AIEN mengembara ke empat negara mempelajari apa ditawarkan industri minyak wangi ‘niche’ yang tiada di Malaysia.
AIEN mengembara ke empat negara mempelajari apa ditawarkan industri minyak wangi ‘niche’ yang tiada di Malaysia.
Hafiz Ithnin


KETIKA zaman kanak-kanak dia hanya menjadi pemerhati ibunya, Amizan Zakariah yang 'cintakan' minyak wangi.

Masih bermain di ingatan wanita itu, seawal usia 13 tahun dia dihadiahkan ibunya sebotol minyak wangi O de Lancome, haruman citrus yang begitu segar serasi dengannya yang masih remaja.

Ketika dia membesar, pemilik nama, Aien Mokhtar ini berpeluang mengembara ke pelbagai negara dan seingatnya sudah 53 negara sudah dijelajahi.

Baginya, setiap negara mempunyai aroma tersendiri. Justeru, Aien merasakan minyak wangi mempunyai jalan cerita yang begitu peribadi untuk setiap pemiliknya.

Malah, minyak wangi mampu menceritakan peribadi seseorang tanpa perlu mengeluarkan sebarang kata-kata kepada mereka yang dapat menikmati harumannya.

"Ketika sudah bekerja saya mula 'memburu' haruman (bauan) yang jarang dimiliki orang lain kerana saya gemarkan aroma yang unik dan menceritakan mengenai tempat berkenaan.

"Bagi saya keunggulan minyak wangi bukan kerana jenama dan harga tetapi keunikannya. Seperti saya katakan, minyak wangi adalah menceritakan peribadi kita sendiri. Jika mahal tetapi tidak serasi dengan pemilik, itu adalah pembaziran," katanya.

Namun, dia pada mulanya tidak mempunyai cita-cita untuk mempunyai jenama minyak wangi sendiri kerana selepas menamatkan pengajian di Kanada pada 1999 dan bergelumang dengan dunia korporat hampir 10 tahun di bidang hartanah selain begitu fokus dalam kerjaya yang dimiliki.

"Puas berada di dalam dunia korporat, saya merasakan sudah tiba masanya untuk melakukan sesuatu yang amat saya gemari iaitu perkara paling dekat di hati adalah minyak wangi dan menulis," katanya

SETIAP bauan minyak wangi keluarannya mempunyai kisah peribadi tersendiri.
SETIAP bauan minyak wangi keluarannya mempunyai kisah peribadi tersendiri.

AIEN mempunyai kecekapan dalam menggabungkan pelbagai ramuan untuk menghasilkan bauan yang menarik.
AIEN mempunyai kecekapan dalam menggabungkan pelbagai ramuan untuk menghasilkan bauan yang menarik.

Jelas Aien, dia mengambil masa yang panjang untuk mempelajari teknik menggubah minyak wangi. Dari 2002, pengetahuannya mengenai seni gubahan minyak wangi dipelajari dalam masa lapang dengan banyak membaca buku dan daripada sumber dalam talian, sebelum berpeluang untuk ke Australia dan Perancis untuk menjalani latihan praktikal.

Sebelum OLFAC3 Perfumes ditubuhkan pada 2016, dia bersama rakan niaga mengambil masa dua tahun untuk mengembara ke empat negara iaitu Sepanyol, Perancis, Turki dan Greece untuk mempelajari serta memastikan apa yang akan ditawarkan di pasaran Malaysia setanding dengan pasaran antarabangsa.

"Ketika itu saya masih ingat lagi, di Malaysia tidak ada pihak yang menawarkan bengkel untuk membuat minyak wangi bagi golongan seperti saya yang ingin mencipta wangian peribadi.

"Jadi, saya mengembara ke empat negara itu untuk melihat dan mempelajari dengan lebih lanjut apa yang mereka di dalam industri minyak wangi 'niche' tawarkan yang masih belum ditawarkan di Malaysia.

"Bukan sahaja menjual minyak wangi atas jenama sendiri, malah mencipta minyak wangi peribadi untuk pelanggan dan membuat bengkel kepada mereka yang berminat bagi belajar asas menggubah minyak wangi," katanya.

Selepas dua tahun mengembara mengutip pengalaman, akhirnya tanggal 6 Jun 2016, Aien membuka studio minyak wanginya yang dikenali sebagai OLFAC3 Perfumes di ibu negara bersama rakan niaganya.

Penulis yang berkesempatan mengunjungi studio minyak wangi milik Aien pada pertengahan Ramadan lalu bersama Tourism Malaysia juga begitu kagum melihat hasil ciptaan yang kini mempunyai 16 jenis minyak wangi komersial dan satu edisi terhad.

Malah, ketika mengunjunginya penulis sendiri diberi peluang untuk mengikuti bengkel membuat minyak wangi sendiri. Hidung wanita berusia 46 tahun itu begitu cekap 'menangkap' hampir 100 pati minyak wangi yang berada di hadapan penulis.

MINYAK wangi keluaran Aien mampu menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat.
MINYAK wangi keluaran Aien mampu menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat.

Tidak sekadar itu, meskipun sudah digabungkan dengan pelbagai pati aroma yang lain bagi mencipta sebuah minyak wangi peribadi, Aien boleh mentafsirkan pati yang sudah digabungkan.

"Bertahun saya belajar mengenai minyak wangi dan sudah lima tahun OLFAC3 Perfumes ditubuhkan, sudah pasti setiap hari adalah latihan untuk saya dan kakitangan mengetahui setiap campuran pati itu," kongsi wanita ini dalam nada merendah diri ketika penulis bertanya mengenai kecekapannya meneka setiap aroma.

Ditanya mengenai permintaan pelanggan untuk mencipta minyak wangi peribadi, katanya, sesi untuk tahun ini sahaja sudah penuh ditempah pelanggan.

Dalam tempoh lima tahun selepas ditubuhkan, jenama Aien bukan sekadar di Malaysia, malah sudah berkembang sehingga ke Bali, Indonesia dan Paris, Perancis.

Tidak sekadar itu, pelanggannya juga terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk mereka berstatus menteri yang inginkan wangian unik dan sesuai dengan peribadi mereka.

Dari segi harga, semua koleksi komersial bermula dari harga hanya RM50 untuk 'set discovery' sehingga RM250 untuk 50ml Eau De Parfum. Sesi konsultasi untuk mencipta wangian peribadi bermula RM1,000.

Aien juga ketika ini dalam proses akhir menyiapkan dua daripada 26 aroma yang menceritakan mengenai 14 negeri di Malaysia melalui haruman untuk jenama baharu yang mempunyai visi dalam usaha mengetengahkan Malaysia yang sekali gus dapat mengangkat jenama tempatan ke peringkat antarabangsa.

"Sebenarnya, setiap negara mempunyai haruman tersendiri dan di Malaysia kita belum ada lagi. Justeru, melalui kolaborasi ini, saya berpeluang untuk menghasilkan koleksi bau yang diinspirasikan setiap negeri di negara ini.

"Selain itu, saya ingin mengangkat bau minyak wangi Asia supaya mampu berdiri setanding dengan ciptaan firma minyak wangi di luar sempadan benua ini," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 7:00 AM