RANGE Rover Sports Serba Baharu.
RANGE Rover Sports Serba Baharu.
 RUANG kargo luas.
RUANG kargo luas.
Lizam Ridzuan


SEJAK diperkenalkan pada 2005, kenderaan utiliti sukan (SUV) Range Rover Sport hadir dengan prestasi dan kemewahan dengan rekaan elegan.

Kini menerusi generasi ke-3, ia dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan varian Dynamic yang ditawarkan pada harga bermula RM1.69 juta.

Range Rover Sports Serba Baharu tampil dengan rekaan lebih segar namun kekal gaya mewah terutama rekaan bahagian hadapan gril terkini dan lampu digital LED rekaan baharu lebih nipis dan cerah.

Ia juga dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL), lampu belakang LED dan antena sirip jerung berkembar yang memuatkan kamera pandang belakang (ClearSight).

Jentera ini dipadankan dengan rim bersaiz 22 inci rona kelabu gelap satin, tingkap dan pemegang pintu rata serta tangga sisi yang tersembunyi menjadikan ia tampil dalam kelas tersendiri.

Model ini juga dengan ruang kabin yang diberi sentuhan baharu terutama pada bahagian papan pemuka dengan ciri Pivi Pro menerusi sistem infotainmen bersaiz 13.1 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto yang lebih mudah dikendalikan hanya dengan dua sentuhan.

Juga untuk pemandu dengan kluster meter interaktif bersaiz 13.7 inci serta tambahan 'Head-Up Display' bagi lebih fokus pada pemanduan dan kerusi tempat duduk selesa dengan 20 ketetapan larasan, kerusi penumpang belakang boleh laras, sistem pendingin hawa empat zon dan sistem penapis udara berkualiti tinggi antara yang tersedia.

Untuk enjin ia dijana dengan 3.0 liter pengecas turbo MHEV (mild hibrid) 48V menawarkan kuasa 400PS pada 5,500 rpm dan 6,500 rpm serta tork 550Nm pada 2,000 hingga 5,000 rpm yang dipadankan transmisi ZF 8 kelajuan automatik.

PINTU belakang elektrik dengan spoiler atas bergaya.
PINTU belakang elektrik dengan spoiler atas bergaya.

Selain itu ia yang pertama diperkenalkan dengan Suspensi Udara Dinamik akan berfungsi mengikut kesesuaian permukaan jalan bagi kestabilan dan keselesaan pada pemanduan.

Sistem Pelayaran Off-Road juga yang julung kali ditawarkan pada Range Rover bagi kemudahan kepada pemandu mengendalikan SUV ini ketika melalui laluan lasak.

Dimensi model ini turut bertambah pada saiz dengan panjang sebanyak 95 milimeter (mm) kepada 4,946mm dan jarak roda +73mm (2,997mm) serta lebih tinggi +17mm (1,820mm) daripada model terdahulu.

Ia kini dibangunkan menerusi platform Seni Bina Longtitud Modular (MLA-Flex) menawarkan ciri lebih kukuh sebanyak 35 peratus.

PAPAN pemuka sentuhan gaya baharu.
PAPAN pemuka sentuhan gaya baharu.

Model ini juga dengan tangki bahan api petrol 90 liter serta kelajuan maksimum 242 kilometer/sejam (km/j) dan mampu mengharungi air pada kedalaman 900 mm.

Elemen keselamatan dengan enam beg keselamatan, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Kawalan Menurun Bukit (HDC), Stereng Bantuan Kuasa Elektrik (EPAS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Pelayaran Adaptif dengan Bantuan Stereng.

Sesuai dengan ciri aktif Range Rover Sport ini dengan ketinggian jarak jalan 216 mm (standard) dan 280 mm (Off-road), dan kapasiti kargo sehingga 1,491 liter jika tempat duduk penumpang dijatuhkan.

Untuk kemudahan tambahan ia juga dengan pintu kargo boleh dibuka menerusi kuasa elektrik dan pergerak kaki, kemasukan tanpa kunci dan tayar simpanan bersaiz penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 6:40 AM