GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Kubur seorang wanita warga emas yang ditemukan meninggal dunia dalam rumahnya di sebuah kampung di Serdang, dekat sini, baru-baru ini, terpaksa digali semula yang dijangka dilakukan esok.

Ini berikutan, anak kepada wanita berusia 79 tahun itu mengesyaki ibunya kemungkinan menjadi mangsa jenayah selepas barang kemas iaitu gelang, dua cincin dan telefon bimbit mangsa hilang.

Menurut sumber, selain kehilangan barang berharga, anaknya turut mendakwa dia melihat kesan tompokan darah pada cadar serta kain lampin dipakai mangsa selepas membuat pemeriksaan lanjut.

"Selain itu, anak mangsa juga mendakwa dia dimaklumkan terdapat kesan lebam di kanan badan serta telinga dan luka di hidung jenazah ibunya ketika dimandikan.

"Susulan daripada itu, satu laporan polis dibuat anak wanita warga emas terbabit yang mengesyaki ibunya kemungkinan menjadi mangsa jenayah," katanya.

Sumber berkata, susulan daripada laporan serta maklumat itu, polis mengeluarkan permit untuk menggali semula kubur wanita terbabit esok bagi tujuan bedah siasat.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa ditemukan anak saudaranya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tanpa seurat benang manakala baju serta kain batik dipakainya ditemukan di lantai.

Jenazah wanita warga emas terbabit yang kesnya disahkan sebagai mati mengejut dikebumikan dua hari lalu sebelum anaknya membuat laporan polis meminta supaya siasatan lanjut dilakukan kerana mengesyaki kematian itu mempunyai unsur jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh mengesahkan berhubung kes berkenaan namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 9:43 PM