SUZUKI Jimny Baharu serlah SUV kompak ciri ranggi.
SUZUKI Jimny Baharu serlah SUV kompak ciri ranggi.
HM Digital

KELIBAT Suzuki Jimny bukan baru di negara ini, malah ia sudah mula menjalar sejak 70-an terutama bagi mereka yang mempunyai ladang atau yang bekerja dengan suasana alam.

Zaman berubah dengan pengenalan generasi ke-4 sejak 2018 dan untuk pasaran di negara ini, ia diedar Naza Eastern Motors Sdn Bhd.

Vroom berpeluang memandu uji model itu baru-baru ini dan ia adalah unit import sepenuhnya (CBU) dari Jepun yang mula ditawarkan di pasaran Malaysia sejak September tahun lalu.

Melihat kepada rekaan model ini, ia masih mengekalkan DNA asalnya dengan saiz yang kompak dan rekaan yang 'petak'.

Semuanya memperlihatkan ia sebagai SUV lasak, namun 'ideal' di tengah kota.

Elemen moden dan vintaj dengan ciri lampu hadapan bulat LED dilengkapi pembasuh, gril dan logo Suzuki, dapra pada bahagian sisi setiap 'wheel arch' menyerlahkan lagi gaya lasaknya.

Ia juga datang dengan padanan rim aloi bersaiz 15 inci.

Dengan berat 1,095 kilogram (kg), model ini agak ringan, namun mampu merentasi laluan lasak serta menawarkan penggunaan bahan api efisien.

Elemen klasiknya juga tetap kekal seperti pintu belakang bukaan tepi dengan tayar simpanan bersaiz penuh terletak pada pintu.

ELEMEN vintaj dengan tayar simpanan pada pintu belakang.
ELEMEN vintaj dengan tayar simpanan pada pintu belakang.

Melihat ke ruang dalaman model tiga pintu ini, meskipun kompak namun masih selesa untuk empat penumpang.

Pada bahagian papan pemuka, ia menyerlah dengan gaya vintaj termasuk bantuan pemegang 'ride-in' pada penumpang hadapan.

Ia juga dilengkapi sistem infotainment bersaiz tujuh inci dengan skrin sesentuh dan boleh disambungkan kepada aplikasi Apple CarPlay.

Pada bahagian konsol tengah, terdapat tuil gear dan gear tambahan untuk fungsi pacuan empat roda (4WD) separuh masa (4x4 Allgrip Pro) serta brek tangan.

Suzuki Jimny ini didatangkan dengan enjin 1,462cc VVT 4 silinder aspirasi semula jadi (N/A) petrol yang menjana 100 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm dan tork 130Nm pada 4,000 rpm.

Ia didatangkan dengan transmisi kotak gear empat kelajuan dan pada pandangan penulis, ia bukan dibina untuk kelajuan, tetapi lebih kepada mobiliti selesa di jalan raya.

Di laluan tidak berturap, Suzuki Jimny ini cukup bertenaga dan lincah, namun perlu berhati-hati kerana saiznya yang kompak serta ringan.

Ia didatangkan suspensi '3-link rigid axle' dengan spring coil untuk pengendalian lebih baik dan tahan lasak serta kerangka 'ladder' untuk lebih teguh.

Menerusi sistem 4WD separuh masa, gear pemindahan jarak rendah menambah keupayaan tenaga jentera sekiranya tersekat pada laluan tidak rata atau berlumpur.

RUANG kabin warisan Jimny.
RUANG kabin warisan Jimny.

RODA stereng dan rekaan meter vintaj.
RODA stereng dan rekaan meter vintaj.

KERUSI belakang selesa.
KERUSI belakang selesa.

Suzuki Jimny juga dilengkapi ciri keselamatan seperti Program Kestabilan Elektronik (ESP) bagi ketepatan melalui selekoh, dua beg keselamatan SRS serta Sistem Brek Anti Kunci (ABS).

Secara keseluruhan, Suzuki Jimny adalah SUV kompak yang mempunyai peminat tersendiri yang mahukan jentera tampil berbeza dan ranggi.

Sesuai bagi kegunaan seharian, di tengah kota atau ingin mencuba laluan lasak pada hujung minggu, keupayaannya bukan biasa-biasa.

Cuma model ini tidak terlalu dilimpahi dengan teknologi terkini dan ciri asasnya amat memadai kepada yang berminat dengan jentera sebegini.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Kuning Kinetic, Hitam Mutiara Bluish 3, Hijau Jungle dan Kelabu Medium.

Suzuki Jimny Baharu dijual pada harga RM174,900 (atas jalan tanpa insurans) dan sudah pasti produk ini bukan untuk semua, namun lebih tertumpu kepada golongan sasarnya.

Begitu pun, model ini sering kali habis dijual setiap kali ditawarkan ke pasaran tempatan.

SPESIFIKASI

SUZUKI JIMNY BAHARU

Enjin: 1.5L VVT 4 silinder aspirasi semula jadi

Kuasa maksimum: 100 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm

Tork maksimum: 130Nm pada 4,000 rpm

Transmisi: Empat kelajuan automatik

Kapasiti tangki petrol: 40 liter

Ciri keselamatan: Program Kestabilan Elektronik (ESP) bagi ketepatan melalui selekoh, dua beg keselamatan SRS, Kawalan Kekal Bukit, Kawalan Menuruni Bukit dan Sistem Brek Anti Kunci (ABS)

Harga: RM174,900 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 7:01 AM