RUMAH PR1MA milik Mahani.
RUMAH PR1MA milik Mahani.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


SELAMA empat tahun menyewa, impian suami isteri ini untuk mendiami rumah sendiri menjadi kenyataan.

Ini selepas rumah pertama Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) jenis rumah berkembar berharga RM150,000 dibeli pada 2021 sedia didiami.

Mahani Sabri, 30, berkata, perancangan membeli rumah pertama adalah selepas baru mendirikan rumah tangga pada 2017.

Menurutnya, hasrat ini dipendamkan seketika memandangkan harga rumah ketika itu agak tinggi iaitu RM300,000 yang di luar kemampuan mereka.

"Tetapi, kami tidak mengalah sebaliknya bersabar dan mengatur strategi membuat simpanan secara konsisten setiap bulan hingga berjaya mengumpul hampir RM20,000.

"Pada 2021, kami mendapat maklumat ada projek perumahan PR1MA dibuka di Temerloh, Pahang dan cuba membuat permohonan. Alhamdulillah melepasi syarat kelayakan ditetapkan.

"Proses membeli rumah ini juga tiada sebarang halangan dan permohonan pembiayaan perumahan turut mudah mendapat kelulusan," katanya.

Katanya, dia dan suami, Mohd Hamizan Mohd Saufi, 30, sangat gembira apabila dapat memiliki rumah pertama pada usia muda. Selain itu, menganggap rumah ini adalah rezeki anak-anak.

Tambahnya, perancangan asal wang simpanan yang disediakan itu adalah sebagai persediaan wang pendahuluan rumah.

MAHANI bersama suami dan dua anak mereka.
MAHANI bersama suami dan dua anak mereka.

"Tetapi, oleh kerana mendapat pembiayaan penuh, maka wang berkenaan digunakan untuk pengubahsuaian kecil yang dilakukan berperingkat.

"Kami mengutamakan dahulu penyediaan keperluan penting merangkumi pemasangan jeriji, pendawaian elektrik, membeli kelengkapan barangan elektrik dan keperluan barangan rumah yang lain," katanya.

Katanya, Disember depan dijangka dia, suami, dua anak berusia dua dan empat tahun bakal berpindah untuk mendiami rumah itu.

"Paling saya bersyukur ialah pembinaan rumah ini berjaya disiapkan sepenuhnya walaupun mengambil masa tiga tahun.

RUANG dalam rumah.
RUANG dalam rumah.

"Saya sedar risiko membeli rumah yang masih dalam pembinaan kerana ada rakan-rakan membeli rumah lebih awal, tetapi belum dapat diduduki," katanya.

Mahani berkata, langkah pertama yang mereka lakukan selepas mendapat kunci rumah adalah pemeriksaan rumah untuk mengenal pasti kecacatan kemasan pembinaan.

Katanya lagi, dia menasihati belia supaya mendahulukan pembelian rumah berbanding kehendak lain. Ini kerana harga rumah semakin meningkat setiap tahun dan menjadi bebanan jika sekiranya lewat membeli aset berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 6:30 AM