HYUNDAI Elantra Serba Baharu dilancarkan untuk pasaran Malaysia.
HYUNDAI Elantra Serba Baharu dilancarkan untuk pasaran Malaysia.
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Hyundai-Sime Darby Motors sebagai pengedar rasmi kenderaan jenama Hyundai di negara ini memperkenalkan model Elantra Serba Baharu generasi ketujuh ke pasaran tempatan.

Pengarah Urusannya Low Yuan Lung berkata, selain tampil dengan rekaan futuristik serta radikal, ia juga hadir dengan platform K3 generasi ketiga dan trenkuasa baharu dengan Transmisi Boleh Ubah Pintar (IVT) dan enjin G1.6 Smartstream.

"Model Elantra Serba Baharu ini sebagai 'game changer' dalam pasaran kenderaan segmen-C di negara ini yang didatangkan dengan rekaan luaran gaya sporty elegant seakan potongan berlian serta kabin dipenuhi pelbagai ciri berteknologi tinggi," katanya.

Untuk enjin, ia dijana dengan 1,598 cc menjana kuasa 123PS pada 6,300 rpm dan tork 154Nm pada 4,500 rpm dengan transmisi lapan kelajuan IVT yang dilengkapi empat mod pemanduan.

Ciri keselamatan pula ia didatangkan dengan enam beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Bantuan Brek (BAS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) serta Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM).

Hyundai SmartSense pula dengan Bantuan Mengelak Perlanggaran Hadapan (FCA), Bantuan Mengelak Perlanggaran Titik Buta (BCA), Kawalan Pelayaran Pintar (SCC) dan Bantuan Mengelak-Perlanggaran Trafik Melintas Belakang (RCCA).

Ruang dalaman umpama memasuki kabin pesawat terutama untuk ruang pemandu termasuk paparan meter TFT Supervision bersaiz 10.25 inci dan sistem infotainment paparan sesentuh bersaiz lapan inci 'terapung' menambah ciri moden.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu putih polar, kelabu Amazon, electric shadow dan Intense Blue dengan dua pilihan warna ruang dalaman iaitu hitam dan kelabu dua tona.

Untuk pasaran Malaysia, Hyundai Elantra Serba Baharu dengan satu varian adalah import sepenuhnya (CBU) dari Korea dijual pada harga RM158,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan pengeluar atau 300,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

HYUNDAI Elantra Serba Baharu dilancarkan untuk pasaran Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 5:30 PM