RAKYAT Afghanistan buntu negara dilanda gempa bumi teruk. -FOTO EPA
RAKYAT Afghanistan buntu negara dilanda gempa bumi teruk. -FOTO EPA
Agensi

Sharan (Afghanistan): Air mata Bibi Hawa mengalir mengenangkan kesakitan dan kesedihan yang dialami beliau dan keluarganya susulan gempa bumi di Afghanistan, Rabu lalu.

Wanita berasal dari wilayah Paktika itu terselamat manakala puluhan ahli keluarganya antara 1,000 mangsa yang terkorban.

"Ke mana saya mahu pergi," soal wanita berusia 55 tahun itu berulang kali.

Jururawat yang bertugas berulang kali cuba menenangkannya yang ternyata kecewa dan sedih dengan kejadian yang menimpa.

Gempa dengan kekuatan 6.1 magnitud itu menjejaskan Afghanistan yang dianggap terburuk sejak pentadbiran diambil alih Taliban pada Ogos tahun lalu.

Bencana ini ternyata memberi cabaran besar kepada negara itu yang mengamalkan dasar keras dan mengasingkan diri daripada campur tangan luar.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 2,000 rumah musnah dengan purata 20 orang setiap keluarga.

Di dalam bilik Bibi mendapat rawatan, terdapat puluhan wanita lain yang terbaring, berselimut selain ada yang dicucuk ubat.

Selain itu, seorang lagi wanita, Shahmira bersama cucunya turut menerima rawatan.

Di sebelah katil pula, menantunya tertidur dalam keadaan cedera manakala anaknya dirawat di wad berasingan.

"Ketika kejadian kami sedang tidur sebelum terdengar bunyi bising.

"Saya rasa ahli keluarga lain tertimbus di bawah runtuhan dan hanya saya yang terselamat," katanya.

Gempa bumi awal Rabu berlaku 28 batu barat daya Khost berhampiran sempadan Pakistan dan dapat dirasai sehingga India.

Wilayah Paktika di tenggara Afghanistan menjadi lokasi paling terjejas manakala usaha menyelamat juga sukar susulan hujan lebat dan hujan batu.

PENDUDUK melihat keadan rumah yang musnah dilanda gempa bumi di sekitar  perkampungan Gayan, wilayah Paktia, Afghanistan. -FOTO EPA
PENDUDUK melihat keadan rumah yang musnah dilanda gempa bumi di sekitar perkampungan Gayan, wilayah Paktia, Afghanistan. -FOTO EPA

Bantuan sukar disebabkan kawasan terpencil

Pihak berkuasa Afghanistan bergelut untuk sampai ke kawasan terpencil yang dilanda gempa bumi yang mengorbankan 1,000 orang berikutan komunikasi yang lemah dan kekurangan jalan raya menghalang usaha mereka, kata pegawai.

Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda awal Rabu kira-kira 160 km, tenggara Kabul, di pergunungan yang dihiasi dengan penempatan kecil berhampiran sempadan dengan Pakistan.

"Kami tidak dapat sampai ke kawasan itu, rangkaian terlalu lemah, kami cuba mendapatkan maklumat terkini," Mohammad Ismail Muawiyah, jurucakap komander tertinggi tentera Taliban memberitahu Reuters, merujuk kepada rangkaian telefon.

Gempa bumi itu membunuh kira-kira 1,000 orang dan mencederakan 1,500, katanya.

Lebih 3,000 rumah musnah.

Kira-kira 600 orang telah diselamatkan dari pelbagai kawasan terjejas pada malam Rabu, tambahnya.

Operasi menyelamat akan menjadi ujian besar bagi pihak berkuasa Taliban yang mengambil alih negara Ogos lalu selepas dua dekad perang dan telah terputus daripada banyak bantuan antarabangsa kerana sekatan.

Kementerian pertahanan pimpinan Taliban mengetuai usaha menyelamat.

Media Afghanistan menyiarkan gambar rumah yang telah menjadi runtuhan dan mayat bergelimpangan di atas tanah dalam beberapa jam selepas gempa bumi.

Setakat ini maklumat yang diperoleh masih terhad berikutan kawasan kejadian yang terpencil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 7:00 AM