BUMPHEAD Parrotfish antara ikan unik yang boleh ditemui di Pulau Sipadan.
BUMPHEAD Parrotfish antara ikan unik yang boleh ditemui di Pulau Sipadan.
Muhamaad Razis Ismail


Pulau Sipadan, Sabah antara lokasi tumpuan penyelam dari dalam dan luar negara.

Lokasi tumpuan pelancong ini menawarkan pemandangan hidupan marin yang cukup menakjubkan seperti barracuda, penyu, ikan dan sebagainya.

Keindahan terumbu karang yang berwarna-warni dan pelbagai bentuk bumi yang boleh ditemui di dasar laut, menjanjikan pengalaman luar biasa kepada penggemar aktiviti ini.

Di sekitar pulau ini ada banyak kawasan selaman yang popular dalam kalangan penyelam termasuk Barracuda Point, Turtle Cavern (Gua Penyu) dan Coral Gardens.

Jadi, tidak hairan mengapa pulau ini pernah tersenarai dalam 77 bentuk muka bumi yang ajaib dan terbaik dunia oleh 'New 7 Wonders of Nature Votes Committee.'

BELUT moray.
BELUT moray.

Bagi Aiza Syazana Shamsudin yang aktif dengan aktiviti selam skuba sejak tiga tahun lalu, keindahan pulau ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

"Sejak aktif dengan aktiviti selam skuba, Pulau Sipadan sudah berada dalam senarai wajib untuk saya terokai.

"Melihat keindahan dasar laut dalam gambar dan video membuatkan saya tidak sabar untuk merasai pengalaman menyelam di pulau ini," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pada Januari lalu, impiannya tercapai apabila berpeluang melakukan aktiviti selam skuba di Pulau Sipadan.

"Perjalanan adalah dengan menaiki bot dari jeti di Semporna yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

SEKUMPULAN 'jackfish' dilihat seperti 'mengerumuni' penyelam
SEKUMPULAN 'jackfish' dilihat seperti 'mengerumuni' penyelam

"Sepanjang perjalanan, saya akui perasaan agak bercampur baur kerana tidak sabar untuk melihat sendiri keindahan bawah laut di Pulau Sipadan," katanya.

Jelasnya, sebaik sahaja berada dalam laut, dia berasa seolah-olah berada di 'planet' yang lain.

"Keindahan bawah lautnya sangat berbeza dari tempat selaman lain. Atas sebab itu ia digelar sebagai syurga penyelam.

"Hidupan lautnya juga besar dan sangat banyak. Saya berpeluang melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis ikan termasuk 'jackfish,' barracuda, jerung 'whitetip,' penyu dan sebagainya.

"Selain itu, saya turut terpukau melihat keindahan terumbu karang yang berwarna-warni dan bentuk muka bumi yang unik di dasar laut," katanya.

Tidak puas menyelam pada kali pertama, Aiza Syazana sekali lagi ke Pulau Sipadan pada April lalu.

MENYELAM dengan ditemani sekumpulan ikan barracuda
MENYELAM dengan ditemani sekumpulan ikan barracuda

Katanya, antara pengalaman yang tidak sukar dilupakan sepanjang menyelam di Pulau Sipadan apabila terpaksa berenang melawan arus.

"Kami berada di tempat sama selama beberapa minit walaupun sudah 'berkayuh' sehabis laju. Ada ketikanya saya bersama penyelam lain dihanyut oleh arus.

"Dalam situasi itu, kami tidak boleh panik untuk elakkan sebarang kejadian tidak diingini dan perlu menunggu sehingga arus kembali stabil.

"Jadi, kepada penyelam baharu, tidak disarankan untuk mula menyelam di sini. Dapatkan pengalaman dahulu dengan menyelam beberapa kali di tempat lain supaya dapat menikmati keindahan Sipadan dengan lebih santai," katanya.

Biarpun sudah dua kali ke Pulau Sipadan, Aiza Syazana mengakui belum puas untuk meneroka lokasi selaman ini.

"Kini, saya merancang untuk kembali ke Pulau Sipadan pada tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:35 AM