Muhamaad Razis Ismail


DI mana ada kemahuan di situ ada jalan. Ungkapan ini sesuai menggambarkan kesungguhan seorang wanita mencapai cita-citanya untuk menjadi penyelam komersial sejak dua tahun lalu.

Pasti ramai yang tidak menyangka, individu di sebalik sut selaman yang sedang mengendalikan peralatan berat dan berkuasa tinggi adalah seorang ibu kepada tiga cahaya mata.

Fatin Nadzirah Mohd Arsad, 31, memilih untuk menceburi bidang itu kerana tertarik dengan peluang pekerjaan yang mencabar keupayaannya sebagai wanita.

Biarpun sudah mempunyai kerjaya tetap di sebuah syarikat swasta, namun wanita berasal dari Ampang, Selangor ini masih bekerja sebagai penyelam komersial secara separuh masa kerana minat mendalam terhadap bidang itu.

Fatin Nadzirah berkata, sejak kecil dia sudah mendapat pendedahan awal dengan aktiviti sukan air termasuk menyertai kejohanan renang Selangor pada usia seawal 13 tahun.

Katanya, selepas tamat sekolah, dia sudah merancang mengambil kursus selam komersial namun kurang mendapat sokongan keluarga kerana melihat kerjaya ini agak lasak untuk wanita.

"Ketika menyambung pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), saya turut bekerja secara sambilan sebagai jurulatih renang.

"Selepas menamatkan pengajian, saya mengambil kursus selam skuba dan bekerja di sebuah kedai peralatan skuba rekreasi," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, cita-cita untuk menjadi penyelam komersial kembali berputik apabila bertemu jodoh dengan pasangan yang mempunyai kerjaya itu.

MENGISI masa lapang dengan aktiviti selam skuba.
MENGISI masa lapang dengan aktiviti selam skuba.

"Apabila melihat suami kerap mendapat panggilan untuk tugasannya, saya merasa tercabar kerana itu adalah kerjaya idaman saya.

"Pada masa sama, saya sering bertanya suami mengenai kerjanya dan 'merisik' sekiranya masih peluang untuk menjadi penyelam komersial sepertinya.

"Pada mulanya saya tidak mempunyai keyakinan kerana sudah berkeluarga dan mempunyai anak yang masih kecil. Berkat doa suami yang banyak memberi sokongan dan dorongan saya dapat merealisasikan impian menjadi penyelam komersial," katanya.

Jelasnya, sebagai penyelam komersial, tugasnya membabitkan kerja-kerja pembinaan di dalam air seperti pembersihan, penambahbaikan, penilaian dan pemeriksaan di dalam air.

"Selain itu, saya perlu mengendalikan kebanyakan peralatan yang berat dan berkuasa tinggi yang memerlukan kekuatan fizikal," katanya.

PEMERIKSAAN rapi sebelum menjalankan tugas.
PEMERIKSAAN rapi sebelum menjalankan tugas.

Katanya, apabila bekerja di dalam air sudah pasti dia dan ahli kumpulan lain terdedah dengan risiko tinggi.

"Antaranya termasuk tahap penglihatan yang terhad, menggunakan barang-barang yang berat dan tajam, hidupan laut yang berbahaya, arus yang kuat, barang terjatuh, risiko kegagalan peralatan di dalam air yang boleh meragut nyawa dan sebagainya.

"Disebabkan itulah perbincangan dan perancangan amat penting sebelum melakukan setiap tugasan yang diberi," katanya.

Memilih kerjaya yang didominasi lelaki, Fatin Nadzirah berkata, dia perlu sentiasa berfikiran terbuka.

"Saya juga perlu menjadi seorang yang cepat belajar kerana kerja ini menitik beratkan masa.

"Pada mulanya, agak sukar untuk menerima saya namun lama kelamaan mereka mula mempercayai kemampuan saya melakukan kerja dan menyelesaikan tugasan," katanya.

PEKERJAAN yang menitikberatkan pencapaian tugasan.
PEKERJAAN yang menitikberatkan pencapaian tugasan.

Dia mengakui tidak ramai wanita terbabit kerana kurang meminati kerjaya yang berat, kasar dan berisiko.

"Berdasarkan pengetahuan, saya dapati kurang daripada satu peratus wanita yang menceburi kerjaya ini kerana berkemungkinan disebabkan persepsi bahawa kerjaya ini hanya sesuai untuk lelaki dan kurang diberi pendedahan.

"Saya yakin ramai lagi wanita akan ceburi bidang ini sekiranya ia mendapat liputan meluas dan meningkatkan persepsi orang ramai bahawa pekerjaan ini bukanlah khas untuk satu jantina sahaja," katanya.

Bagaimanapun, wanita yang terbabit dalam kerjaya ini perlu bersedia daripada fizikal dan mental kerana tiada sebarang keistimewaan diberikan.

"Selain sihat, kuat mental dan fizikal, dia perlu cepat belajar, berdedikasi, berdikari, mudah bergaul, boleh bekerja dalam satu kumpulan, merendah diri, sentiasa ingin belajar perkara baru serta menerima segala teguran selain memperbaikinya.

"Layanan diberikan sama rata kerana kerjaya ini lebih menitik beratkan pencapaian tugasan. Paling penting, setiap tugasan dapat diselesaikan mengikut garis masa ditetapkan," katanya.

Dia menasihatkan kepada wanita yang ingin menceburi sesuatu bidang, jangan biarkan persepsi masyarakat melunturkan semangat dan cita-cita anda.

"Teruskan niat dan hasrat anda. Buktikan kepada mereka bahawa anda mampu lakukannya. Usaha dan semangat

berdedikasi adalah kunci utama kejayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 7:00 AM