PESERTA Expedisi Upside Down Bonda Mandi di Gunung Jerai, Kedah ketika melakukan abseiling menuruni dinding batu air terjun setinggi 60 meter yang juga paling tinggi di utara.
PESERTA Expedisi Upside Down Bonda Mandi di Gunung Jerai, Kedah ketika melakukan abseiling menuruni dinding batu air terjun setinggi 60 meter yang juga paling tinggi di utara.
Zuhainy Zulkiffli


MENURUNI Gunung Jerai, Kedah menerusi laluan rintis, berkhemah dan melakukan abseiling di air terjun pada ketinggian 60 meter menjadi pengalaman baharu kepada peserta Expedisi Upside Down Bonda Mandi.

Ekspedisi yang diadakan selama dua hari itu bukan sahaja menguji kekuatan mental dan fizikal, malah menduga adrenalin 28 pesertanya.

Penyertaan penulis kali ini bukan sahaja mahu merasai pengalaman rintis tetapi tertarik dengan tawaran abseiling air terjun berkenaan yang belum pernah diteroka pendaki lain.

Ia berikutan laluan dan kawasan air terjun yang licin berkenaan hanya dikhas bagi aktiviti anjuran Persatuan Sukan Mendaki Negeri Kedah (HACCK) sahaja dan kumpulan peserta terbabit adalah yang pertama melaluinya.

Ekspedisi bermula dari pekarangan Air Terjun Seri Perigi ke puncak Gunung Jerai dengan menaiki van sebelum menuruni kawasan hutan menerusi Tangga Kenari selama 30 minit.

Peserta kemudian menuruni gunung tertinggi di Kedah itu menerusi laluan hutan kira-kira dua jam perjalanan sebelum tiba ke beberapa kawasan air terjun.

Berikutan keadaan hujan lebat, tapak perkhemahan dibuka berhampiran kawasan air terjun Bonda Mandi sebelum cuaca bertukar gelap.

Cuaca yang baik pada hari kedua sesuai bagi menjalankan abseiling dan difahamkan bahawa batuan setinggi 60 meter air terjun itu antara yang tertinggi di utara bagi aktiviti berkenaan.

Penulis pernah beberapa kali mencuba aktiviti terbabit, namun hanya pada ketinggian tidak melebihi 30 meter dan sudah tentu pelbagai perasaan muncul ketika tergantung di ketinggian itu pada sudut 90 darjah.

PRESIDEN Persatuan Sukan Mendaki Negeri Kedah
PRESIDEN Persatuan Sukan Mendaki Negeri Kedah

Setiap langkah perlu disusun dengan berhati-hati selain memastikan tali dan kelengkapan berada dalam keadaan baik serta selamat.

Perasaan gementar hilang sebaik melihat keindahan sebahagian negeri jelapang padi itu dengan pemandangan sawah padi menghijau dan laut membiru.

Manakala di sisi kiri penulis dapat dilihat dengan jelas pelangi kecil menerusi titisan air terjun sangat indah dan bunyi deruannya yang mendamaikan.

Sukar diungkapkan dengan kata-kata kepuasan ketika berjaya melengkapkan cabaran ekspedisi itu dan sudah tentu penulis akan mencuba lagi aktiviti berkenaan di tempat lain pula bagi merasai pengalaman yang berbeza.

Bagi mengakhiri ekspedisi itu, peserta perlu menuruni kawasan hutan selama tiga jam untuk ke kawasan air terjun Seri Perigi sebelum bersurai.

PESERTA Expedisi Upside Down Bonda Mandi di Gunung Jerai, Kedah ketika melakukan pemeriksaan akhir sebelum melakukan abseiling
PESERTA Expedisi Upside Down Bonda Mandi di Gunung Jerai, Kedah ketika melakukan pemeriksaan akhir sebelum melakukan abseiling

Presiden HACCK yang juga dari kumpulan Palaperang, Nazrilazdin Jamaludin berkata, aktiviti itu dipantau kru bertauliah dan berlesen yang memberi tumpuan kepada akti

viti rintis selain mencipta kelainan pada setiap program.

Katanya, laluan rintis menuruni Gunung Jerai bagi ke kawasan Air Terjun Bonda Mandi pernah dilalui kira-kira 20 tahun lalu oleh seorang daripada kru HACCK.

"Kedudukannya ialah di pertengahan gunung dan berikutan kesesuaiannya, kami memohon kebenaran serta permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bagi menganjurkan aktiviti ini.

KEINDAHAN hutan di Gunung Jerai,Kedah, ketika dilitupi kabus tebal.
KEINDAHAN hutan di Gunung Jerai,Kedah, ketika dilitupi kabus tebal.

"Kami mengambil sedikit masa bagi melakukan pemantauan lokasi sebelum ia dianjurkan kerana menekankan aspek keselamatan peserta," katanya lagi.

Menurut Nazrilazdin, pihaknya giat menjalankan aktiviti sukan lasak dan mendaki sebagai produk pelancongan sukan di Kedah.

Ia bukan sahaja bagi memenuhi permintaan peserta, malah mampu membawa pengunjung ke negeri terbabit dengan memperkenalkan pakej lain yang berkaitan.

KEPUASAN jelas di wajah peserta Expedisi Upside Down Bonda Mandi di Gunung Jerai,Kedah selepas melakukan abseiling menuruni dinding batu air terjun setinggi 60 meter.
KEPUASAN jelas di wajah peserta Expedisi Upside Down Bonda Mandi di Gunung Jerai,Kedah selepas melakukan abseiling menuruni dinding batu air terjun setinggi 60 meter.

"Aktiviti seperti ini mempunyai peminatnya yang tersendiri dan diharap operator sukan lain juga mengambil peluang berkenaan sebaiknya," katanya lagi.

Sementara itu, peserta Iskandar Abdullah, 37, berkata, dia menyertai aktiviti itu bagi memenuhi kepuasan dan mencari peluang dalam kerjayanya sebagai pemandu pelancong.

Katanya, dia aktif mempromosikan sukan lasak termasuk aktiviti perkhemahan dan mendaki di negara ini menerusi media sosial.

"Secara tidak langsung aktiviti ini dapat dipraktikkan di Selangor dan boleh menjalinkan kerjasama dengan operator sukan di sana.

"Saya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai di Selangor selain merancang mahu mewujudkan beberapa pakej baharu.

SEBAHAGIAN 28 peserta yang berjaya menempuh cabaran Expedisi Upside Down Bonda Mandi di Gunung Jerai, Kedah.
SEBAHAGIAN 28 peserta yang berjaya menempuh cabaran Expedisi Upside Down Bonda Mandi di Gunung Jerai, Kedah.

"Ada pengalaman lucu ketika mengikuti program, berikutan khemah yang dibawa tertinggal di dalam kereta, saya hanya tidur beralaskan kanvas ketika hujan lebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 7:00 AM