Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pembukaan operasi i-City Finance Avenue membuka ruang ekonomi yang lebih luas sekali gus menarik ramai pelancong untuk berkunjung ke kawasan segi tiga emas di negeri ini.

Ketua Pegawai Teknologi dan Pengarah Eksekutif i-City, Ricky Lim berkata, dengan keluasan 3.01 hektar, i-City Finance Avenue kini dilengkapi beberapa komponen termasuk perniagaan, rekreasi, runcit dan kediaman.

Menurutnya, nilai pelaburan bagi i-City Finance Avenue yang dibangunkan lapan tahun lalu itu berjumlah RM1.5 bilion.

"Dengan penempatan semula sebahagian ibu pejabat Maybank ke i-City pada April lalu, i-City mencapai 83 peratus kadar pengambilan bagi menara korporat pintar berkenaan yang dinamakan sebagai Mercu Maybank.

"Selain itu, i-City Finance Avenue dilengkapi Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC), Hill10 dan menara kediaman BeCentral serta pejabat premium dan signature retail suites yang disenaraikan untuk jualan.

"Semua komponen ini dijangka menarik kira-kira 10,000 golongan profesional ke i-City menjelang 2023," katanya dalam sidang media selepas majlis pembukaan i-City Finance Avenue yang disempurnakan oleh Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong di sini, semalam.

Ricky berkata, sebuah arca Charging Bull berukuran 10 kaki tinggi dan seberat 1,100 kilogram turut ditempatkan di tengah-tengah i-City Finance Avenue.

"Arca lembu jantan yang terletak antara DoubleTree by Hilton dan Mercu Maybank itu diinspirasi dari Wall Street di New York sebagai simbol universal bagi pasaran saham dan perniagaan.

"Ini akan menjadi simbol kekuatan i-City Finance Avenue dan meraikan kesungguhan pelanggan dalam menempuhi cabaran pada waktu baik dan sukar," katanya.

Beliau berkata, DoubleTree by Hilton i-City juga menjadi kekuatan i-City Finance Avenue dan menjadi nilai tambah kepada i-City Finance Avenue yang memaparkan visinya untuk menjadi pembangunan bercampur bersepadu dan destinasi pelancongan.

"Hotel berkenaan bakal dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj pada 11 Ogos depan.

"Hotel ini menawarkan hospitaliti kelas satu, kemudahan persidangan dan hidangan menarik untuk perkhidmatan kepada pengembara perniagaan dan senggang yang semakin ramai di kawasan Shah Alam.

"Bilik-bilik di hotel lima bintang ini juga sudah habis ditempah dalam dua minggu pertama pembukaannya pada Ogos," katanya.

Katanya, infrastruktur teknologi pintar i-City akan meningkatkan daya tarikan DoubleTree by Hilton, di mana pelanggan akan dapat menikmati inovasi teknologi terkini dengan lancar.

"DoubleTree by Hilton akan mendapat manfaat daripada rancangan kami untuk membina Bandar Pintar AI Generasi Akan Datang, yang akan menjadikan i-City antara bandar paling cekap, lestari dan makmur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 6:20 AM
PENGERUSI  I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong (kanan) diiringi Ricky  (dua dari kanan) merasmikan pembukaan hotel antarabangsa lima bintang DoubleTree by Hilton di i-City Finance Avenue Shah Alam. - Gambar NSTP/FAIZ ANUAR
PENGERUSI I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong (kanan) diiringi Ricky (dua dari kanan) merasmikan pembukaan hotel antarabangsa lima bintang DoubleTree by Hilton di i-City Finance Avenue Shah Alam. - Gambar NSTP/FAIZ ANUAR