Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Hulu Selangor: Pakatan Harapan (PH) menamakan calon wanita, Pang Sock Tao untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan.

Beliau dinamakan sebagai calon oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu, malam ini.

Terdahulu, majlis pengumuman calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan itu dimulakan dengan bertafakur bagi memberi penghormatan kepada 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak semalam.

Pimpinan parti DAP bersama BN berdoa dan bertafakur memberi penghormatan kepada mangsa tragedi helikopter TLDM. FOTO Asyraf Hamzah.
Pimpinan parti DAP bersama BN berdoa dan bertafakur memberi penghormatan kepada mangsa tragedi helikopter TLDM. FOTO Asyraf Hamzah.

Pang, 31, dalam ucapan sulungnya berkata, beliau mahu meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong.

"Mendiang merupakan seorang mentor kepada ramai pemuda DAP. Prinsip kita untuk membina negara yang lebih maju, demokratik dan saksama kepada semua.

"Mendiang juga seorang wakil rakyat yang rajin dan baik. (Justeru) wajib menjadi contoh kepada semua orang termasuk saya," katanya.

Menurut Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu, sekiranya diberi peluang, pihaknya akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga di kawasan ini.

"Saya percaya dengan pengalaman saya di dua kementerian meliputi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar serta KPKT, akan memberi inspirasi kepada saya untuk membawa pembangunan yang positif di kawasan Kuala Kubu Baharu," katanya.

Sock Tao adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik daripada Universiti Tenaga Nasional (Uniten), selain berpengalaman sebagai penerbit UbahTV kendalian DAP.

Sementara itu, Loke berkata, beberapa syarat diambil pertimbangan oleh parti itu sebelum menentukan calon yang sesuai.

Menteri Pengangkutan itu berkata, antaranya adalah mesti dalam kalangan wanita berdasarkan kepada penyandangnya sebelum ini.

"Sebagai Kerajaan Perpaduan progresif, yang mengangkat dan martabat kedudukan wanita, syarat pertama calon mesti adalah wanita.

"Yang keduanya kita nak calon yang ada pengetahuan dan kelayakan akademik kerana ini syarat minima sekarang. Rakyat kita semakin pandai dan semakin terpelajar, (jadi) wakil rakyat mesti pandai," katanya.

PANG Sock Tao (tengah) diumum sebagai calon PH bagi PRK Kuala Kubu Baharu.  FOTO Asyraf Hamzah.
PANG Sock Tao (tengah) diumum sebagai calon PH bagi PRK Kuala Kubu Baharu. FOTO Asyraf Hamzah.

Beliau dalam masa sama turut menyatakan bahawa tidak boleh ada sebarang risiko terhadap pengurangan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor.

"Kerana ini sudah tentu akan menjejaskan keyakinan pelabur kepada Negeri Selangor. (Itu) sebabnya misi kita untuk mempertahankan Kuala Kubu Baharu ini cukup penting," katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili PH pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 10:14 PM