Muhamaad Razis Ismail


MENGIKUT perancangan awal, pasangan suami isteri ini ingin membina sendiri kediaman pertama mereka.

Apatah lagi, si suami Muhamad Nazawi Sa'don, 34, yang pernah bekerja sebagai pelukis pelan sebelum menceburi bidang perniagaan, sudah pasti memberi kelebihan untuk membina rumah idaman di atas tanah sendiri.

Namun, selepas mendapati harga tanah yang terlalu tinggi, Nur Afiza Mohammad, 33, dan suaminya terpaksa menangguhkan dahulu hasrat itu dengan membeli rumah pertama di Kota Seribong, Kota Bharu, Kelantan pada 2021.

Rumah teres dua tingkat berkeluasan 1,400 kaki persegi yang mempunyai empat bilik di lot hujung itu mula diduduki bersama empat cahaya mata mereka pada Disember 2021 selepas kerja-kerja pengubahsuaian selesai sepenuhnya.

Selepas lebih setahun tinggal di kediaman itu, ternyata pembelian kediaman berharga hampir RM400,000 itu sangat berbaloi kerana terletak di lokasi yang sangat strategik selain dilengkapi pelbagai kemudahan.

Nur Afiza berkata, dia mengetahui mengenai projek perumahan itu apabila sering melalui kawasan terbabit untuk ke Kota Bharu.

Katanya, selepas mengetahui projek kediaman itu siap sepenuhnya, dia bersama suami membuat keputusan untuk melihat rumah contoh dan kawasan perumahan.

NUR Afiza (kanan) bersama suaminya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NUR Afiza (kanan) bersama suaminya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Selain reka bentuk kediaman yang dapat memberi keselesaan kepada keluarga, antara perkara yang kami titik beratkan adalah memastikan kawasan perumahan itu bebas daripada banjir yang biasa melanda negeri ini pada setiap kali musim tengkujuh.

"Oleh kerana kawasan ini mempunyai sejarah pernah dinaiki air dalam tragedi bah kuning 2014, kami perlu lebih teliti untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

"Selepas membuat sedikit kajian, saya bersetuju untuk membeli kediaman itu apabila mendapati pemaju sudah mengambil langkah pencegahan awal termasuk meninggikan kawasan perumahan dan membina longkang b

esar yang mampu menampung jumlah air banyak pada satu-satu masa," katanya.

Selain itu, dia tertarik dengan kemudahan yang disediakan di kawasan perumahan itu termasuk pondok pengawal, taman permainan dan sebagainya.

Jelasnya, lokasi yang berada di kawasan yang berhampiran dengan kemudahan termasuk sekolah, kedai runcit, stesen minyak, pasar raya dan sebagainya menjadi antara daya penarik dia membeli kediaman itu.

"Untuk ke bandar Kota Bharu hanya mengambil masa selama 15 minit. Jika ingin merasakan pengalaman seperti pelancong, kami boleh ke Wakaf Che Yeh yang terletak hanya satu kilometer dari kediaman.

"Malah kami juga dapat menikmati tempias pembangunan bandar baharu Tunjong yang sedang rancak berjalan sekali gus menjadikan kediaman ini sebagai aset pelaburan yang menguntungkan pada masa hadapan," katanya.

Tambahnya, tidak dinafikan pengurusan kewangan amat penting untuk memiliki kediaman.

RUANG tamu yang luas untuk keselesaan keluarga bersantai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RUANG tamu yang luas untuk keselesaan keluarga bersantai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Sejak bekerja dan terbabit dalam bidang perniagaan, saya sudah mempunyai kesedaran untuk membuat simpanan khas untuk memiliki kediaman sendiri.

"Menerusi simpanan itu, saya jadikan deposit dan membuat pengubahsuaian kediaman. Pada masa sama, saya turut memanfaatkan peluang diberikan kerajaan untuk membuat pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika negara dilanda Covid-19 untuk menampung kos pengubahsuaian rumah," katanya.

Nur Afiza berkata, pada mulanya, dia agak takut untuk membeli rumah kerana bimbang komitmen bulanan yang tinggi untuk satu tempoh lama.

"Namun saya lawan perasaan itu dengan sentiasa percaya kepada usaha dan rezeki.

"Rumah yang dibeli ini menjadi batu loncatan kepada saya dan suami untuk berusaha lebih gigih untuk mengembangkan perniagaan kepada peringkat tertinggi," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Nur Afiza masih menyimpan hasrat ingin membeli tanah dan membina rumah idamannya.

TAMAN permainan untuk aktiviti riadah bersama keluarga. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAMAN permainan untuk aktiviti riadah bersama keluarga. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Insya-Allah, jika diberikan rezeki lebih dalam perniagaan, saya ingin membina sendiri rumah idaman.

Kediaman sedia ada ini saya boleh jadikan sebagai rumah sewa atau rumah inap untuk menjana pendapatan sampingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 7:00 AM