NORAFIZAH perlu mengambil masa memujuk Innara Raissa setiap kali mahu menyuntik insulin. FOTO Ihsan Norafizah Jamil
NORAFIZAH perlu mengambil masa memujuk Innara Raissa setiap kali mahu menyuntik insulin. FOTO Ihsan Norafizah Jamil
Noor Hidayah Tanzizi

Langkawi: Kanak-kanak perempuan, Innara Raissa Hennefar dilahirkan sihat, aktif dan periang namun tiada siapa sangka kehidupannya berubah selepas didiagnosis diabetis jenis satu seawal usia dua tahun, April tahun lalu.

Sejak itu rutin harian kanak-kanak berusia tiga tahun yang menetap di Pekan Kuah, di sini, berubah sepenuhnya apabila terpaksa mengambil suntikan insulin empat kali sehari.

Ibunya Norafizah Jamil, 33, berkata, Innara Raissa yang juga anak bongsu daripada tiga beradik itu seperti kanak-kanak seusianya yang takut dengan jarum dan dia perlu mengambil masa memujuk anak setiap kali mahu menyuntik insulin.

Menurutnya, sebagai ibu dia juga tidak sanggup melihat anak yang merengek apabila perlu disuntik insulin empat kali sehari namun menguatkan hati untuk kesihatan Innara Raissa.

"Bacaan paras gula anak memang tinggi sehingga lebih 20 malah pernah mencecah 30. Doktor beritahu penyakit anak berpunca kerana pankreasnya sudah tak menghasilkan insulin menyebabkan paras gulanya tinggi.

"Sejak itu anak perlu mengambil suntikan insulin empat kali sehari, tetapi biasalah kanak-kanak akan merengek dan saya perlu memujuknya hampir 30 minit sebelum dia bagi saya atau ayahnya cucuk insulin di perutnya.

"Biasanya saya cakap kalau nak makan roti kena cucuk nanti anak faham tetapi saya tak pernah jemu untuk pujuk dia dan saya juga tak mahu dia berasa tertekan kerana itu juga boleh buat gulanya tinggi selain dia perlu aktif dan ceria," katanya.

Katanya, anak tahu keadaan dirinya malah turut memahami yang dia perlu mengawal pemakanannya terutama apabila melihat kanak-kanak lain menikmati aiskrim dan kek biarpun teringin untuk merasainya.

"Sedih juga apabila anak tengok orang makan aiskrim dan dia akan cakap dia tak boleh makan nanti kena cucuk. Saya perlu menjaga pola pemakanan dia setiap hari namun saya bagi juga dia merasa aiskrim dan kek sedikit," katanya memberitahu penyakit itu dikesan selepas anak kerap muntah.

Katanya, Innara Raissa akan bergantung dengan suntikan insulin seumur hidup namun dengan mengawal pemakanan dos insulin anak boleh dikurangkan.

"Tetapi saya tak pernah putus harapan dan doa untuk anak bebas daripada penyakit itu sebab saya kasihan melihatnya yang masih kecil sudah perlu mengambil insulin setiap hari.

"Keluarga kami tiada sejarah penyakit kencing manis dan memang sukar nak terima hakikat anak mendapat penyakit itu, tetapi kini saya terima keadaannya dan apabila berkongsi mengenai anak barulah saya tahu ramai kanak-kanak dapat diabetes," katanya yang juga pengusaha spa kecantikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 7:30 AM