BERCAKAP dengan anak ketika bayi. FOTO fail NSTP
BERCAKAP dengan anak ketika bayi. FOTO fail NSTP
Siti Zarinah Sahib


RAMAI ibu bapa teruja apabila si kecil yang baru berusia dua atau tiga tahun sudah menunjukkan minat terhadap pembelajaran. Mereka gembira apabila anak mengenal ABC dengan baik selepas kerap kali menonton klip video di YouTube menerusi telefon pintar.

Bagaimanapun, apabila bersama rakan sebaya anak yang kelihatan ‘petah’ ini terus diam tidak bersuara. Malah dia langsung tidak dapat menyebut perkataan lain dengan baik walaupun diulang berkali-kali.

Menurut Juruterapi Pertuturan Bahasa, Excel Qhalif Sdn Bhd, Fatin Nur Syakirah Mohd Azman, ramai ibu bapa beranggapan anak yang sudah mengenal huruf serta mampu menyebut huruf konsonan atau vokal adalah tanda anak boleh bercakap.

“Sebenarnya tidak. Ia cuma persepsi ibu bapa sahaja. Sebab itu ramai berbangga apabila anak sudah boleh membaca ABC sedangkan mereka tidak boleh bercakap. Kenal huruf dan menyebutnya bukanlah aktiviti bercakap yang normal bagi kanak-kanak. Kebanyakan mereka hanya boleh menyebut selepas ditunjukkan menerusi video di YouTube. Apabila bersama ibu bapa atau rakan mereka kembali senyap,” jelasnya.

Bahasa atau percakapan biasanya akan tercetus apabila ada ruang untuk berinteraksi antara seorang dengan yang lain dalam konteks sosial. Ia juga ada kaitannya dengan keupayaan seseorang kanak-kanak itu berfikir dan menguasai perbendaharaan kata. Sekiranya komunikasi mereka menerusi telefon pintar atau tablet, ia bukanlah percakapan yang berfungsi dengan baik.

GAJET adalah punca utama anak lambat bercakap. FOTO fail NSTP
GAJET adalah punca utama anak lambat bercakap. FOTO fail NSTP

Mengulas lebih lanjut, pada masa sekarang ramai ibu bapa menghadapi isu anak lambat bercakap. Tetapi ada ibu bapa menafikannya dan beranggapan ia perkara normal memandangkan anak mereka aktif ketika menonton rancangan pembelajaran menerusi telefon pintar. Ada juga ibu bapa berkata belum masanya anak bercakap dan si kecil akan bercakap sendiri mengikut keperluan mereka.

Jelas Fatin, keupayaan seseorang kanak-kanak itu bercakap berbeza dan ia berkait rapat dengan faktor persekitaran serta kesihatan. Sesetengah kes anak lambat bercakap disebabkan faktor genetik apabila ayah atau ibunya turut mempunyai pengalaman lambat bercakap.

“Tetapi berdasarkan kes yang diterima, banyak punca anak lambat bercakap disebabkan gajet seperti telefon genggam dan tablet yang diberikan tanpa kawalan. Si kecil yang asyik bermain gajet hanya berkomunikasi menerusi skrin. Mereka boleh menyentuh dan mendengar tetapi tidak mampu memberikan tindak balas.

“Lama-kelamaan keupayaan mereka untuk bertutur dan mengeluarkan perkataan sangat terbatas. Ini boleh menyebabkan mereka tidak fokus ketika belajar,” katanya.

Dari aspek kesihatan, anak yang kurang atau lambat bercakap mungkin menghadapi masalah gangguan pendengaran. Bahkan si kecil yang mempunyai masalah oral-motor juga menghadapi kesukaran menggunakan lidah, bibir dan dagu untuk mengeluarkan perkataan. Namun, biasanya kes seperti ini ada kaitan dengan masalah pemakanan dan hanya boleh dikenal pasti menerusi pemeriksaan pakar kanak-kanak.

“Kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme dan hiperaktif serta mereka yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi seperti tidak cukup zat makanan, tekanan emosi dan penderaan juga menyebabkan mereka lambat bercakap.

“Selain itu kanak-kanak yang selalu bermain sendiri dan kurang terdedah kepada hubungan sosial juga menghadapi masalah sama. Begitu juga jika ibu bapa menggunakan pelbagai bahasa di rumah turut mempengaruhi perkembangan pertuturan anak,” katanya.

IBU perlu banyak bercakap dengan anak. FOTO fail NSTP
IBU perlu banyak bercakap dengan anak. FOTO fail NSTP

BILA ANAK BOLEH BERCAKAP

Ramai ibu bapa keliru pada usia berapakah anak mula bercakap? Menjelaskan hal ini, Penolong Pengurus Terapi Carakerja, Amirah Mohd berkata, ini adalah persoalan yang subjektif kerana keupayaan berkenaan berkait rapat dengan empat peringkat perkembangan bahasa kanak-kanak iaitu:

1. Kemahiran fonologi

Kemahiran fonologi ialah kemampuan seseorang kanak-kanak mengeluarkan bunyi dan memahami bunyi bahasa pertuturan.

2. Kemahiran semantik

Iaitu keupayaan kanak-kanak memahami perkataan dan menguasai perbendaharaan kata.

3. Keupayaan belajar mencantum dan menyusun perkataan

Keupayaan ini sangat penting untuk membolehkan anak anak mencantum dan penyusun perkataan menjadi ayat yang betul dari segi tatabahasa

4. Perkembangan pragmatik

Ini adalah peringkat yang paling kompleks kerana ia membabitkan peraturan menggunakan bahasa dalam konteks sosial berbeza atau tujuan pelbagai.

Namun begitu cara paling mudah adalah dengan merujuk buku perkembangan anak yang diberikan di klinik kesihatan sebaik saja ibu bapa membawa anak untuk pemeriksaan pertama.

“Di dalam buku ini ada panduan yang jelas mengenai peringkat usia dan perkembangan mereka. Pada usia setahun sepatutnya si comel sudah boleh menyebut papa atau mama walaupun masih pelat. Pada usia 18 bulan kosa kata mereka semakin bertambah. Namun sekiranya pada usia ini anak-anak masih tidak mengeluarkan walau sepatah perkataan, ibu bapa perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan melihat perkembangan anak sehingga usia dua tahun.

“Ibu bapa boleh merujuk kepada terapi pertuturan untuk mengetahui punca dan kaedah pembelajaran. Biasanya juruterapi akan membezakan sama ada anak mereka percakapan yang terlengah atau lambat bercakap. Walaupun kedua-duanya seakan sama iaitu lambat bercakap namun terdapat perbezaan pada tindak balas mereka,” katanya.

Ujar Amirah, berdasarkan pengalamannya juruterapi dapat mengenal pasti sama ada si kecil menghadapi beberapa kategori masalah lambat bercakap pada usia setahun dengan melihat adakah mereka menunjukkan perkembangan positif apabila diletakkan bersama rakan sebaya.

” Ada kanak-kanak yang mudah bergaul dan menyesuaikan diri dengan rakan sebaya apabila dihantar ke tadika. Ada kanak-kanak dalam kategori ini memerlukan pemantau rapi dan rawatan daripada juruterapi pertuturan bagi membolehkan mereka berada dalam kelompok yang sama. Sebab itu setiap kanak-kanak yang dihantar ke sini akan menjalani program berbeza bergantung kepada masalah mereka.

“Ada yang memerlukan terapi secara berdua dan juga berkumpulan dengan pembabitan ibu bapa. Untuk kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme, sindrom Down dan hiperaktif, program intervensi perlu didedahkan secara lebih berkesan agar mereka boleh menerima pembelajaran dengan baik,” ujarnya.

Ini disokong oleh Juruterapi Cara Kerja Siti Noorzulaikha Ajizamri yang sering berhadapan dengan kanak-anak berkeperluan khas bagi membantu merangsang pertuturan mereka.

“Kanak-kanak dalam kategori ini perlu menjalani rawatan dan ujian tertentu bagi mengenal pasti tahap keupayaan mereka. Selepas itu barulah mereka dihantar sama ada di sekolah khas atau menjalani terapi pertuturan,” katanya.

KANAK-KANAK melakukan aktiviti secara berkumpulan bagi membantu komunikasi mereka.
KANAK-KANAK melakukan aktiviti secara berkumpulan bagi membantu komunikasi mereka.

TIP MEMBANTU ANAK BERCAKAP

1. Banyak berbual dengan anak ketika bayi

Ibu bapa perlu meluangkan masa berbual dengan anak ketika mereka masih bayi. Bercakap apa sahaja contohnya bercerita mengenai apa yang dilihat dan dirasai. Walaupun mereka memberi tindak balas dengan menuturkan bahasa sendiri (tidak difahami ibu), namun sekiranya ibu menjelaskan apa yang ingin diperkatakan anak lama-kelamaan anak akan mula memahami dan bercakap dengan bahasa yang betul.

2. Banyak mendedahkan perkataan kepada anak

Perlu diingat, anak-anak tidak semestinya diperkenalkan dengan perkataan baru melalui buku, tetapi juga menerusi deria seperti apa yang dilihat, disentuh, dirasa atau dihidu. Bermain dengan anak secara aktif dapat membantu meluaskan kosa kata anak. Pastikan ibu menyebut perkataan berulang-kali agar dapat diingat anak.

3. Pantau penggunaan gajet

Gajet adalah punca utama anak lambat bercakap. Oleh itu ibu bapa perlu mengurangkan penggunaan gajet atau tidak memberikan langsung kepada anak terutama dalam fasa satu hingga lima tahun. Memang benar ada banyak rancangan dan video pendidikan dalam gajet yang boleh merangsang minda mereka tetapi, kebanyakan program ini lebih bersifat sehala. Keadaan ini berbeza dengan bermain di luar rumah kerana terdapat pelbagai deria boleh digunakan sekali gus merangsang minda mereka.

4. Biarkan anak bergaul

Anak-anak yang selalu bergaul dengan orang dewasa biasanya akan lebih cepat bercakap berbanding anak-anak yang bergaul dengan rakan sebaya. Oleh itu biarkan anak-anak bermain kerana aktiviti ini dapat mendedahkan mereka dengan kemahiran dan juga komunikasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 12:55 PM