mengganggu aktiviti amal ibadat yang ingin dilakukan dan sesuai dengan cuaca semasa," katanya.

Katanya, bagi mereka yang lebih peka kepada keselesaan pakaian pastinya menempah pakaian menjadi pilihan dan membeli tekstil menjadi pilihan peribadi.

"Dalam menempah pakaian sendiri, tekstil yang dimahukan untuk membuat pakaian jangan sekadar cantik, tetapi kita perlu mempunyai ilmu pengetahuan mengenainya sama ada sesuai atau tidak," katanya.

Justeru, Dr Zuhaili kongsikan beberapa tip dalam memilih tekstil pakaian sempena menyambut Ramadan dan Syawal.

ADA pelbagai jenis kain yang sesuai untuk dipakai untuk perayaan.
ADA pelbagai jenis kain yang sesuai untuk dipakai untuk perayaan.

1. Kapas atau 'cotton'

Material kain kapas jenis ini bukan sahaja selesa dipakai malah tidak panas dan menyerap peluh. Baju kurung kapas ini akan buatkan si pemakainya nampak lebih manis dan ayu dalam gaya feminin. Tapi, si pemakai perlu berhati-hati, jika tidak kena penjagaan, baju kurung kapas akan nampak lusuh selepas tiga kali dipakai. Cadangan saya adalah dengan cucian tangan dan perlu dikeringkan di tempat yang redup supaya kualiti material ini tidak terjejas. Di samping itu pastikan apabila menggosok, terbalikkan dahulu baju kurung kapas ini.

2. Chiffon

Material kain chiffon sangat ringan dan mudah untuk digayakan terutama bagi potongan baju kurung moden. Chiffon adalah 'transparent' dan biasanya dilapisi dengan kain lining. Chiffon juga mempunyai beberapa jenis seperti chiffon biasa, chiffon crepe dan chiffon georgette. Chiffon biasa perlu dilapisi dengan kain lining beberapa kali dan sedikit nipis dan lebih murah dari chiffon crepe. Chiffon crepe tidak perlu dilapisi dengan lining yang banyak, tidah terlalu nipis dan tidak terlalu tebal. Chiffon georgette mudah untuk dijaga kualitinya, tidak perlu risau untuk dibasuh menggunakan mesin basuh. Malah material kain ini tidak mudah berbulu berbanding chiffon yang lain.

PEMILIHAN tekstil bukan sekadar corak yang cantik.
PEMILIHAN tekstil bukan sekadar corak yang cantik.

3. Satin

Material kain satin ini biasanya membuatkan si pemakai kelihatan mewah dan feminin. Karakteristik material kain satin adalah licin dan berkilat. Perlu diingat bahawa material ini kadangkala mudah melekat pada tubuh apabila berpeluh. Kotoran pada material kain satin perlu dibersihkan secepat mungkin kerana mungkin akan meninggalkan kesan. Selain itu juga untuk pengeringan, tidak perlu untuk dikeringkan di bawah cahaya matahari.

4. Crepe

Material kain crepe menjadi kegemaran kerana tidak melekat pada badan, ringan dan begitu selesa. Kain crepe ini mempunyai peminat tersendiri kerana kelebihannya yang tidak perlu digosok dan tidak jarang.

Ada pelbagai jenis material kain yang boleh dan sesuai digayakan untuk pengayaan baju Melayu seperti kain kapas, crepe, jacquard, dull satin dan viscose.

Bagi pilihan material kain untuk baju Melayu, semua kain di atas sesuai untuk digayakan sebagai baju Melayu. Pilihan saya, mungkin kain crepe. Material kain crepe tidak jarang dan tidak mudah berkedut sebagai baju Melayu.

Kain crepe yang berat juga membuatkan si pemakai nampak lebih kemas apabila menggayakanya sama ada untuk baju kurung atau baju melayu.

Tip untuk menggosak baju dari kain crepe adalah semburan air sebelum menggosok. Jika dibandingkan dengan material kain yang lain, kain crepe mungkin yang paling mudah untuk digosok.

Bagi anda yang ingin membeli kain ela, berikut adalah ukuran kain ela yang terbaik mengikut potongan baju anda.

Kebiasaannya untuk ukuran kain ela baju Melayu adalah empat meter setengah. Sekiranya anda memakai saiz XL, pastikan untuk membeli sekitar lima meter.

Untuk ukuran baju kurung biasa, ukuran kain ela empat meter hingga empat meter setengah. Bagi baju kurung moden, ukuran kain ela yang sesuai adalah empat hingga lima meter mengikut saiz baju anda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 6:04 AM