ANGGOTA bomba mengangkat mayat ketiga yang ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan lapan unit rumah kedai di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA bomba mengangkat mayat ketiga yang ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan lapan unit rumah kedai di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: "Tiga beranak itu sempat makan malam bersama keluarga mereka di Bertam, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang malam tadi.

"Mereka kelihatan sangat seronok, tapi tak sangka itu makan malam terakhir mereka sebelum ditemui rentung dalam kebakaran awal pagi tadi," Kata Linda Yee, 48.

Linda adalah sepupu kepada Lee Chew Fong, 61, yang maut dalam kebakaran membabitkan lapan unit rumah kedai di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, suami mangsa, Lim Yang Kooi, 66, dan ibu wanita itu, Yong Swee Lan, 92, turut ditemukan rentung dalam sebuah daripada lapan unit rumah berkenaan.

Linda berkata, mereka bertiga tinggal di Bertam selepas membeli rumah di sana sejak setahun lalu dan hanya pulang ke rumah kedai itu setiap hari Isnin untuk berniaga pasar pagi di hadapan rumah kedai itu.

Katanya, ibu saudaranya pula sudah uzur dan bergerak dengan bantuan tongkat manakala sepupu dan suaminya itu pula sihat serta rajin bekerja.

"Mereka berniaga pakaian dan generasi ketiga berniaga di rumah kedai berkenaan.

"Mereka tidur di rumah kedai itu malam tadi kerana hari ini ada pasar pagi," katanya

Linda berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu pada 6 pagi selepas dimaklumkan ahli keluarga.

Sementara itu, pemilik kedai perabot, Azizah Jaafar, 70, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh anaknya satu daripada lapan unit rumah kedai milik mereka itu musnah dalam kebakaran.

Katanya, kedai itu dibeli oleh arwah suaminya kira-kira 20 tahun lalu dan disewakan kepada peniaga kedai perabot dengan kadar RM400 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 1:57 PM