LIMAU purut petua orang tua dahulu singkirkan bau badan.
LIMAU purut petua orang tua dahulu singkirkan bau badan.
Nurul Husna Mahmud


Peluh pada badan tidak berbau, tetapi bakteria yang terdapat pada permukaan kulit menyebabkan bau terhasil ketika atau selepas berpeluh.

Itu perkongsian pemilik Ayor Spa Naziah Fir Khan mengenai bau badan yang kerap dihadapi kebanyakan orang sehingga memberi kesan kepada keyakinan diri.

Tambah Naziah, fakta yang tepat mengenai peluh berdasarkan kajian pernah dilakukan ialah terdapat perbezaan unik antara lelaki dan wanita.

"Wanita dikatakan mempunyai 75 peratus lebih banyak kelenjar peluh, tetapi lelaki berpeluh dua kali lebih banyak. Kajian lain juga menunjukkan saiz badan juga mempengaruhi jumlah peluh, sekali gus mempengaruhi intensiti bau badan bagi setiap individu.

"Namun, masalah itu dapat diatasi jika mereka mengamalkan gaya hidup sihat dan penjagaan kebersihan diri optimum sesuai dengan rutin harian masing-masing.

"Ini termasuk elak mengenakan pakaian sama berulang terutama kasut dan stoking. Ramai mengenakan aksesori itu tanpa tingkatkan rutin membasuh atau menukar kepada yang baharu.

"Selain itu, sikap tidak endah dengan hal rutin penjagaan diri seperti cukur bulu ketiak dan bahagian sulit juga menjadi punca mereka mengalami masalah itu," katanya.

 PARUTAN limau purut dicampur dengan beras sangai.
PARUTAN limau purut dicampur dengan beras sangai.

Naziah turut berkata, kombinasi penjagaan diri dan pengambilan makanan yang sihat membantu individu menangani bau badan masing-masing.

"Permakanan juga menjadi punca individu mengalami masalah bau badan yang luar biasa. Terutama pengambilan makanan berempah, pedas dan kafien," katanya.

Bau badan akibat kadar peluh yang tinggi juga boleh dikurangkan dengan mandi lebih kerap dan menggunakan sabun antibakteria.

BAHAN lulur dilumur dan digosok lembut pada kulit badan.
BAHAN lulur dilumur dan digosok lembut pada kulit badan.

Naziah turut berkongsi tip mengenai kaedah semula jadi bagi mengatasi masalah bau badan termasuk menggunakan limau purut. Sitrus itu kaya dengan vitamin C.

"Petua orang tua dulu-dulu banyak menggunakan limau purut bagi mengatasi masalah bau badan. Ia sesuai terutama buat mereka yang mempunyai alahan kepada pewangi badan atau deodoran ketiak.

"Antara kebaikan bahan alami itu ialah sifat sitrus ini yang kaya dengan vitamin C juga memiliki fungsi antioksida. Ia dikatakan mampu membunuh 99 peratus bakteria, sekali gus menyuntik aroma bau menyenangkan pada badan," katanya.

Rawatan atau rutin yang boleh dilakukan individu bagi menyingkir bau badan termasuk bahan lulur badan dan mandian aura berasaskan limau purut.

AIR mandian limau purut disediakan.
AIR mandian limau purut disediakan.

Berikut dua kaedah menggunakan limau purut boleh dilakukan di rumah:

Kaedah pertama: Lulur limau purut

1. Ambil tiga atau empat biji limau purut dan dikisar.2.

Kemudian ambil segenggam beras dan disangai (goreng tanpa minyak) sehingga kekuningan.

3. Kisar halus beras yang sudah disangai.

4. Campurkan kedua-dua bahan dalam mangkuk.

5. Sedia digunakan.

CAMPURAN bersama bunga mampu meningkatkan aura individu selain menyingkirkan bau badan.
CAMPURAN bersama bunga mampu meningkatkan aura individu selain menyingkirkan bau badan.

Kebaikan lain lulur badan

- Menanggalkan sel kulit mati serta daki badan.

- Menjadikan kulit bersih, cerah dan gebu.

- Memutih bahagian yang tersembunyi seperti pelipat paha, lutut, siku dan ketiak.

Melegakan tekanan dan keletihan.

Melancarkan perjalanan darah.

Kaedah kedua: Mandi aura limau purut

1. Sediakan limau purut dan tujuh jenis bunga segar.

2. Limau purut dipotong nipis dan diperah airnya dalam tab mandi atau bekas air mandian.

3. Taburkan bunga dalam tab mandi atau bekas air mandian.

4. Sedia digunakan.

Kebaikan lain mandi aura

-Menaikkan seri wajah.

-Mengatasi kelesuan.

-Menambahkan keyakinan diri.

-Memberi aura positif.

-Menghilangkan toksin dalam badan.

-Menyegarkan badan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 7:00 AM