KEDIAMAN mewah 50 tingkat di Zon 1 KLCC dengan pengalaman lima bintang serta perkhidmatan luar biasa.
KEDIAMAN mewah 50 tingkat di Zon 1 KLCC dengan pengalaman lima bintang serta perkhidmatan luar biasa.
Nurul Husna Mahmud


I-Berhad bekerjasama dengan rangkaian hotel terbesar di dunia, Wyndham Hotels & Resorts untuk menguruskan kondominium mewah bernilai RM820 juta GDV di Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Melalui kerjasama ini, kediaman mewah 50 tingkat di Zon 1 KLCC kini dikenali sebagai Wyndham Suites KLCC.

Menurut Pengerusinya Tan Sri Lim Kim Hong, kerjasama strategik ini bukan sekadar menjanjikan gaya hidup mewah kepada pelabur hartanah, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk memiliki sebahagian dari warisan Wyndham yang sering dikaitkan dengan pengalaman lima bintang serta perkhidmatan luar biasa.

Wyndham terkenal dengan kualiti dan perkhidmatannya dengan portfolio global melebihi 9,000 hotel yang memastikan keselesaan bertaraf dunia.

Beroperasi di 95 negara, program kesetiaan Wyndham Rewardsnya memiliki lebih daripada 100 juta ahli, memberikan akses kepada pelanggan global yang pelbagai.

Lim berkata, I-Berhad mengambil satu lagi langkah untuk maju ke hadapan dan pihaknya sangat gembira untuk bergabung dengan Wyndham Hotels & Resorts bagi mengubah Wyndham Suites KLCC.

SUITE yang selesa.
SUITE yang selesa.

"Ini bukan sahaja dapat meningkatkan reputasi dan 'kebolehlihatan' jenama Kumpulan I-Berhad secara keseluruhan, malah rangkaian global Wyndham juga akan menyediakan platform kukuh bagi projek nilai pembangunan kasar (GDV) RM10 bilion kami di i-City Shah Alam untuk mendapatkan jejak-kaki antarabangsa," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Wyndham Suites KLCC akan menarik keluarga, golongan profesional dan pelancong dari seluruh dunia ke Kuala Lumpur melalui ekosistem Wyndham Rewards.

"Antara November tahun ini dan Januari tahun depan, i-City bakal menjalankan program 'One Shah Alam, One Destination' yang bertujuan memberi pengunjung pengalaman Shah Alam yang terbaik dalam satu destinasi tunggal.

"Dengan aktiviti bersama, kemasukan pengunjung ke Wyndham Suites KLCC secara semula jadi dapat disalurkan ke i-City di Shah Alam yang jaraknya hanya 30 minit perjalanan.

"Ini akan meninggalkan kesan positif terhadap sektor pelancongan Kuala Lumpur dan Selangor," kata Lim.

Beliau menambah bahawa ini juga meningkatkan prestij dan daya tarikan kepada pembangunan i-City, sekali gus meningkatkan nilai hartanah dan menarik pelanggan yang berdaya beli lebih tinggi serta dari seluruh pelosok dunia ke i-City.

KOLAM renang antara kemudahan disediakan.
KOLAM renang antara kemudahan disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 6:43 AM