PERUMAHAN bertingkat  terdapat kawasan untuk kegunaan umum dan ruang semi umum iaitu kawasan seperti koridor, kawasan lif dan sebagainya untuk kegunaan bersama.
PERUMAHAN bertingkat terdapat kawasan untuk kegunaan umum dan ruang semi umum iaitu kawasan seperti koridor, kawasan lif dan sebagainya untuk kegunaan bersama.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


ISU tinggal di flat tetapi selera duduk kondominium tidak akan berterusan sekiranya penduduk setempat memainkan peranan masing-masing.

Profesor Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Ahmad Hariza Hashim berkata, penduduk di kediaman jenis bertingkat seharusnya perlu prihatin dengan tanggungjawab masing-masing dan tidak mengambil sikap lepas tangan.

Ini kerana katanya, di kawasan perumahan bertingkat misalnya, terdapat kawasan untuk kegunaan umum iaitu di luar kawasan perumahan terbabit dan semi umum iaitu kawasan seperti koridor, kawasan lif dan sebagainya.

"Kawasan umum adalah kawasan yang dikongsi bersama awam manakala kawasan semi umum pula adalah untuk kegunaan penduduk di perumahan bertingkat itu sahaja.

"Jadi jika ada pemilik kediaman flat contohnya yang mengubah suai laluan pejalan kaki dengan memasang jeriji, ia sudah menggunakan kawasan semi umum yang sepatutnya diguna bersama penduduk di aras terbabit.

"Ia juga sama seperti tindakan menambah binaan dan struktur pada bahagian belakang flat terutamanya kediaman di tingkat bawah," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai isu tinggal di flat, tetapi selera bagaikan duduk di kondominium yang kembali hangat diperkatakan selepas ada penduduk di Flat Wangsa Maju Seksyen 2, di ibu kota yang mengubah suai laluan koridor di depan rumah dengan memasang jeriji.

Tindakan pemilik kediaman flat itu jelas mengundang kemarahan penduduk kerana menghalang laluan pejalan kaki di bangunan berkenaan.

Mengulas lanjut Ahmad Hariza berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan sekiranya ada aduan yang dibuat oleh penduduk.

Namun, sebelum itu perlu dipastikan juga adakah kawasan perumahan berkenaan berada di bawah pentadbiran pihak majlis (PBT) atau Badan Pengurusan Bersama (JMB).

"Biasanya, perumahan flat atau rumah pangsa yang tidak mempunyai JMB yang agak bermasalah kerana ia di bawah PBT.

"Ini kerana PBT memiliki kawasan pentadbiran yang luas dan mereka juga berdepan dengan kekangan tenaga kakitangan untuk melakukan pemeriksaan ke semua kawasan perumahan.

"Jika mendapat aduan, pasti mereka mengambil tindakan dengan segera," katanya.

Menurut Ahmad Hariza lagi, terdapat konsep reka bentuk intervensi yang digunakan di perumahan bertingkat yang memiliki rekaan koridor panjang namun ia memerlukan perbincangan lanjut antara penduduk dan PBT.

Kata beliau, pembinaan halangan seperti jeriji untuk kepentingan sendiri tidak boleh dilakukan sama sekali kerana ia mengguna pakai ruang yang sepatutnya dikongsi bersama.

Katanya, demi keharmonian bersama, penduduk tidak boleh mementingkan diri sendiri dan perlu menghormati hak jiran tetangga.

"Sebelum ini jika tidak silap, ada saranan untuk mewujudkan sesi orientasi kepada penghuni yang baharu masuk ke rumah pangsa atau flat.

"Ia bagi memastikan penghuni baharu itu mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang mereka menetap di perumahan terbabit.

"Bagi saya, ia adalah sesuatu yang boleh untuk diamalkan ketika ini kerana sesi pengenalan seperti itu boleh mengingatkan orang ramai mengenai aspek yang penting dalam kehidupan di perumahan bertingkat," katanya.

Sementara itu, tinjauan media di sekitar Blok F1, Flat Wangsa Maju Seksyen 2 mendapati terdapat sekurang-kurangnya satu jeriji dipasang di setiap tingkat pada bangunan empat tingkat terbabit.

Tindakan memasang jeriji itu turut menimbulkan rasa marah penduduk sehingga menconteng dinding bersebelahan unit yang berada pada tingkat satu blok F1 bangunan berkenaan.

Penduduk mahu supaya jeriji itu dibuka dan menyindir pemilik unit terbabit dengan mengatakan tinggal di flat, tetapi mempunyai selera kondominium.

Selain itu, terdapat juga penduduk yang menambah binaan dan struktur pada bahagian belakang flat terutama kediaman di tingkat bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 7:00 AM