NUR ADRINA gemar bereksperimen dengan fesyen.
NUR ADRINA gemar bereksperimen dengan fesyen.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KALAU dilihat daripada aspek gaya dan penampilan, gadis ini cukup teliti orangnya. Tambahan pula dikurniakan wajah persis model dan tubuh langsing memberi kelebihan buatnya untuk tampil anggun dan bergaya tanpa memerlukan usaha berganda.

Rekaan moden tapi minimalis tetap menjadi pilihan Nur Adrina Kamaruddin kerana di samping mahu tampil ringkas, busana sebegini sesuai dijadikan pilihan ke kelas mahupun santai.

Paling utama bagi gadis berusia 20 tahun ini adalah penampilan perlulah seiring keselesaan kerana akhirnya, apa yang dipakai seharusnya membuat kita tampil berkeyakinan.

Konsep minimalis dipilih pelajar Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) ini kerana dia percaya kecantikan boleh juga diperoleh dengan konsep kesederhanaan tanpa perlu berlebih-lebih dalam penampilan.

“Usia remaja adalah masa paling sesuai untuk bereksperimen atau mencuba pelbagai fesyen menarik. Tidak memerlukan modal yang banyak, saya gunakan konsep suai padan untuk tampilkan kelainan.

GAYA ringkas menjadi pilihan utama untuk ke kuliah.
GAYA ringkas menjadi pilihan utama untuk ke kuliah.

“Pilihan utama saya adalah pakaian kasual berbanding formal kerana saya gemarkan kebebasan dalam penampilan. Oleh itu, dalam kebanyakan koleksi saya, gaya jalanan sentiasa menjadi pilihan,” katanya.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini, dia menjadikan pelakon dan selebriti tanah air, Scha Al-yahya sebagai rujukan untuk bereksperimen dengan gayanya.

Gaya relaks, santai dan bersahaja selebriti itu katanya amat sesuai dengan jiwanya apatah lagi kesibukan kuliah setiap hari memerlukannya sentiasa aktif dan pantas.

Katanya, selain pakaian santai seperti kemeja-T, seluar khakis dan baju panas yang digaya hampir setiap hari, dia turut meminati gaun dan sut seluar.

Dari segi pemilihan kasut pula, katanya, sniker menjadi pilihan yang digaya dengan busana kasual, manakala kasut tumit tinggi pula akan digayakan bersama gaun dan sut.

Katanya, meskipun bergelar penuntut universiti, tidak salah sekiranya mahu tampil bergaya dan berpenampilan anggun asalkan tahu batas dan tidak membazir demi mendapatkan baju berjenama.

Bahkan, katanya, baju berharga murah juga boleh membuat gaya seseorang tampak eksklusif asalkan tahu menyuai padan dan menggayakan dengan aksesori bersesuaian.

“Saya gemar menggayakan aksesori seperti subang dan rantai. Aksesori juga tak perlu keterlaluan atau terlalu mahal kerana bagi saya, ‘less is more’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:15 AM