KRISTINA dan Galip bersama sebahagian anak mereka.
KRISTINA dan Galip bersama sebahagian anak mereka.
Agensi

Istanbul: Seorang ibu yang mempunyai 22 anak dan mengimpikan untuk membina keluarga dengan 105 anak kini buntu untuk membesarkan semua anaknya bersendirian.

Ini kerana suaminya, Galip Ozturk yang memiliki syarikat bas antara bandar Metro Turizm ditahan pihak berkuasa dan berdepan tuduhan berkaitan pengubahan wang haram, lapor Daily Star.

Kristina, bekas penari, mempunyai 22 anak biologi yang dilahirkan dengan kaedah ibu tumpang.

Galip melarikan diri dari Turki ke Georgia pada 2018 selepas mahkamah rayuan meluluskan hukuman penjara seumur hidup ke atasnya kerana mengarahkan pembunuhan seorang lelaki bernama Kuvvet Koseoglu pada 1996.

Namun masa depan mereka kelihatan lebih tidak menentu sekarang selepas ahli perniagaan Turki itu ditangkap oleh pihak berkuasa Georgia pada 31 Mei di Batumi, bandar kedua terbesar di Georgia.

Saluran TV Mtavari menunjukkan rakaman pasukan khas menyerbu sebuah hotel yang dimiliki Ozturk di hab perdagangan tepi laut yang bersempadan dengan Turki.

Lelaki berusia 57 tahun itu ditahan atas tuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan pemalsuan dokumen, kata jurucakap Kementerian Kewangan Nato Natroshvili dalam satu kenyataan akhbar.

Kristina, 24, kerap menyiarkan gambar pasangan itu dan anak-anak mereka di Instagram dan menyiarkan betapa sukarnya dia berikutan penahanan suaminya.

Pasangan itu mendedahkan bagaimana mereka membelanjakan 138,000 Pound Sterling (kira-kira RM748,000) kepada ibu tumpang untuk mempunyai 20 bayi bersama dalam masa setahun.

Pasangan itu mengeluarkan 67,700 Pound Sterling (kira-kira RM367,132) setahun untuk 16 pengasuh yang menjaga bayi mereka 24 jam.

Kristina membelanjakan 4,000 Pound Sterling (RM21,690) seminggu untuk barangan keperluan bayi termasuk 20 beg lampin dan 53 pek susu formula bayi.

Berasal dari Rusia, Kristina bertemu Galip pada lawatan pertamanya ke luar negara di Georgia.

Kristina dan suaminya mendedahkan bagaimana mereka berdua bermimpi untuk mempunyai keluarga yang besar, tetapi ia mengubah hidup mereka dengan ketara.

"Saya tidak pasti sama ada kami akan menjadi keluarga terbesar di dunia, tetapi kami pasti merancang untuk menjadi keluarga paling bahagia di dunia," katanya kepada Fabulous.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 6:30 AM