Siti Nadirah Hafidzin


PANAS, leceh dan merimaskan. Ada juga berpendapat ia bukan satu keperluan, malah kelihatan sangat ketinggalan zaman apabila menyentuh soal berbengkung apatah lagi menggunakan bengkung tradisional.

Golongan ibu muda masa kini dikatakan memilih untuk tidak mengenakan bengkung dalam tempoh berpantang atau sekadar memakai bengkung moden kerana berasakan ia sesuatu yang merumitkan.

Namun tidak semuanya bersetuju dengan pandangan itu kerana ada juga segelintir wanita termasuk yang berusia awal 20-an memilih untuk berbengkung tradisional terutama selepas melahirkan cahaya mata.

Bukan terlalu taasub untuk cantik atau mahu tampil kurus namun rata-rata wanita yang memakainya mengakui berasa lebih selesa dalam tempoh berpantang kerana ikatan bengkung yang kemas dan sedikit ketat membantu pergerakan menjadi lebih teratur.

Bagaimanapun, untuk memakai bengkung tradisional agak sukar terutama jika tiada bantuan. Namun memakai bengkung tradisional tidak sesukar yang disangka apatah lagi jika ia sudah menjadi rutin.

Berkongsi tip dan pandangan mengenai pemakaian bengkung tradisional, juruterapi tradisional yang juga bidan bertauliah, Nor Qamarul Ramdhah Ahmad Rashidi berkata, pemakaian bengkung mempunyai pelbagai manfaat terutama untuk kesihatan.

“Ramai yang mentafsirkan berbengkung ini untuk kurus semata-mata namun ada banyak manfaatnya terutama dari segi kesihatan.

“Kalau dapat kurus dengan berbengkung, itu bonus. Apa yang lebih utama ia membantu membetulkan postur tubuh, tulang belakang dan mengeluarkan darah kotor ketika berpantang,” katanya.

Tambahnya, melalui pengalamannya lebih 10 tahun dalam bidang itu membuktikan pemakaian bengkung juga dapat membantu mengembalikan bentuk badan.

“Ini bukan jaminan. Ini adalah usaha untuk menjaga badan kerana pemakaian bengkung bukan hanya ketika berpantang. Ia boleh dipakai pada bila-bila masa mengikut keperluan.

“Semuanya bergantung kepada kerajinan seseorang. Ramai yang mengakui malas berbengkung tradisional disebabkan ia agak leceh, perlu diikat kemas dan susah untuk dibuka terutama jika mahu ke tandas sedangkan ia tidak begitu,” katanya.

Menurutnya, wanita yang bersalin normal boleh memakai apa saja jenis bengkung namun bagi yang bersalin secara pembedahan perlu berhati-hati.

“Bagi yang bersalin secara pembedahan boleh menangguhkan dulu untuk berbengkung kerana kita tidak mahu ia menekan bahagian perut yang berjahit. Anda boleh berbengkung selepas luka benar-benar sembuh,” katanya.

Nor Qamarul Ramdhah berkata, bengkung tradisional boleh dipakai sendiri tanpa memerlukan bantuan pembantu, suami, ibu atau ahli keluarga terdekat.

“Tiada lagi isu susah dan leceh kerana seiring peredaran masa, bengkung tradisional sudah diinovasikan dengan penyediaan lubang tali yang dijahit rapat. Dalam lima hingga 10 minit anda sudah siap berbengkung jika tahu caranya,” katanya.

TIP PILIH BENGKUNG TRADISIONAL

1. Pilih bengkung yang lebar melepasi punggung.

2. Tali bengkung juga perlu panjang dan lebar bagi memudahkan ikatan serta lebih kemas.

3. Jangan ikat terlalu ketat sehingga sukar untuk berjalan dan duduk. Selepas selesai mengikat cuba untuk duduk dan bangun semula.

4. Fabrik bengkung perlu tahan lasak dan tidak nipis. Ia penting bagi memastikan bengkung tidak mudah terkoyak selepas diikat kemas.

5. Sekiranya dipakai ketika berpantang, sesuaikan bengkung yang dipilih mengikut kaedah bersalin terutama jika anda bersalin secara pembedahan.

1. PASTIKAN badan berada di tengah-tengah, bahagian kiri dan kanan perlu sama panjang.
1. PASTIKAN badan berada di tengah-tengah, bahagian kiri dan kanan perlu sama panjang.

2. LIPATKAN sebelah bengkung dengan kemas di perut bermula daripada bawah dada hingga melepasi punggung.
2. LIPATKAN sebelah bengkung dengan kemas di perut bermula daripada bawah dada hingga melepasi punggung.

3. MULAKAN ikatan bengkung dari bawah ke atas seperti ikatan tali kasut.
3. MULAKAN ikatan bengkung dari bawah ke atas seperti ikatan tali kasut.

4. PASTIKAN setiap tali diikat kemas, jangan ada yang tertinggal.
4. PASTIKAN setiap tali diikat kemas, jangan ada yang tertinggal.

5. SELEPAS selesai mengikat ke arah atas, tarik dan kemaskan ikatan supaya bengkung kemas dan sedikit ketat.
5. SELEPAS selesai mengikat ke arah atas, tarik dan kemaskan ikatan supaya bengkung kemas dan sedikit ketat.

6. BUAT ikatan yang sesuai seperti ikatan simpul atau selitkan  di bahagian tali bagi memudahkan sekiranya ingin dibuka.
6. BUAT ikatan yang sesuai seperti ikatan simpul atau selitkan di bahagian tali bagi memudahkan sekiranya ingin dibuka.

7. IKATAN bengkung tradisional yang siap dipakai.
7. IKATAN bengkung tradisional yang siap dipakai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:20 AM
Pemakaian bengkung tradisional tidak leceh jika tahu caranya.
Pemakaian bengkung tradisional tidak leceh jika tahu caranya.