KOTAK hitam yang diselamatkan dari tapak nahas.
KOTAK hitam yang diselamatkan dari tapak nahas.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Andai dalam tempoh seminggu tiada perkhabaran daripada Abi, anggaplah Abi sudah tiada lagi." demikian mesej 'terakhir' dihantar bekas anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sarjan Rosli Mustafa kepada isterinya sebelum menyertai misi rundingan tragedi MH17 kira-kira 10 tahun lalu.

Rosli, 42, adalah antara 12 anggota pasukan yang dikenali sebagai The Dozen Person yang menggalas tanggungjawab membawa keluar kotak hitam, perakam suara dan 298 jenazah mangsa tragedi pesawat malang berkenaan pada 22 Julai 2014.

Menyifatkan sebagai 'misi berani mati' kerana masuk ke zon peperangan tanpa kelengkapan senjata dengan pergerakan dikawal ketat oleh Kumpulan Pemisah Donestk (DSG), dia tekad pertaruhkan nyawa demi melindungi kumpulannya.

Biarpun nyawa jadi taruhan, misi berat itu berjaya diselesaikan kumpulan terbabit seterusnya mengakhiri penantian waris semua anak kapal dan penumpang pesawat malang berkenaan.

Mengimbau kembali misi pertamanya tanpa senjata, Rosli berkata, ia bermula apabila dia dipanggil ketua pasukan, Mejar Muhammad Mustafa Omar untuk menyertai taklimat yang diadakan di Kiev, Ukraine bagi melindungi kumpulan rundingan dengan pemimpin DSG, Alexander Borodai di Donestk.

"Sebaik menerima arahan itu, saya padam semua gambar dan maklumat di dalam telefon bimbit serta menghantar mesej kepada isteri. Saya buang kad sim itu tanpa menunggu maklum balas daripada isteri kerana tidak mahu mengganggu emosi dan fokus kepada misi.

"Dalam perjalanan bergerak ke Kharkiv yang mengambil masa enam jam dari Kiev dengan menaiki van, pasport kami dipegang oleh pemandu van yang juga rakyat tempatan.

ANGGOTA The Dozen Person yang ditugaskan membawa keluar kotak hitam, perakam suara dan
ANGGOTA The Dozen Person yang ditugaskan membawa keluar kotak hitam, perakam suara dan

"Sepanjang perjalanan pada bulan puasa itu, kami menempuh 10 'checkpoint' dan perlu menghadapi pelbagai kerenah serta pemeriksaan yang ketat sebelum selamat tiba di sebuah hotel di Kharkiv," katanya kepada Harian Metro.

Ketika menyambung semula perjalanan ke Donestk pada keesokan harinya, Rosli berkata, mereka sekali lagi melalui beberapa sekatan jalan raya dengan pergerakan diekori, malah mereka menempuh detik mengerikan apabila melihat serangan serta bedilan yang bertubi-tubi.

Katanya, kumpulannya selamat tiba di bangunan Pentadbiran Serantau Republik Rakyat Donestk yang menempatkan pejabat Borodai.

"Semasa proses rundingan tertutup, saya hanya dibenarkan menunggu di luar bilik yang dikawal ketat oleh pasukan tentera mereka yang lengkap bersenjata.

"Ketika dalam bangunan lebih 10 tingkat itu, masih boleh dengar bunyi tembakan dan letupan berhampiran. Dalam fikiran saya ketika itu mahu pastikan keselamatan kumpulan kami, jika apa-apa berlaku saya akan bertindak balas dan bertarung nyawa. Saya serahkan diri kepada Allah SWT," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur proses rundingan penyerahan kotak hitam dan kesemua mayat mangsa berjalan lancar meskipun berdepan pelbagai situasi tegang serta detik getir termasuk mendapat maklumat bahawa kotak hitam mahu dirampas pihak tertentu semasa perjalanan pulang menaiki kereta api bersama gerabak berisi mayat mangsa ke Kharkiv.

"Ia tugas yang sangat mencabar kerana tragedi berlaku di kawasan bergolak pada bulan Ramadan dan kami perlu berpuasa sehingga 19 jam. Saya tidak rasa lapar dan letih, cuma mahu selesaikan misi demi negara dan rakyat," katanya yang berpengalaman 21 tahun dalam TUDM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 11:02 AM