GAYA SUV kompak ranggi.
GAYA SUV kompak ranggi.
Lizam Ridzuan


HYUNDAI Kona yang tampil menarik dengan rekaan gaya terkini menjadikannya ada 'kelas' tersendiri segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak di Malaysia.

Model yang dipertingkatkan itu ditawarkan menerusi dua varian iaitu 2.0 dan 2.0 Active. Ia hanya dibezakan daripada segi kemasan luaran dan dalaman.

Kedua-duanya didatangkan dengan enjin 1,999 cc Smartstream G2.0 Atkinson yang menjana 149PS pada 6,200rpm dan tork 180Nm pada 4,500rpm.

Selain transmisi IVT pacuan dua roda, ia datang dengan empat mod pemanduan iaitu normal, eco, sport, smart dan tiga mod cengkaman untuk permukaan jalan membabitkan snow, mud serta sand.

Antara ciri baharu yang diperkemaskan ialah gril hadapannya bercorak 'Cascading', lampu utama dwi-LED, lampu belakang kombinasi LED, lampu nyalaan siang (DRL) dan cermin sisi dengan fungsi pemanasan untuk varian Active.

Untuk tampil sepadan, ia juga datang dengan rim aloi 18 inci dan untuk varian 2.0, rimnya bersaiz 17 inci.

KONA 2021 dengan pilihan warna ‘Dive in Jeju’.
KONA 2021 dengan pilihan warna ‘Dive in Jeju’.

PAPAN pemuka dengan meter digital penuh.
PAPAN pemuka dengan meter digital penuh.

RUANG kabin kerusi kulit ‘Beige’.
RUANG kabin kerusi kulit ‘Beige’.

Bahagian kabin juga dibezakan daripada segi varian membabitkan kemasan tempat duduk fabrik (2.0) atau kulit. Untuk varian Active, ia datang dengan pilihan hitam atau warna Beige.

Ia juga lengkap dengan ciri sistem infotainmen skrin sesentuh LCD bersaiz 8 inci dengan fungsi ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Paparan meter pemandu pula bersaiz 10.25 inci digital penuh dengan paparan Head-up (HUD).

Selain itu, ia dilengkapi penyaman udara zon tunggal dengan kawalan suhu automatik penuh.

Ciri keselamatannya pula antaranya membabitkan enam beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Pengagihan Brek Elektronik (EBD).

Ruang but pula seluas 361 liter. Uutuk ciri lebih praktikal, kerusi belakang boleh direbah dengan nisbah 60:40.

Ciri tambahan seperti Hyundai SmartSense hanya untuk varian Active dengan Bantuan Mengelak-Perlanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Mengelak Perlanggaran Trafik Melintas Belakang (RCCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Mengikut Laluan (LFA) dan Bantuan Mengelak Perlanggaran Hadapan (FCA).

Model 2.0 liter ditawarkan dengan empat pilihan warna dan lima untuk 2.0 Active.

Untuk pasaran Malaysia, Hyundai Kona Baharu ini dijual pada harga RM119,888 (2.0) dan RM136,888 (Active) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 300,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 6:38 AM