KETIKA sesi perbentangan boleh menyebabkan pertuturan terganggu. - Gambar hiasan
KETIKA sesi perbentangan boleh menyebabkan pertuturan terganggu. - Gambar hiasan
Nurul Husna Mahmud


Pernahkah anda mengalami rasa berdebar yang melampau sehingga membuatkan anda rasa sesak nafas dan pertuturan juga tersekat selain terdapat pengulangan kata atau ayat?

Pengulangan perkataan atau gangguan kelancaran pada pertuturan kerap difahami sebagai gagap. Ia selalu berlaku apabila individu dalam keadaan gugup yang keterlaluan seperti mereka yang mengalami masalah kecelaruan keresahan atau 'anxiety disorder'.

Menurut Doktor Perubatan dan Pengarah Urusan Pusat Pakar Jiwa Damai Dr Hasnor Safwan, gagap boleh menjadi gejala atau punca kepada mereka yang mengalami masalah gugup yang melampau seperti dialami pesakit kecelaruan keresahan.

"Gagap boleh berlaku jika individu terlalu gugup atau berada dalam tertekan sehingga mengganggu kemampuan berfikir dengan baik. Mereka ini mudah hilang fokus apabila berada dalam khalayak ramai atau berdepan kelompok individu yang 'superior'.

"Sebagai contoh kes yang kerap berlaku adalah membabitkan kelompok pelajar sarjana perubatan dalam perbentangan kertas kerja. Mereka kerap mengalami kecelaruan keresahan kerana tertekan dengan perbentangan dan penyelia masing-masing.

PERLUKAN psikoterapi dan terapi pertuturan untuk bantu tingkatkan kelancaran pertuturan dan atasi masalah gagap.
PERLUKAN psikoterapi dan terapi pertuturan untuk bantu tingkatkan kelancaran pertuturan dan atasi masalah gagap.

"Gagap yang terbentuk menerusi gangguan pertuturan boleh menjadi satu kitaran apabila mengaitkan dengan gugup. Sebaiknya kenal pasti masalah gagap dengan saringan atau ujian tertentu bagi mengenal pasti punca supaya dapat menanganinya," katanya.

Menjelaskan punca gagap, kata Dr Hasnor, ia adalah pelbagai, ada berpunca daripada senario atau faktor persekitaran, kecederaan pada fungsi otak, gangguan psikologi dan genetik.

Jika tidak ditangani terutama dalam kalangan kanak-kanak, impaknya lebih serius ke peringkat perkembangan seterusnya terutama dalam aspek keyakinan diri ketika bersosial.

"Pertuturan tidak lancar atau gagap boleh mempengaruhi perkembangan sosial terutama kanak-kanak sehingga peringkat remaja. Kalau ikut pada perkembangan untuk kenal pasti masalah itu, usia kanak-kanak seawal tiga tahun ke atas boleh dipantau tahap kelancaran pertuturan bagi membolehkan masalah dikenal pasti awal.

DR HASNOR
DR HASNOR

"Apabila mereka tidak menjalani terapi di awal usia bagi membantu mereka menangani masalah itu, dikhuatiri peringkat seterusnya terutama ketika remaja akan mengalami krisis.

"Antara kemungkinan masalah yang timbul ialah fobia untuk berinteraksi dengan orang lain terutama rakan sebaya. Kesannya menjadikan mereka murung dan mudah terdedah pelbagai masalah sosial," katanya.

Sementara itu, Pakar dan Perunding Terapi Pertuturan Pusat Pakar Psikologi Jiwa Damai, Farah Farhan menjelaskan gagap yang terletak di bawah 'payung' gangguan kecelaruan kelancaran pertuturan boleh disaring menerusi ujian tertentu termasuk sejarah keluarga dan sesi temu bual bersama pesakit.

"Biasanya dalam sesi terapi pertuturan, apabila menerima kes rutin kebiasaannya adalah proses diagnosis gagap itu sendiri. Bagi dewasa, kami akan lakukan temu bual mengenai sejarah keluarga dan bagi masalah membabitkan kanak-kanak, kami mendapatkan maklumat menerusi ibu bapa.

"Dalam pemerhatian atau ujian boleh dijalankan termasuk meminta mereka membaca petikan mengandungi 200 perkataan. Di situ kami buat pesampelan dan kiraan untuk mengenal pasti tahap serius masalah mereka.

 STRES atau tertekan boleh mengganggu kelancaran pertuturan.
STRES atau tertekan boleh mengganggu kelancaran pertuturan.

"Ini juga mengambil kira faktor persekitaran dan kalau boleh kami akan minta sampel mereka merekod sendiri bila gagap itu berlaku," katanya.

Tambah Farah, masalah serius gagap dikategorikan kepada empat tahap iaitu ringan, sederhana, berat dan terlalu berat bagi mengenal pasti kaedah intervensi dan tempoh terapi diperlukan.

"Selepas mengenal pasti punca dan tahap, barulah terapi bermula dan kebiasaan mengambil tempoh tiga hingga enam bulan. Ia boleh menjadi lebih panjang bagi masalah lebih serius seperti kesan kecederaan otak.

"Cabaran lain mungkin menjadi kekangan terutama ibu bapa atau individu menjalani rawatan ialah mendapatkan bantuan atau juruterapi terutama di hospital awam. Antara yang boleh dilakukan dapatkan khidmat terapi swasta dan ibu bapa boleh belajar skil untuk pastikan proses intervensi lebih berkesan serta kondusif," katanya.

Bagi kes membabitkan komplikasi psikologi atau faktor persekitaran, kata Farah, rawatan multidisiplin iaitu merawat gangguan psikologi disusuli terapi pertuturan bagi memulihkan kelancaran mereka bertutur.

"Ada satu kes yang pernah saya tangani membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun dari keluarga ekspatriat. Kanak-kanak ini mengalami masalah gagap apabila kehilangan bapanya.

"Gagapnya hanya berlaku apabila dia inginkan suarakan sesuatu, tetapi terasa diabaikan oleh keluarganya. Apabila keluarga beri perhatian, masalah gagap itu beransur pulih,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 7:00 AM