BERJOGING antara aktiviti yang sesuai untuk individu yang mempunyai masalah jantung.
BERJOGING antara aktiviti yang sesuai untuk individu yang mempunyai masalah jantung.
Muhamaad Razis Ismail

[email protected].m

BARU-baru ini kita dikejutkan dengan beberapa berita kematian secara mengejut akibat serangan jantung ketika melakukan aktiviti sukan.

Antara masalah jantung yang boleh menyerang ketika aktiviti fizikal termasuk serangan sakit jantung akibat saluran darah yang tersumbat, masalah nadi yang tidak stabil (terlalu laju) serta pengepaman terhenti akibat otot di jantung terlalu tebal.

Penyakit saluran darah koronari iaitu kesempitan pada saluran darah di permukaan jantung antara penyebab utama masalah jantung ketika bersukan.

Antara simptom serangan sakit jantung adalah sakit dada, berpeluh-peluh, sejuk, rasa loya, sakit perut, pening-pening, kesukaran bernafas dan pitam.

Pakar Perunding Kardiologi di Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Muhammad Imran Abdul Hafidz berkata, secara amnya senaman mendatangkan lebih banyak kebaikan jangka panjang untuk jantung berbanding risiko yang sangat kecil untuk mengalami serangan jantung ketika bersukan.

"Berdasarkan kajian yang dilakukan mendapati kejadian seumpama ini berlaku satu dalam 50,000 sehingga satu dalam 100,000 individu setiap tahun.

"Ini bermaksud, serangan jantung ketika bersukan sebenarnya sangat jarang berlaku," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, bagaimanapun terdapat faktor yang boleh meningkatkan risiko serangan jantung ketika melakukan aktiviti sukan.

"Antaranya adalah sekiranya individu itu mengalami masalah jantung yang diketahui atau tidak diketahui.

"Selain itu, tabiat merokok, berat badan berlebihan, penyakit tekanan darah dan kolesterol yang berlebihan serta sejarah keluarga adalah faktor menghidap penyakit saluran darah yang sempit," katanya.

Mengulas lanjut, individu yang tidak biasa bersenam, tiba-tiba bergiat terlampau aktif juga antara faktor risiko terkena serangan jantung ketika melakukan aktiviti itu.

UJIAN ekokardiogram antara kaedah mencegah serangan jantung ketika bersukan.
UJIAN ekokardiogram antara kaedah mencegah serangan jantung ketika bersukan.

"Mereka yang terlampau letih sebelum bersenam atau pengambilan air yang tidak mencukupi sebelum serta ketika bersenam juga berisiko tinggi," katanya.

Jelasnya, serangan jantung ketika melakukan aktiviti fizikal boleh berlaku pada bila-bila masa dan tiada waktu spesifik seperti yang didakwa.

"Bersukan pada bila-bila waktu sebenarnya tidak mendatangkan masalah. Ada kajian yang menunjukkan bahawa serangan jantung sebenarnya lebih kerap berlaku ketika bersenam sebelah petang, tetapi ini mungkin kerana lebih ramai orang yang melakukan aktiviti fizikal pada ketika itu.

"Bersenam pada sebelah malam dikatakan menyumbang kepada kualiti tidur yang terganggu akibat hormon adrenalin yang dilepaskan ketika bersukan. Kualiti tidur yang rendah boleh menjadi penyumbang kepada pelbagai masalah jantung.

GAMBAR jantung imbasan computed tomography (CT).
GAMBAR jantung imbasan computed tomography (CT).

"Terlalu aktif bersukan juga boleh menyebabkan perubahan pada struktur dan saiz jantung selain menyumbang kepada masalah dengan rentak nadi jantung yang dipanggil pemfibrilan atrium," katanya.

Beliau berkata, individu yang berisiko mengalami serangan jantung sebegini termasuk yang menghidap masalah saluran darah sempit dan lemah jantung.

"Selain itu, individu yang merokok atau menghidap masalah lain seperti kencing manis, darah tinggi atau mempunyai masalah struktur jantung sejak lahir seperti kardiomiopati hipertrofi cenderung mengalami masalah ini," katanya.

TABIAT merokok meningkatkan risiko serangan jantung ketika bersukan.
TABIAT merokok meningkatkan risiko serangan jantung ketika bersukan.

Dalam pada itu, mereka yang berusia lebih kerap menghidap masalah kronik seperti darah tinggi, kencing manis atau kolesterol yang secara tidak langsung meningkatkan risiko serangan jantung ketika bersukan.

Katanya, individu yang berisiko ini sebenarnya masih boleh menjalankan aktiviti senaman atau bersukan, namun disyorkan mengelak senaman jenis 'burst exercise' atau senaman yang banyak memecut dan berhenti seperti futsal serta badminton.

"Saya menasihati individu yang ingin melakukan aktiviti 'burst exercise' perlu memantau kesihatan atau keadaan fizikal masing-masing, contohnya jika kita tidak biasa melakukan senaman ini, perlu perlahan-lahan melakukannya.

"Mulakan senaman beberapa minit dahulu pada tahap biasa sebelum ke tahap lebih laju dan tinggi. Senaman yang sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah jantung boleh menceburi senaman yang mempunya

i tahap intensif sekata, contohnya dengan berjoging, berbasikal atau berenang," katanya.

Katanya, dalam apa-apa senaman, langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko termasuk memastikan tidak terlampau letih sebelum memulakan senaman dan memastikan pengambilan air sebelum, ketika dan selepas senaman.

"Selain itu, individu perlu mengambil hari rehat antara sesi senaman (tidak bersenam pada tahap yang tinggi setiap hari) dan yang paling penting sentiasa memantau kebolehan masing-masing," katanya.

Tambahnya pengesanan awal adalah cara yang terbaik untuk mencegah masalah serangan jantung ketika bersukan.

"Mereka yang ingin mula bergiat aktif, dinasihatkan memeriksa kesihatan diri dulu sekurang-kurangnya dan memeriksa tekanan darah masing-masing.

"Bagi mereka yang ingin menjalani ujian lebih spesifik boleh melakukan ujian ECG, ujian imbasan ekokardiogram atau ujian stres," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 7:00 AM