Sofyan Rizal Ishak

Dewan Perdagangan Foochow Malaysia menganjurkan acara jelajah ‘Amazing Trip with Proton X70’ ke China baru-baru ini, bertujuan menguji daya tahan dan prestasi kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama negara.

Pengembaraan bermula dari Shah Alam, Selangor menuju Hangzhou, China menyaksikan 10 pemilik Proton X70 melakukan perjalanan merentasi empat negara iaitu Malaysia, Thailand, Laos dan China sebelum pulang semula ke Malaysia.

Hangzhou adalah bandar dalam daerah Zhejiang. Destinasi itu dipilih kerana bandar itu adalah kampung halaman bagi rakan kongsi Proton iaitu Geely.

Pengarah Acara, Dr Ling Tung King berkata, acara itu turut mempromosikan pelancongan Sarawak memandangkan aktiviti itu disokong Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

“Paling penting, perjalanan kami dari Malaysia ke Hangzhou amat mengagumkan kerana bukan sekadar menguji kenderaan malah cara kami menikmati pemanduan sambil menghayati pemandangan sepanjang perjalanan,” katanya pada media ketika sesi lawatan peserta jelajah itu ke Pusat Pengalaman Geely.

PROTON X70 melalui pintu gerbang di Yunnan, China.
PROTON X70 melalui pintu gerbang di Yunnan, China.

Acara Amazing Trip with Proton X70 anjuran dewan perniagaan itu bersama Automobile Leisure Touring Team yang mempromosikan penjelajahan santai ke luar negara dan turut disokong oleh Proton dan Geely.

Ia menyaksikan 33 peserta acara termasuk pemilik Proton X70 melakukan perjalanan sejauh kira-kira 7,000 kilometer dan melalui 13 bandar sepanjang perjalanan dari Malaysia sebelum tiba ke Hangzhou.

Dr Ling berkata, perjalanan itu berjalan lancar dan disifatkan amat selesa oleh pemilik Proton X70 dan peserta yang kebanyakannya julung kali menyertai acara seumpama itu.

“Mereka berpuas hati dengan prestasi, daya tahan dan keselesaan kenderaan terbabit dengan purata perjalanan paling jauh adalah sekitar 750 kilometer sehari,” katanya.

PESERTA mendengar penerangan di Pusat Pengalaman Geely di Hangzhou, China.
PESERTA mendengar penerangan di Pusat Pengalaman Geely di Hangzhou, China.

Acara yang bermula dari Subang Jaya itu melalui empat bandar di Thailand dalam tempoh lima hari sebelum memasuki bandar Mengla di China pada hari keenam.

Ia kemudian melalui 10 bandar di China dan tiba ke Hangzhou pada hari ke-18.

Sepanjang perjalanan, peserta bukan saja menikmati pemandangan malah melawat pelbagai lokasi menarik seperti di Puer, Huangguosh, Wuyuan dan Huangshan.

Acara itu berjaya membuktikan Proton X70 berbaloi untuk dimiliki berdasarkan daya tahan, prestasi dan kemudahan yang ditawarkan kenderaan itu dalam tempoh 18 hari perjalanan dari Malaysia ke Hangzhou.

LING (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Naib Presiden Hubungan Awam Geely, Victor Young (dua kanan) sambil ditemani peserta jelajah yang lain.
LING (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Naib Presiden Hubungan Awam Geely, Victor Young (dua kanan) sambil ditemani peserta jelajah yang lain.

Sebaik tiba di Hangzhou, peserta jelajah dibawa melawat Pusat Pengalaman Geely bagi memberi lebih maklumat mengenai perjalanan Geely dalam menjadi sebuah syarikat automotif yang berkembang pantas.

Amazing Trip with Proton X70 bermula pada 26 Februari lalu dengan acara pelepasan di Pusat Kecemerlangan Proton Shah Alam.

Peserta tiba ke Malaysia pada 30 Mac lalu dengan jarak perjalanan keseluruhan kira-kira 13,000 kilometer.

(Penulis membuat liputan ke Hangzhou China, baru-baru ini)

PESERTA merakam gambar kenangan di ibu pejabat Geely Auto di Hangzhou, China.
PESERTA merakam gambar kenangan di ibu pejabat Geely Auto di Hangzhou, China.

Sesiapa yang berminat untuk menyiarkan mengenai kelab permotoran anda sila e-mel ke: [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 7:00 AM