Lizam Ridzuan

Walaupun kompak dan tampil 'comel', jangan pandang rendah keupayaannya kerana ia direka sebagai jentera ciri prestasi.

Itulah Suzuki Swift Sport yang kembali diperkenalkan ke pasaran tempatan tahun lalu di bawah edaran syarikat baharu, Naza Eastern Motor.

Vroom berpeluang memandu uji model hot-hatch import sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini dan ternyata prestasinya sangat mantap.

SWIFT Sport hot-hatch turbo.
SWIFT Sport hot-hatch turbo.

Melihat kepada rekaan luaran generasi ketiga Swift ini, ia masih mengekalkan DNA asalnya sebagai kompak segmen-B namun ditambah baik pada beberapa kemasan.

Ia boleh dilihat terutamanya pada bahagian gril hadapan yang lebih besar bercorak 'sarang lebah' dengan kemasan elemen gentian karbon pada bahagian bawah bampar, sisi dan belakang.

Ia juga dilengkapi lampu hadapan projektor LED serta lampu nyalaan siang (DRL).

Pada bahagian sisi, ia diserlahkan dengan pembuka pintu belakang 'terlindung' yang seakan bersepadu dengan tiang-C.

 CIRI sporty pada belakang.
CIRI sporty pada belakang.

Bahagian belakangnya dilengkapi logo Swift Sport, lampu LED, pintu but dengan spoiler dan dwi-ekzos serta elemen gentian karbon pada bawah bampar.

Ia dipadankan rim aloi 16 inci Polished.

Menjengah ke dalam kabin, rekaan papan pemukanya ringkas namun diberi sentuhan prestasi dengan kemasan merah dan hitam .

Roda stereng 'flat bottom' dengan butang fungsi telefon, pelayaran, audio serta penukar gear tangan menambah seri model ini.

PANEL meter analog dan digital.
PANEL meter analog dan digital.

Ia juga dipasang dengan sistem infotainmen bersaiz tujuh inci dengan keterhubungan Apple CarPlay, fungsi pengecaman suara, Bluetooth, enam pembesar suara serta paparan kamera undur.

Panel meter pula gabungan analog dengan bahagian tengah maklumat multimedia digital untuk pemandu.

Ia memaparkan kedudukan suhu, gear, penggunaan bahan api, jarak pemanduan, kuasa hp/Nm, meter G-force, tolok turbo dan suhu minyak.

KEKAL DNA asal.
KEKAL DNA asal.

Selain tampak sporty, sudah pasti paling utama ialah prestasi enjin petrol 1,373cc Boosterjet pengecas turbo yang menjana 140 kuasa kuda (hp) pada 5,500 rpm dan tork 230Nm pada 2,500 hingga 3,500 rpm.

Menerusi transmisi enam kelajuan automatik, ia bukan sahaja menjadikan tukaran gear lancar .

Penulis juga sentiasa dapat merasakan enjinnya seakan-akan menunggu masa untuk menghemburkan limpahan kuasa sebaik pedal kelajuan ditekan.

ENJIN 1.4 liter pengecas turbo.
ENJIN 1.4 liter pengecas turbo.

Ia juga sentiasa responsif pada pelbagai kelajuan. Kelajuan maksimumnya pula sehingga 205 kilometer/sejam (km/j) dan mampu memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh lapan saat.

Melalui platform generasi baharu Heartect, ia bukan sahaja lebih teguh dan selamat malah memberikan pengendalian yang tepat dan mantap.

KABIN ciri prestasi.
KABIN ciri prestasi.

Ia juga didatangkan dengan enam beg keselamatan SRS, Program Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Bantuan Brek Kecemasan (EBA) juga Pengagihan Brek Elektronik (EBD).

Secara keseluruhan, Suzuki Swift Sport ini adalah model hot-hatch ikonik Jepun yang khusus buat peminat tegar kenderaan prestasi.

Rekaan luaran dan kabin gaya sporty dengan padanan enjin pengecas turbo diibaratkan sebagai pakej yang menarik.

Selain dengan ciri keselamatan terbaik dengan kerangka teguh, ruang dalaman gaya fleksibel untuk kemudahan tambahan, termasuk pintu belakang bukaan elektromagnetik.

Sebagai model prestasi, dengan tangki bahan api 37 liter, ia mampu menjangkau jarak sehingga 420km, bergantung kepada corak pemanduan.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Kuning Champion, Biru Speedy Metalik, Putih Pearl Pure dan Merah Burning Metalik.

KERUSI belakang fleksibel.
KERUSI belakang fleksibel.

Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Swift Sport dijual pada harga RM139,900 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama tiga tahun atau 100,000km, yang mana lebih dahulu.

SUZUKI Swift Sport gaya kompak ciri prestasi.
SUZUKI Swift Sport gaya kompak ciri prestasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 6:20 AM