Penyanyi, Siti Nurhaliza. FOTO Aziah Azmee
Penyanyi, Siti Nurhaliza. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Saya agak gementar untuk menjayakan persembahan ini kerana pertamanya saya bekerjasama dengan idola saya selain perlu memastikan sebutan lagu ini disampaikan dengan betul."

Demikian menurut penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengenai debaran yang dirasakan apabila bakal menghiburkan peminat dengan sebuah lagu Tamil ciptaan AR Rahman.

Siti kini sedang giat melakukan persiapan untuk konsert yang menyaksikan dirinya tampil sebagai penyanyi jemputan pada Konsert AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Menurut Siti, pertemuan bersama AR Rahman juga penyanyi dan komposer legenda dari India di kediamannya beberapa tahun lalu mengeratkan hubungan persahabatan antara mereka sekali gus berpeluang untuk membuat persembahan pada konsert penyanyi yang cukup disegani ramai itu.

"Sebenarnya beberapa tahun lalu saya pernah menjemput AR Rahman untuk datang ke rumah selepas dimaklumkan beliau berada di Malaysia. Jadi saya ada menghubungi pihak penganjur dan tak sangka dia menyambut baik pelawaan itu.

"Bermula dari situ, kami saling berbalas emel untuk berkongsi segala perkembangan dan terbaru saya dapat tahu dia akan buat konsert di sini. Beliau juga ada maklumkan dan bertanya mengenai jadual seni saya.

"Bagaimanapun saya beritahu yang saya bercuti panjang di luar negara, kemudian beliau mempelawa saya untuk berkolaborasi dengannya pada tarikh yang diberikan. Saya pun apa lagi, ibarat pucuk dicita ulam mendatang, saya terus bersetuju," katanya.

Tambah Siti, mujur ada kawan baik Datuk K (Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa) yang berbangsa India sudi mengajar dan membantunya.

"Hari pertama dengannya, saya hanya belajar sebutan, kemudian saya ambil masa dua hingga tiga hari untuk menghafal lirik.

"Lagu yang bakal disampaikan ini adalah sebuah lagu lama yang cukup terkenal ciptaan AR Rahman. Jadi setiap hari saya berlatih dan pastikan sebutannya jelas dan betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 9:50 PM