ANIS Syahira (dua dari kiri) bertemu ibu kandung, Zurida (tengah) selepas terpisah 29 tahun.
ANIS Syahira (dua dari kiri) bertemu ibu kandung, Zurida (tengah) selepas terpisah 29 tahun.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Melaka: Hampir tiga dekad terpisah dengan ibu kandung, impian Anis Syahira Abdullah menatap wajah dan memeluk wanita itu tercapai apabila mereka bertemu buat kali pertama di Jausseh, Negeri Sembilan, Ahad lalu.

Anis Syahira, 29, diserahkan ibu kandung, Zurida Alias, 45, kepada ibu bapa angkat, Norhamimah Mohd Yunoff, 72, dan Ismail Abdullah, 75, selepas dilahirkan kerana wanita itu dihimpit kesukaran ketika itu.

Berkongsi cerita, Anis Syahira berkata, ibu kandung dan ibu angkat adalah kenalan ketika menetap di Kajang, Selangor namun terputus hubungan selepas masing-masing berpindah apabila Norhamimah ke Perak manakala Zurida ke Juasseh.

Menurutnya, dia dijaga ibu dan bapa angkat dengan baik, malah dilayan seperti anak kandung serta mengakui dirinya hanya mengetahui statusnya ketika berusia 15 tahun.

"Saya tahu saya anak angkat selepas tengok surat beranak dan pelik kenapa nama mama (ibu angkat) tak sama dalam sijil itu sebelum mama dan ayah beritahu saya adalah anak angkat mereka. Saya sedih, tetapi bersyukur ada mama dan ayah.

"Apabila semakin dewasa saya memang terfikir mahu cari ibu bapa kandung, malah mama dan ayah juga tidak pernah melarang cuma ketika itu saya masih belum bersedia dan belum ada kekuatan cari mereka," katanya ketika dihubungi.

Katanya, selepas dia merantau ke Batu Berendam, di sini, dan usia semakin meningkat, dia terbuka hati mencari ibu kandung sebelum memulakan usaha pencarian minggu lalu.

"Allah SWT sangat memudahkan urusan saya dan ketika itu saya cuba kesan mak (ibu kandung) melalui nombor MyKadnya sebelum menemui alamat dan gambarnya. Itu kali pertama saya lihat wajah mak, selepas itu saya kongsikan di TikTok.

"Tak sangka ada saudara mak perasan video saya kemudian terus mesej berikan maklumat. Saya minta bantuan saudara mak itu untuk menemukan kami tanpa mak tahu," katanya.

Menurutnya, ibu bapa angkatnya mengetahui dia sudah bertemu ibu kandung dan mereka tidak menghalang sebaliknya berasa bersyukur dan turut berkongsi kegembiraan.

"Ketika sampai di rumahnya, mak sangka saya orang awam yang datang ke kawasan itu sebab dia memang tak kenal saya. Apabila saudara mak beritahu saya anaknya yang terpisah dia terus sebak dan kami berpelukan sambil menangis.

"Mak beritahu ayah kandung sudah meninggal dunia selepas beberapa tahun saya dilahirkan. Sedih tak dapat jumpa ayah, tetapi saya bersyukur masih berpeluang jumpa mak kerana memang tak pernah terfikir boleh bertemu semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 7:01 AM