MENYELAM dengan penyu.
MENYELAM dengan penyu.
Muhamaad Razis Ismail

KEKURANGAN wanita dalam aktiviti selam skuba, mendorong individu ini selesa memilih kerjaya jurulatih selam skuba sejak enam tahun lalu.

Minat mendalam terhadap aktiviti ini mendorong Fatin Nur Affira Yusof, 30, atau lebih dikenali sebagai Ateng mengorbankan kariernya sebagai perunding kewangan di sebuah bank demi mengejar cita-citanya sebagai jurulatih selam skuba di Pulau Tioman, Pahang.

Uniknya, anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Kuala Lumpur ini mengakui pada mulanya dia seorang yang takut air dan tidak pandai berenang.

Fatin Nur Affira berkata, bagaimanapun dia suka mencabar diri untuk mengatasi ketakutannya itu dengan mencuba aktiviti selam skuba.

"Pertama kali menyelam di dalam laut, saya seolah-olah berada di dunia lain dan pada ketika itu saya terus jatuh cinta dengan aktiviti ini.

SEKUMPULAN ikan jacfish yang mengerumuni Fatin Nur Affira.
SEKUMPULAN ikan jacfish yang mengerumuni Fatin Nur Affira.

FATIN Nur Affira.
FATIN Nur Affira.

"Pada awalnya, ayah tidak setuju kerana bimbangkan keselamatan, namun lama-kelamaan saya mendapat restu apabila melihat kesungguhan dalam menjalankan aktiviti ini.

"Ramai yang masih tidak tahu sebenarnya selam skuba adalah aktiviti yang selamat jika mengikut panduan yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, keunikan aktiviti ini, penyelam berpeluang melihat setiap lokasi selaman yang mempunyai ciri-ciri bentuk permukaan dasar laut yang berbeza.

"Terumbu karang di setiap lokasi menyelam juga adalah berbeza apatah lagi mempunyai keunikan tersendiri.

"Antara lokasi selaman menarik yang pernah saya pergi adalah Raja Ampat, Indonesia dan di Malaysia, sudah pasti Pulau Mabul serta Pulau Sipadan.

"Ia menjadi lokasi kegemaran kerana kejernihan air dan kepelbagaian hidupan laut," katanya.

Jelasnya, antara kepuasan dengan aktiviti ini apabila penyelam akan lebih bersyukur pada nikmat yang dikurniakan Allah menerusi keindahan laut.

BERTUBUH kecil (tengah) bukan halangan untuk menjadi jurulatih selam skuba.
BERTUBUH kecil (tengah) bukan halangan untuk menjadi jurulatih selam skuba.

Mengulas lanjut, pembabitannya sebagai jurulatih selaman skuba kerana ingin berkongsi ilmu dan mengajar wanita serta kanak-kanak berusia seawal 8 tahun.

Sehingga kini jumlah jurulatih selam skuba wanita masih sedikit kerana segelintir pengusaha pusat selaman masih beranggapan pekerjaan ini hanya bersifat sementara untuk golongan itu.

"Ramai yang berfikiran apabila wanita sudah berkahwin, mereka akan fokus kepada keluarga. Sedangkan apabila sudah berkeluarga pun, kerjaya ini masih boleh diteruskan.

"Selain itu keupayaan wanita sering diperlekehkan dan saya pernah melalui perkara sama kerana mempunyai fizikal yang kecil namun saya dapat buktikan wanita juga mampu setanding lelaki," katanya.

Mengulas lanjut, wanita amat diperlukan dalam bidang ini untuk melahirkan lebih ramai penyelam wanita di negara ini.

"Dengan tenaga pengajar wanita, pasti wanita lain lebih selesa untuk berinteraksi dan bersentuhan sesama jantina," katanya.

Bagaimanapun berada di tahap ini tidak mudah kerana untuk menjadi jurulatih selam skuba perlu melepasi syarat yang ditetapkan seperti dilalui lelaki.

TIDAK kekok mengendalikan sesi pengajaran.
TIDAK kekok mengendalikan sesi pengajaran.

"Tiada jalan pintas. Seseorang itu perlu menjadi penyelam laut terbuka minimum enam bulan, diikuti peringkat 'advanced open water,' 'rescue diver,' 'dive master' diikuti dengan kursus untuk menjadi tenaga pengajar.

"Ini penting kerana tanggungjawab sebagai jurulatih selam skuba bukan sekadar mengajar teori dan praktikal malah perlu memastikan penyelam mengikuti semua teknik asas keperluan selaman serta pastikan keselamatan mereka," katanya.

Katanya, jurulatih selam skuba yang baik perlu berani mengambil risiko untuk bersaing secara sihat sesama sendiri selain mempunyai sifat sabar yang tinggi dalam menangani pelbagai kerenah penyelam.

Dia berharap lebih ramai wanita dan kanak-kanak menceburkan diri dalam dunia selaman kerana laut adalah tempat yang cukup indah untuk diteroka dari usia muda.

"Aktiviti selaman adalah salah satu aktiviti sihat yang boleh dijadikan sebagai hobi dan dalam masa yang sama aktiviti ini dapat menerapkan rasa cinta pada lautan serta semangat untuk kita menjaga kebersihan laut.

"Mana tahu suatu hari nanti, ia membuka peluang untuk mereka (wanita) menjadi jurulatih selam skuba wanita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 7:00 AM