Ritual Atsatsilistli. FOTO AGENSI
Ritual Atsatsilistli. FOTO AGENSI
AFP

Zitlala (Mexico): Penduduk selatan Mexico mempunyai cara tersendiri untuk menyeru hujan iaitu dengan memakai kostum harimau dan menyebat satu sama lain.

Ritual kuno itu dikatakan untuk mendapatkan 'restu' Tuhan bagi menurunkan hujan serta menyuburkan tanaman dan ia dilakukan setiap tahun ketika kemarau sejak 300 tahun lalu.

Sebelum ini ritual hanya disertai lelaki kerana ia menyakitkan, sehinggalah baru-baru ini apabila wanita dibenar terbabit sama, sekali gus membantu tradisi itu untuk kekal hidup.

Seorang daripadanya adalah Karina Vicente, 22, yang juga penuntut universiti bagi jurusan psikologi.

"Saya teruja untuk melakukan ritual ini yang menterjemah setitis darah untuk setitik hujan, tetapi dalam masa sama tetap gementar," katanya yang mengikuti ritual itu buat pertama kali.

Ritual berlangsung 5 Mei di Guerrero, satu daripada bandar termiskin di Mexico dengan kadar keganasan tinggi.

Dikatakan darah yang menitis daripada ritual adalah Atsatsilistli untuk ditawarkan kepada tuhan Thaloc manakala bunyi sebat melambangkan petir, sementara warna kuning kostum harimau adalah tanda kemarau.

Sebelum pertarungan bermula, penduduk Zitlala akan dipecahkan kepada dua kumpulan dan menari di bawah terik matahari sepanjang jalan sambil diiringi Banda iaitu muzik Mexico.

Pertempuran berlangsung di gelanggang bola keranjang dimulai dengan peserta lelaki sehinggalah terbit darah (daripada sebatan) sebelum peserta bertukar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 7:01 AM